LANGKAH pakatan pembangkang menyokong demonstrasi haram yang
diadakan di Dataran Merdeka, malam kelmarin memberikan isyarat yang jelas
bahawa 'kegilaan' politik pembangkang dalam usaha mereka meraih kuasa akan berterusan
dalam tahun 2014.
Berdasarkan kenyataan dan tindak-tanduk pemimpin-pemimpin
pembangkang sebelum tirai 2013 dilabuhkan, ia jelas membuktikan belum ada
keinsafan dalam kalangan mereka untuk memastikan arena politik negara selepas
ini akan berjalan melalui pendekatan politik berhemah.
Sebaliknya, kita bakal menyaksikan pembangkang terus dengan
pendekatan mempolitikkan apa sahaja isu dengan harapan tindakan itu akan
memudahkan laluan mereka menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam
Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.
Walaupun mengetahui banyak tindakan politik mereka sepanjang 2013
telah mewujudkan perasaan tidak selesa kepada rakyat dan ada pula yang
menjejaskan imej negara di mata dunia namun pembangkang tidak menghiraukannya.
Berikut penulis paparkan jangkaan politik melibatkan parti-parti
yang bergabung dalam pakatan pembangkang iaitu DAP, PKR dan Pas.
DAP
Parti ini akan terus menjadi parti paling berkuasa dalam pakatan
pembangkang. Selain menguasai Pulau Pinang, perolehan kerusi Parlimen yang lebih
banyak berbanding PKR dan Pas memungkinkan DAP akan menjadi parti dominan.
Kekuatan DAP amat ditagihkan oleh PKR dalam meraih sokongan kaum
Cina, manakala Pas pula dilihat tidak mendapat apa-apa keuntungan memandangkan
DAP sememangnya tidak pernah bersetuju dengan perjuangan politik Pas.
Bagaimanapun DAP tetap akan menjaga hubungan dengan Pas dalam
usaha memastikan Pas terus memainkan peranannya bagi meraih undi orang Melayu
untuk DAP dan PKR.
Selain itu, DAP yang sebelum ini begitu hebat mengkritik Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) dalam mengendalikan pilihan raya umum akan terus bergelut
dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung pemilihan Jawatankuasa Kerja Parti
(CEC).
PKR
Dengan sokongan DAP dan Pas, PKR akan terus memainkan isu yang
bertujuan memainkan sentimen rakyat bagi membenci kerajaan BN. Melalui lidah
rasminya Suara Keadilan, PKR akan terus menabur fitnah terhadap
pemimpin-pemimpin BN.
Walaupun tidak mempunyai kekuatan yang hebat di peringkat akar
umbi, namun PKR akan terus berjaya menumpang populariti DAP untuk meraih
sokongan kaum Cina dan kesanggupan membantu bagi memperolehi sokongan orang
Melayu. Tetapi dalam masa yang sama PKR akan terus kekal bersama-sama DAP
menolak perjuangan Islam Pas.
Pas
Parti ini membuka tirai 2014 dengan semakin 'galak' menguar-uarkan
slogan 'Rahmat Untuk Semua'. Slogan ini adalah tema ucapan dasar Presiden Pas,
Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam muktamar parti itu baru-baru ini.
Di mana-mana sahaja kini slogan itu menjadi sandaran Pas untuk
meraih sokongan rakyat khususnya orang Melayu. Selepas mendapati slogan 'Pas
untuk semua' gagal mencapai sasarannya maka Pas mengubah pula kepada slogan
baru.
Tidak kiralah apa pun slogan yang hendak digunakan oleh Pas apa
yang pasti parti itu tetap dijangka terus menjadi 'pak turut' dalam pakatan
pembangkang.
Dalam masa yang sama, Pas juga dijangka mengekalkan pendekatan
politik menjadikan slogan Islam hanya untuk kepentingan politik semata-mata. Ia
memandangkan Pas sudah pasti ingin terus menjadi 'pak turut' setia dalam
pakatan.
Keadaan itu berlaku kerana Pas ingin menjaga hubungan dengan DAP
dan PKR. Berikutan pegangan tersebut juga, golongan ulama dalam parti itu akan
terus tenggelam dan hanya akan menjadi 'penghias' organisasi semata-mata.
Demikian serba sedikit jangkaan berhubung situasi dalam pakatan
pembangkang bagi tahun 2014.
Namun begitu apa yang pasti pendekatan mempolitikkan apa juga
perkara akan terus menjadi sandaran pakatan pembangkang kerana itu sahaja modal
yang mereka miliki bagi mencapai cita-cita politik.
Selain itu, pembangkang akan kekal dengan sikap double
standard dalam menghadapi isu yang melibatkan kerajaan. Pas tidak akan
berani menegur kepincangan dalam pembangkang tetapi akan bersedia mempolitikkan
apa juga langkah kerajaan.
Pembangkang juga sudah pasti sama sekali tidak akan memuji atau
menyokong sebarang tindakan kerajaan biar pun demi kebaikan rakyat. Ini kerana
pada pandangan mereka kalau tindakan itu dilakukan maka tergugatlah harapan
mereka untuk menumbangkan kerajaan BN.
Berdasarkan keadaan itu, maka bersedialah semua pihak untuk terus
menyaksikan adegan politik memualkan pakatan pembangkang seperti mana pernah
kita saksikan sejak 2008.
Kelebihan menguasai beberapa negeri dan menambah kerusi Parlimen
tidak pernah dijadikan sandaran pembangkang menjadi satu barisan pembangkang
yang bertanggungjawab. Sebaliknya mereka, bersedia melakukan apa sahaja selagi
cita-cita mereka untuk menawan Putrajaya tidak tercapai.
Atas sebab itulah, adalah penting sempena tahun 2014 ini, rakyat
tanpa mengira apa juga latar belakang mereka memahami dan mengkaji taktik
politik pembangkang ini. Janganlah terpengaruh dengan dakyah pembangkang,
seolah-olah merekalah paling layak memerintah Malaysia sedangkan di negeri yang
mereka kuasai pun penuh kekalutan dan masalah.
Kita mengakui kerajaan BN juga tidak sempurna, malah di mana-mana
juga negara tidak akan ada kerajaan yang seratus peratus sempurna. Tetapi
kerajaan sentiasa sahaja berusaha memperbaiki kelemahan khususnya dalam usaha
melaksanakan langkah-langkah bagi meningkat taraf hidup rakyat dan mengurangkan
beban mereka.
Sebab itulah, adalah penting kerajaan perlu bersedia menghadapi
'kegilaan' politik pembangkang dalam tahun 2014 ini. Ia termasuklah membuat
persiapan untuk memberi maklum balas segera kepada sebarang tuduhan dan
tohmahan pembangkang.
Sememangnya bukanlah mudah untuk berhadapan dakyah pembangkang
kerana mereka bercakap berdasarkan fakta yang diputar belitkan tetapi kebenaran
tetap kebenaran.
Apa yang penting ialah kebijaksanaan rakyat untuk membuat
penilaian kerana merekalah penentu masa depan negara dan di tangan juga
terdapat pilihan sama ada, ingin terus hidup dalam aman dan damai atau
ketidakstabilan akibat terpengaruh dengan dakyah politik pembangkang.
No comments:
Post a Comment