Kenyataan Ahli Parlimen PKR dari Kuala
Langat, Abdullah Sani yang mengakui bahawa isu untuk melucutkan jawatan Abdul
Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar ada dibincangkan dalam mesyuarat majlis
jelas membuktikan bahawa Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution menipu.
Menurutnya perkara tersebut sememangnya
dibincangkan dalam satu mesyuarat Majlis Pimpinan PKR Selangor yang
dipengerusikan oleh Pengerusi PKR negeri, Azmin Ali baru-baru ini.
"Memang dalam mesyuarat tersebut kita
ada membangkitkan kedudukan Khalid sebagai Menteri Besar dan kita telah membuat
keputusan supaya beliau digantikan," katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut Abdullah Sani, desakan itu ekoran
rasa tidak puas hati dalam kalangan kepemimpinan PKR Selangor terhadap corak
pentadbiran Khalid.
"Keputusan itu dibuat atas sebab cara
Abdul Khalid mentadbir negeri ini membabitkan isu-isu tertentu antaranya
industri air, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), kenaikan elaun
Menteri Besar dan anggota pentadbiran negeri," ujarnya.
Walau bagaimanapun, beliau memberitahu,
keputusan sebulat suara itu belum dibawa ke pihak PKR Pusat untuk dibincangkan
dan diputuskan bersama pimpinan tertinggi pakatan pembangkang yang lain dari
DAP dan Pas.
Akhbar Sin Chew sebelum ini melaporkan
pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor telah sebulat suara bersetuju
tanpa sebarang bantahan supaya Khalid meletak jawatan dan digantikan dengan
individu lain.
Saifuddin ketika mengulas laporan yang
dikeluarkan sebelum ini mengatakan terdapat desakan 'keras' agar
Khalid dipecat. Namun katanya desakan 'keras' itu bukanlah usul dan mesyuarat
MPP tidak membuat sebarang keputusan untuk memecat Abdul Khalid.
"Mesyuarat MPP tidak buat keputusan untuk pecat Khalid seperti yang didakwa dalam laporan akhbar Sin Chew petang semalam (Rabu).
"Daripada 50 hingga 55 ahli MPP yang
hadir, hanya ada tiga atau empat ahli yang menyatakan pandangan keras seumpama
itu (pecat Abdul Khalid). Tapi kita tidak membuat keputusan menyatakan
persetujuan terhadap pandangan itu," katanya pada sidang media khas di ibu
pejabat PKR baru-baru ini.
Persoalannya apakah kenyataan Saifuddin
itu bertujuan untuk menyembunyikan kemelut yang sedang melanda parti itu.
Sedangkan umum memang mengetahui perbalahan antara Khalid dan Azmin.
Sebelum ini Azmin yang juga Timbalan
Presiden PKR dilaporkan sering mengkritik pentadbiran Abdul Khalid melibatkan
beberapa isu antaranya menyelar keputusan kerajaan negeri menaikkan gaji dan elaun
anggota pentadbiran Selangor di antara 80 hingga 373 peratus berkuat kuasa
Januari 2014.
Selain itu, Azmin juga dilaporkan pernah
bertindak melalui Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Negeri Selangor mengemukakan
memorandum kepada Abdul Khalid ekoran tidak berpuas hati dengan pengurangan
peruntukan pembangunan oleh kerajaan negeri.
Berikut adalah rakaman perbualan Abdullah
Sani berhubung isu pemecatan Khalid.
No comments:
Post a Comment