Pasti ramai yang akan tergelak besar atau
sekurang-kurangnya tersenyum sinis apabila membaca kenyataan Presiden Pas,
Abdul Hadi Awang mengenai kerajaan Arab Saudi yang dikatakan telah menjadi ‘alat’ kepada
Amerika Syarikat dan negara Eropah untuk menjaga kepentingan Israel di Timur
Tengah.
Tawa dan senyum itu bukan untuk menolak
kenyataan tersebut, namun disebabkan kerana Hadi hanya mampu melihat dari satu
sudut sahaja. Dalam erti kata mudah, dia hanya mampu melihat kuman yang berada
di seberang laut berbanding ‘bangkai’ gajah yang berada di depan mata.
Bekas Menteri Besar Terengganu itu, ketika
diwawancara oleh saluran televisyen satelit Press TV baru-baru ini mengatakan pergolakan
berpanjangan akibat perbezaan mazhab di negara Islam sebenarnya adalah hasil
plot terancang negara Barat dengan mempergunakan Arab Saudi untuk melebarkan
pengaruhnya di negara Islam.
“Arab Saudi sudah dipengaruhi oleh
permainan politik AS dan negara Eropah. Saudi dan negara Arab lain menjadikan
negara mereka sebagai pangkalan Barat. Mereka lakukan ini bukan untuk menyokong
Islam tetapi untuk meluaskan kuasa,” katanya.
Betul, dari satu sudut kita menyokong dan
tidak boleh menafikan kenyataan Hadi itu. Ini kerana apabila dinilai dan
diteliti, banyak tindakan dan keputusan kerajaan Arab Saudi yang boleh dilihat
seakan-akan menyokong barat terutamanya apabila melibatkan konflik negara
Islam.
Namun yang menjadi persoalan pokoknya
ialah, mengapa Hadi hanya mampu melihat, menilai dan merasakan perkara yang
melibatkan negara Arab Saudi berbanding masalah yang sedang dihadapi oleh parti
itu? Sedangkan sekiranya dikaji semula, isu tersebut turut berlaku di dalam
Pas, apabila parti itu mengambil pendekatan ‘tahalul siyasi’ untuk
bersama DAP dan PKR. Sedangkan isu yang berlaku hampir sama.
Ini kerana, sebaik sahaja Pas mengambil
keputusan untuk menerima DAP dan PKR di bawah gabungan ‘Pakatan Rakyat’,
ia dilihat semakin merugikan Islam dan orang Melayu. Ini kerana dasar
perjuangan DAP yang ‘ultra kiasu’ dan PKR dengan
pendekatan ‘liberal’ telah menyebabkan Islam dan orang Melayu
semakin tertekan.
Malah perkara itu turut diakui para
penyokong dan ahli Pas sendiri yang merasakan parti Islam itu semakin ‘hilang
taring’ sejak berada di dalam pakatan. Malah di dalam Muktamar pas yang
diadakan tidak lama dahulu, perkara ini turut mendapat perhatian beberapa orang
perwakilan dan pemimpin Pas yang merasakan sokongan orang Melayu kepada
parti itu khususnya dalam pilihan raya umum lalu semakin merosot.
Tambah mengecewakan apabila menyentuh soal
Melayu, menjaga kepentingan umat Islam dan institusi raja-raja, Pas dilihat
terlalu berhati-hati kerana bimbang menyinggung perasaan sekutunya. Ia ditambah
pula dengan pendirian Pas yang tidak mahu terlalu menjaga memperjuangkan nasib
orang Melayu kerana menganggap itu perbuatan assobiyah.
Paling memeranjatkan, apabila seakan
terpaksa menyalahkan Umno, kononnya ingin mempolitikkan isu kalimah Allah
kerana desakan dan tekanan DAP dan PKR. Sedangkan apabila diteliti ‘ahli-ahli
agama’parti itu turut berbalah dalam memberikan pendapat dan pandangan
berhubung isu ini.
Kesimpulannya pelaksanaan tahaluf
siyasi itu dilakukan semata-mata untuk mengukuhkan kedudukan Pas tanpa
mengambil kira kepentingan rakyat adalah bertentangan dengan fikrah siasah
Islamiah. Ini kerana apabila parti itu tidak mampu mendominasi pakatan
pembangkang ia secara tidak langsung telah memberi kesan negatif kepada agama
dan orang Melayu itu sendiri.
Contohnya sudah banyak isu yang
dibangkitkan oleh DAP dilihat telah menyentuh sensitiviti agama sehingga
menimbulkan kontroversi, namun sebagai parti yang ingin memperjuangkan Islam,
Pas hanya mampu diam dan membisu seolah-olah menyokong perbuatan itu walaupun
ia jelas bertentangan dengan akidah.
Jadi ada baiknya, Hadi selaku Presiden
melihat, mengkaji dan meneliti perkara ini sebelum cuba mempertikaikan perkara
yang lebih besar.
No comments:
Post a Comment