"Ini bukan soal kaum. Tapi hakikat majoriti demo adalah
anak-anak Melayu. Yang lain semua bukan tak berjuang untuk negara…tapi tak rela
diperalat. Kalau tak percaya, lihat saja berapa ramai adik-adik kaum Cina/India
yang datang malam ini untuk demo? Mereka semua kat cinema, supermarket, dan
lain-lain. Cerdiklah.
"Saya bukan rasis. Saya sedih lihat anak- anak Melayu
diperalat untuk buat demo jalan pembangkang. Pernah nampak kaum lain?
Fikirkanlah masa depan anda. Selalu dalam demo jalan, yang kena tangkap
majoriti kaum Melayu. Kenapa adik-adik perlu diperguna? Pernah nampak adik-adik
kaum Cina?"'
Itulah yang dicoretkan Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang dalam
Twitter pada malam sambutan tahun baharu bagi mengulas Himpunan Guling Kerajaan
di Dataran Merdeka.
Mungkin ada orang Melayu yang akan terasa dengan kenyataan ini
tetapi apa yang beliau katakan adalah satu fakta yang tidak boleh dinafikan
oleh sesiapa sahaja.
Renung, lihat dan kajilah siapakah yang paling ramai turun ke
jalanan pada malam tersebut kononnya atas alasan bagi membantah kenaikan kos
sara hidup. Sudah pasti jawapan yang kita dapati ialah anak Melayu.
Apa yang mengecewakan sebahagian besar mereka dikenal pasti
sebagai penuntut institusi pengajian tinggi (IPT). Ada yang berjubah, bertudung
labuh dan berpurdah tetapi sanggup berembun pukul 1-2 pagi bersama-sama kaum
lelaki kononnya atas nama perjuangan.
Kehadiran ribuan anak Melayu pada malam tersebut yang turut
dihadiri oleh beberapa pemimpin pembangkang sudah membuktikan kata-kata Keng
Liang bahawa anak Melayu sememangnya mudah diperalatkan atau dalam bahasa kasar
diperbodohkan.
Salah satu kumpulan yang menganjurkan perhimpunan dengan bangga
menulis dalam Facebook mereka bahawa perhimpunan haram itu mencapai kejayaan.
Ya, betul memang ia mencapai kejayaan, tetapi bagaimanakah kejayaan tersebut
diukur?
Apakah ia dianggap satu kejayaan apabila mereka yang berarak
menyusahkan pengguna jalan raya lain? Apakah ia diiktiraf satu kejayaan apabila
penunjuk perasaan merempuh hadangan polis? Apakah ia satu kejayaan apabila
peserta demonstrasi bertindak biadab mengganggu konsert tahun baharu yang
dihadiri oleh ribuan orang awam yang tidak mahu terlibat dalam demonstrasi
tersebut?
Apakah ia satu kejayaan apabila anak- anak Melayu diperbodohkan
untuk berkumpul beramai-ramai terpekik terlolong memaki kerajaan di jalanan
serta menunjukkan isyarat lucah?
Kalau tindakan-tindakan itulah dianggap satu kejayaan, ternyatalah
puak-puak tersebut sememangnya satu kelompok yang tidak bertanggungjawab, tidak
bertamadun, berfikiran jumud dan bangga tidak kena tempat.
Sejak awal lagi, sudah banyak pihak melahirkan kebimbangan bahawa
perhimpunan haram itu tidak akan mendatangkan apa-apa manfaat sebaliknya hanya
akan membawa kemudaratan, apatah lagi ia dilakukan ketika ambang tahun baharu
2014.
Kebimbangan itu menjadi kenyataan berikutan apa yang berlaku. Oleh
itu, pihak yang menganjurkan perhimpunan haram tersebut harus bertanggungjawab
dan bersedia menghadapi tindakan tegas hasil siasatan yang akan dijalankan oleh
pihak berkuasa.
Ia memandangkan pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia
(PDRM) dilihat sudah cukup bertolak ansur apabila membenarkan peserta
demonstrasi memasuki kawasan Dataran Merdeka, tetapi ternyata kebaikan itu
dibalas dengan kebiadaban. Justeru sekarang bukanlah lagi masa untuk
berkompromi.
Mereka yang bertanggungjawab mencetuskan kekacauan pada malam
tersebut sehingga memungkinkan konsert di Dataran Merdeka dibatalkan harus
dibawa ke muka pengadilan. Pedulikan apa juga yang hendak dikatakan oleh puak
pembangkang dan sekutunya termasuklah Majlis Peguam.
Kalau mahu bercakap soal hak asasi, penganjur dan peserta
demonstrasi pada malam itu sudah pun melakukan pencabulan terhadap hak tersebut
apabila mengganggu ketenteraman orang lain.
Dalam soal penyertaan anak-anak Melayu ini, ia hakikatnya bukanlah
satu yang luar biasa atau menghairankan sememangnya pakatan pembangkang amat
memahami kumpulan itu paling mudah dipengaruhi untuk turun ke jalanan.
Bantahan terhadap kos sara hidup melalui fakta yang diputar
belitkan adalah helah pembangkang untuk memastikan budaya demonstrasi yang
dipelopori oleh mereka berterusan.
Pembangkang memahami jika bantahan itu mahu dilakukan melalui
pentas-pentas ceramah ia tidak akan berjaya kerana jumlah hadirin ke ceramah
mereka sudah tidak sehebat dulu lagi.
Justeru demonstrasi jalanan adalah cara terbaik kerana mengetahui
sebahagian anak Melayu memang suka seumpama itu untuk berseronok.
Sudah pastilah dalam memperkatakan hal ini, 'sekalung tahniah
untuk Pas' kerana sekali lagi menjadi parti yang paling setia mengerahkan ahli
dan penyokongnya untuk turun ke jalanan.
Begitu mudah sekali ahli dan penyokong Pas diperbodohkan untuk
menyertai perhimpunan haram itu dengan diiringi oleh pula oleh beberapa
pemimpin parti tersebut.
Kita tidak menafikan ada juga ahli PKR yang menyertainya tetapi
berapa ramai? Bagaimana dengan DAP, apakah mereka juga begitu gigih membuat
seruan supaya ahli dan berapa ramai penyokong mereka menghadiri perhimpunan
itu? Sudah pasti tidak!.
Ini kerana mereka tahu Pas akan mampu mengerahkan ahli dan
penyokong parti itu memandangkan mereka adalah kelompok yang kononnya setia
kepada arahan parti.
Sekali lagi, Pas diperalatkan untuk memuaskan nafsu politik PKR
dan DAP. Di negeri-negeri yang diperintah oleh PKR dan DAP, tiada demonstrasi
sebaliknya ia diserikan dengan konsert dan pertunjukan bunga api, tetapi di
Kuala Lumpur, ahli dan penyokong 'diperkudakan' untuk menyertai perhimpunan
haram. Demikianlah 'kejahilan' Pas dalam berpolitik dan setia membuta tuli
dalam pakatan pembangkang.
Bagaimanapun sama ada teguran mengenai penglibatan anak Melayu ini
dibuat oleh Keng Liang atau sesiapa sahaja, ia sudah pasti tidak akan diterima
oleh puak-puak yang turun ke jalanan pada malam tersebut.
Sebaliknya, mereka berbangga kerana dapat memaki hamun kerajaan,
dapat merempuh hadangan polis dan mengganggu konsert tahun baharu. Malah mereka
juga ketawa riang apabila melihat kebiadaban seorang lelaki India memukul
poster wajah Perdana Menteri.
'Tahniahlah' kepada pemimpin-pemimpin pembangkang yang berjaya
memiliki penyokong-penyokong taksub seumpama itu yang sudah tidak mampu lagi
menilai kesan sesuatu perbuatan akibat dipengaruhi oleh politik kebencian yang
dicetuskan oleh pembangkang.
Namun dalam masa sama, kita yakin majoriti rakyat Malaysia yang
cintakan keamanan dan kedamaian mengutuk perbuatan penunjuk perasaan pada malam
tersebut manakala majoriti orang Melayu berasa kecewa kerana sekali lagi
melihat anak-anak Melayu begitu mudah diperalatkan untuk melakukan kerja bodoh,
diperbodohkan dan memperbodohkan diri.
~Utusan
No comments:
Post a Comment