Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penyebaran maklumat palsu menerusi media sosial dan pemimpin terdahulu bagi menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipilih secara demokrasi perlu diperangi habis-habisan.
Beliau berkata ancaman baharu secara serangan minda dan hati menerusi penyebaran berita palsu serta fitnah adalah amat bahaya kerana ia dilakukan pihak tertentu yang mempunyai agenda politik tersendiri.
Sehubungan itu, katanya, rakyat perlu bersama-sama kerajaan untuk bangkit mempertahankan negara daripada serangan anasir berkenaan yang boleh menggugat keamanan dan kemakmuran yang dikecapi ketika ini.
"Mempertahankan negara kita bukan hanya bererti negara diserang dari luar dengan kehadiran bala tentera, tetapi serangan yang lebih berbahaya lagi ialah serangan kepada minda kita dan hati kita.
"Apabila minda kita dan hati kita diserang dengan berita, dakyah dan maklumat palsu serta fitnah atau 'fake news' (berita palsu) yang keluar melalui media sosial atau pemimpin tertentu dengan tujuan jatuhkan sebuah kerajaan, maka inilah ancaman paling bahaya. Maka, kita akan perang habis-habisan," tegas beliau.
Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan program Negaraku: Komuniti 1Malaysia di Taman Tasik Sultan Abu Bakar di sini, Sabtu.
Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Karuak dan Timbalannya Datuk Jailani Johari serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri Datuk Shahaniza Shamsuddin dan Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abd Wahab.
Perdana menteri berkata berikutan penyebaran dakyah palsu, banyak langkah dan tindakan kerajaan untuk kebaikan rakyat telah disalahertikan sehingga menimbulkan pelbagai kontroversi.
"Sebagai sebuah kerajaan, kita dah buat macam-macam...tetapi apabila ada berita palsu yang cuba selewengkan sesuatu perkara, benda baik pun jadi tidak baik dan kontroversi, umpamanya pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)," katanya.
Beliau berkata ketika kerajaan mencari rakan strategik untuk Proton Holdings Berhad, tindakan itu turut disalahertikan sebagai menjual syarikat berkenaan kepada China sedangkan ia sebenarnya bertujuan mengukuhkan lagi kedudukan syarikat bagi menyelamatkan 'periuk nasi' para pekerjanya.
Sementara itu, Najib berkata rakyat Malaysia tanpa mengira pangkat, kaum atau agama wajib mempertahankan kedaulatan dan keamanan yang dikecapi negara.
"Asas kita adalah sama iaitu Malaysia adalah negara sama untuk rakyat biasa, pemimpin tertinggi atau raja... cuba bayangkan kalau kita tidak ada negara seperti etnik Rohingya yang tinggal di Myanmar tanpa kerakyatan.
"Lihat sahaja di televisyen, saban malam, saban hari bagaimana hidup mereka...bagaikan nyawa di hujung tanduk apabila tidak mempunyai kerakyatan, mereka terpaksa terima apa jua tindakan zalim, dirogol dan dibakar hidup-hidup. "Jadi, apabila kita diberikan kerakyatan maka itulah nilai yang paling berharga.
Sebagai rakyat, kita wajib mempertahankannya sebab inilah negara kita, inilah tempat lahir, tumpah darah dan akan disemadikan suatu hari nanti," katanya. Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang Anugerah Komuniti 1Malaysia Peringkat Kebangsaan 2016 dengan johan disandang oleh Komuniti 1Malaysia Mukim Ayer Hitam, Johor.
Tempat kedua dimenangi Komuniti 1Malaysia Felda Keratong 3, Pahang manakala Komuniti 1Malaysia Projek Perumahan Awam Seri Perlis 2, Kuala Lumpur.
Setiap pemenang menerima geran bernilai di antara RM4,000 hingga RM10,000. -- BERNAMA
No comments:
Post a Comment