Friday, January 24, 2014

Kenapa Erdogan Tidak Jumpa Anwar Ketika di Malaysia?

Pada10 Januari lalu, Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, telah mengadakan lawatan dua hari ke negara ini dalam rangka lawatannya ke negara-negara Asia.  Dalam lawatan tersebut, beliau telah mengadakan perjumpaan dengan Dato’ Seri Najib, dan sempat menunaikan solat Jumaat bersama.

Kunjungan tersebut secara kebetulannya bersamaan dengan ulangtahun hubungan Malaysia-Turki yang ke-50.   Antara jadual lawatannya, Erdogan telah menerima anugerah doktor kehormat dari UIA dan juga menyampaikan ceramah bertajuk ‘Transforming Asia Pacific and Turkey’ dalam siri ceramah yang dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan Transformasi.  Dalam ceramahnya, Erdogan sempat memuji Dato’ Seri Najib dan menyatakan keyakinannya yang Malaysia akan berjaya mencapai wawasan 2020 dan akan terus maju ke hadapan. 

Beliau kemudiannya dijemput makan malam di Seri Perdana bersama Perdana Menteri dan isteri. 

Di Malaysia, nama Erdogan cukup sinonim dengan Anwar Ibrahim.   Betapa ‘kuatnya’ hubungan kedua-dua pemimpin ini sehinggakan orang Anwar di dalam PAS, digelar kumpulan Erdogan. 

Hubungan Anwar dengan Erdogan boleh dikatakan melepasi tahap hubungan biasa antara dua pemimpin dari dua negara.  Mereka dikatakan sahabat yang akrab yang berkongsi pemikiran yang sama.

Bagi mengukuhkan pandangan ini, pada 5 Februari 2012, Terence Netto menulis di Malaysiakini dan disiarkan semula di blog Anwar Ibrahim sendiri, bahawa kedua-dua Anwar dan Erdogan mempunyai ideologi yang sama dan akan cuba untuk berjumpa sekerap yang boleh apabila saja berpeluang. 

Menurutnya, apabila Anwar dibebaskan dari tuduhan liwat pada 9 Januari 2012, Anwar terus ‘terbang’ ke Istanbul melalui Bombay dan bertemu Erdogan sebanyak dua kali dalam masa empat minggu.  Menurut Netto lagi, Anwar dan Wan Azizah dikatakan telah bertemu Erdogan di Istana Dolmabache dan secara langsung mendesak pemimpin Turki itu untuk terus menyokong ‘Arab Spring’.  

Dalam lawatan yang sama juga, Anwar dijemput memberikan ucapan bertajuk ‘Democracy and Islam’ di mana Anwar memuji kepimpinan Erdogan sebagai ke hadapan dari segi demokrasi berbanding negara Islam lain. 

Tidak lama dahulu, sebuah media antarabangsa, Radiance Viewsweekly telah menyiarkan pendapat seorang pembaca dari luar negara yang menggambarkan Anwar dan Erdogan sebagai ‘pemimpin demokrasi baru’ yang mempunyai visi dan tanggungjawab serta komited dalam memperjuangkan kebebasan beragama dan pluralisasi politik dan sosial. 

Jelas, hubungan rapat Anwar dan Erdogan telah menjadi pengetahuan umum di seluruh dunia.  Kedua-duanya saling puji memuji dan sanjung menyanjung. 

Oleh itu, amatlah mengejutkan sekali apabila Perdana Menteri Turki itu berlepas pulang ke Ankara pada 12 Januari dari Kuala Lumpur tanpa bertemu dengan Anwar Ibrahim.  Jika mereka sering mencari masa untuk bertemu ketika Anwar di Turki, kenapa mereka tidak turut mencari masa untuk bertemu bila Erdogan berada di sini? 

Khabar menyatakan bahawa persahabatan Anwar dengan Erdogan sudah tidak lagi seperti dahulu.   Adalah dikatakan juga bahawa Erdogan mula merasa sangsi dengan kejujuran dan agenda Anwar yang sebenar.  Malah, Erdogan mungkin merasa sedikit ‘bimbang’ dengan pemimpin pembangkang Malaysia itu. 

Kebimbangan Erdogan boleh jadi berasaskan laporan-laporan antarabangsa dan risikannya sendiri.   Namun, kita mengesyaki bahawa sebagai sahabat yang selalu menghabiskan masa bersama, tidak mustahil kebimbangan Erdgoan terhadap Anwar itu adalah berasaskan sesuatu yang lebih lagi.

Rekod Anwar selama ini menunjukkan trend yang sama di mana rakan-rakan rapatnya akan mula menjauhkan diri setelah beberapa lama.  Ada yang mengambil masa yang pendek dan ada yang mengambil masa yang cukup lama untuk meninggalkan Anwar, tetapi apa yang pasti, mereka tetap akan meninggalkannya. 

Mereka yang terus setia dan bersama Anwar selamanya hanyalah keluarganya sendiri selain mereka-mereka yang berada di luar lingkungan sahabat rapatnya serta penyokong-penyokongnya yang hanya mengenalinya dari jauh. 

Justeru, kita tidak hairan sekiranya Erdogan juga mula menjauhkan diri dari Anwar.  

Kini terbukti sudah bahawa Anwar tidak lagi relevan di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa. Dengan perkembangan terbaru di mana Jepun juga telah tidak menerima kunjungan Anwar ke negara itu atas alasan teknikal, maka terbuktilsh bahawa Anwar bukanlah manusia hebat yang mampu mengatasi undang-undang setiap masa.  

Nampaknya, sudah sampai masanya Anwar perlu memikirkan secara serius tentang janjinya untuk bersara selepas PRU-13. 



No comments: