Kemelut perbalahan antara Timbalan
Presiden PKR, Azmin Ali dengan Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim
nampaknya sudah hampir sampai ke kemuncaknya. Mungkin kerana telah lama bersabar
dengan kerenah Khalid yang dikatakan semakin ‘hilang arah’, Majlis
Pimpinan Pusat (MPP) PKR dilaporkan telah membuat keputusan untuk
menggantikannya dengan calon MB yang baru.
Menurut laporan yang di keluarkan oleh
akhbar Sin Chew Jit Poh edisi petang, keputusan untuk menggantikan Khalid itu
dibuat melalui satu mesyuarat MPP yang diadakan semalam. Laporan muka depan,
akhbar berbahasa cina itu turut mengatakan Azmin adalah merupakan calon yang
disebut-sebut bakal menggantikan Khalid menerajui Selangor.
Paling mengemparkan apabila Ketua Umum
PKR, Anwar Ibrahim dan Presiden parti, Wan Azizah dikatakan tidak lagi
menyokong Khalid. Ini kerana dia dikatakan GAGAL memaklumkan
atau mendapatkan pandangan parti sebelum memutuskan atau melaksanakan sebarang
keputusan yang hendak dijalankan di Selangor.
Pimpinan PKR dikatakan tidak berpuas hati
dengan cara Khalid mengendalikan 6 isu penting sehingga menyebabkan parti itu
dikecam oleh pelbagai pihak khususnya para pengundi.
Antaranya isu berkaitan bekalan air di
Selangor, penggunaan kalimah Allah, keputusan untuk menaikkan gaji dan elaun
wakil rakyat, kenaikan lesen perniagaan secara mendadak sehingga 400
peratus terutamanya bagi yang melibatkan perniagaan-perniagaan kecil dan
sederhana serta cadangan kenaikan cukai pintu.
Tidak ketinggalan isu
pemecatan Azmin sebagai ahli lembaga pengarah, Perbadanan
Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan keputusan kerajaan negeri untuk menukar garis panduan
bagi industri sarang burung walit sehingga menimbulkan bantahan para pengusaha
yang majoritinya dari kalangan masyarakat cina.
Ekoran pelbagai kontroversi yang melanda
itu, MPP parti telah memberikan mandat kepada Anwar untuk berjumpa, berbincang
dan mendapatkan persetujuan dari pimpinan DAP dan Pas. Selain daripada itu,
ahli parlimen Pematang Pauh itu juga perlu mengadap dan mendapatkan perkenan
dari Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Laporan akhbar tersebut turut mengatakan
sekiranya pimpinan DAP dan Pas bersetuju dengan keputusan PKR itu, Khalid berkemungkinan
besar akan meletakkan jawatan dengan menggunakan faktor kesihatan sebagai
alasan. Ia bagi mengelakkan Azmin dan para penyokongnya membuat usul undi tidak
percaya kepada Khalid.
Menurut sumber juga, kepimpinan PKR
berharap agar keputusan untuk menggantikan Khalid ini dapat dilaksanakan dalam
tempoh 2 bulan atau sekurang-kurangnya 2 tahun iaitu sebelum pilihan raya umum
ke-14.
No comments:
Post a Comment