Tuesday, January 21, 2014

Pembangkang Akan Demo Untuk Pinda Undang-undang Imigresen Jepun?

Sebenarnya, kes Anwar tidak dibenarkan masuk ke negara Jepun tidak perlu menjadi kes besar.  Ini kerana Anwar bukan satu-satunya manusia yang tidak dapat masuk ke negara itu atas sebab tidak menepati syarat imigresennya.  Pada tahun 1980 Paul McCartney telah tidak dibenarkan masuk ke negara itu kerana memiliki ganja.  Tahun 2002, Diego Maradona juga menerima nasib yang sama atas alasan di bawah pengaruh dadah.  Begitu juga dengan Paris Hilton pada 2010.
  


Namun, ke semua selebriti ini tidak pula meroyan seperti Anwar. Mereka juga tidak menyalahkan sesiapa. Sebaliknya memahami bahawa mereka telah melanggar undang-undang kemasukan ke negara tersebut, dan perlu akur dengannya. 

Malangnya, Anwar Ibrahim bukanlah manusia yang tahu mengikut undang-undang. 

Partinya sendiri amat gemar membela penjenayah dan sering menyalahkan pihak berkuasa, sistem, peraturan, undang-undang, hakim, pendakwa, kerajaan dan apa-apa jua yang bertanggungjawab untuk memastikan keadaan terkawal dan berfungsi dengan baik.  Bagi Anwar, undang-undang yang tidak ‘sesuai’ dengan kehendak dan kemahuannya adalah pincang dan perlu ditukar. 

Justeru, Anwar tidak dapat menerima hakikat bahawa beliau telah tidak dibenarkan masuk ke Jepun atas sebab yang berkaitan undang-undang.  Anwar seolah-olah menuduh adanya ‘permainan politik’ antara UMNO dengan kerajaan Jepun.   

Sedangkan kerajaan tidak masuk campur dalam perjalanan undang-undang negara di mana Anwar kini lepas bebas, maka bagaimana pula kerajaan boleh masuk campur dalam undang-undang Jepun? 

Ramai yang membuat spekulasi sendiri tentang sebab-sebab Anwar dihalau dari Jepun.  Antara teori yang dikemukakan ialah pertemuan Anwar dengan wakil Yakuza yang menyebabkan kerajaan Jepun kurang senang dengan kunjungannya. 

Ada yang mengatakan bahawa ia berpunca dari fitnah Anwar pada 2013 bahawa kononnya Jepun telah membayar kerajaan Malaysia sejumlah RM207 billion sebagai pampasan kepada mangsa “Death Railway”. Menurut mereka, kes fitnah inilah yang menjadi penyebab utama kenapa Anwar ‘tidak diingini’ di Jepun. 

Menurut sumber lain pula, masalah ini berpunca dari kecuaian Anwar yang tidak mempunyai Visa kerana menyangkakan passport biometrik dengan mikrocip sudah cukup untuk meluluskan lawatannya ke Jepun berdasarkan penguatkuasaan baru imigresen negara itu.  Bagaimanapun, penguatkuasaan itu hanyalah terpakai ke atas rakyat yang tidak mempunyai rekod jenayah sedangkan Anwar adalah bekas banduan. 

Apapun sebabnya, tiada siapa yang dapat memberi jawapan yang pasti melainkan kerajaan Jepun sendiri. 

Dalam usaha menjaga air muka Ketua mereka, pihak pembangkang cuba menyalahkan kerajaan dan juga UMNO konon mempengaruhi sentimen negatif Jepun terhadap Anwar.  Mereka juga melancarkan kempen boikot barangan Jepun tanpa memikirkan nasib rakyat yang bekerja di syarikat Jepun di negara ini jika negara itu benar-benar terkesan dengan tindakan boikot mereka. 

Usaha paling terdesak pembangkang datangnya dari Lim Kit Siang yang sanggup menjatuhkan maruah sendiri ‘meminta bantuan’ Putrajaya untuk mendapatkan penjelasan dari Jepun mengenai kejadian ini.  Kit Siang juga mendesak Putrajaya agar menuntut kerajaan Jepun meminta maaf kepada Anwar. 

Soalan kita kepada Kit Siang, apa kejadahnya Putrajaya perlu mengambil pusing perihal Anwar?  Pemergian Anwar ke Jepun bukannya mewakili Malaysia.  Beliau bukannya ditangkap, sebaliknya dihalau pulang.  Buat apa kerajaan perlu bersusah-payah kerananya?  

Apa yang kita tahu, Anwar mungkin pergi ke sana untuk memburuk-burukkan kerajaan Malaysia kerana itu sudah menjadi tugas hariannya.  Jadi, perlu apa kita menunjuk prihatin terhadap pengkhianat ini?

Jika Anwar atau Kit Siang inginkan penjelasan, maka mereka boleh menulis surat rasmi sendiri kepada kerajaan Jepun.  Kenapa perlu meletakannya di bahu Putrajaya setelah terlebih dahulu menyalahkan Putrajaya? 

Mungkinkah Anwar malu atau tidak sanggup mendengar alasan sebenar dari kerajaan Jepun berkenaan pengusirannya?  Mungkinkah Anwar sebenarnya lebih tahu apa yang telah dilakukannya yang telah menyinggung kerajaan Jepun? 

Jika benar, maka Anwar seharusnya berdiam diri sahaja.  Tindakannya menggembar-gemburkan perkara ini dan memaksa penyokong-penyokongnya berdemo dan meroyan memarahi Jepun hanya menambahkan ‘kemaluan’ yang ada. 


Kini, seluruh dunia boleh melihat sikap sebenar Anwar Ibrahim iaitu seorang yang tidak rasional, malah ‘delusional’ kerana menyangkakan diri begitu istimewa dan perlu mendapat pengecualian undang-undang di mana-mana saja negara di dunia. 

Sedangkan hakikatnya, di Permatang Pauh juga Anwar bukan lagi sesiapa.  



No comments: