Wednesday, October 9, 2013

Zahid Wajar Saman Malaysiakini

1.      Kita tertanya-tanya, apakah satu laporan berbahasa Inggeris di Malaysiakini baru-baru ini yang bertajuk ‘With Criminals, We Shoot First, Admits Home Minister’ (Dengan Penjenayah, Kita Tembak Dahulu, Akui Menteri Dalam Negeri) merupakan satu deklarasi perang olej portal berita itu terhadap Dato’ Seri Zahid Hamidi?.   

2.      Antara kandungan laporan tersebut menyebut ‘Zahid Hamidi indicated in a speech that it was best to shoot first and ask questions later’ (Zahid Hamidi menyatakan dalam ucapannya bahawa adalah wajar untuk tembak dahulu dan soal kemudian). 
3.      Bagi menguatkan ceritanya, Malaysiakini turut menyertakan pautan video rakaman kenyataan tersebut oleh Zahid Hamidi.  
Apa yang pelik ialah video tersebut tidak dapat dilayari. 

Lebih pelik lagi, apabila transkrip kenyataan Zahid di dalam portal berita yang sama melaporkan Menteri itu sebagai berkata “kita dapat bukti, kita tembak dulu.” (if we get the evidence, we shoot first).   Kenyataan ini juga dijadikan tajuk bagi laporan yang sama dalam versi Bahasa Malaysia. 

Nampaknya, Malaysiakini memang sengaja ingin mengajak Zahid bermain tembak-tembak. 

Sebenarnya, ‘Permainan kotor’ Malaysiakini bukanlah sesuatu yang asing bagi kita.  Kenapa portal ini harus meletakkan tajuk yang berbeza bagi terjemahan laporan yang sama, sebenarnya tidak sukar untuk difahami. 

Majoriti pembaca bagi artikel berbahasa Inggeris adalah masyarakat bukan Melayu yang mana menjadi sasaran mudah pembangkang untuk dihasut agar membenci kerajaan. Manakala, laporan berbahasa Melayu adalah untuk masyarakat Melayu dan harus kelihatan lebih ‘lembut’ dalam memperkatakan perihal kerja-kerja polis yang mana majoritinya Melayu juga. 

Namun, itu bukan soalnya.  Soal yang lebih penting untuk diberi perhatian ialah hakikat bahawa mesej yang disampaikan melalui laporan itu adalah berniat jahat dan berunsur menghasut, kalaupun tidak jatuh sebagai fitnah.   

Ini kerana Ayat 1. ‘kita tembak dulu, soal kemudian’ dengan 2. ‘kita dapat bukti, kita tembak dulu’ amatlah berbeza dari segi maksudnya.   Ayat pertama yang digunakan oleh Malaysiakini untuk mengulas kenyataan Zahid, memperlihatkan bagaimana portal itu cuba membentuk imej Zahid sebagai Menteri yang kejam dan tidak mengikut undang-undang. 

Sedangkan, ayat kedua yang mana merupakan transkrip kenyataan Zahid yang sebenar, membuktikan sebaliknya, di mana beliau menegaskan bahawa sebarang tindakan polis haruslah berasaskan bukti. 

Hakikatnya, Zahid bukan Menteri yang samseng, tetapi tegas.  Yang samseng itu adalah mereka yang membela penjenayah seperti Malaysiakini. 

Dan ketegasan Zahidlah yang membuatkan Malaysikini tidak keruan.  Hanya kerana Zahid telah menegur sikap wartawan portal itu yang gemar memutarbelit, maka portal itu ingin membalas dendam dengan terus memutarbelit kenyataan Zahid lagi serta cuba memburukkan imej beliau. 

Bagaimanapun, yang mungkin terhasut dan sakit hati dengan Zahid setelah membaca laporan putarbelit Malaysiakini hanyalah para penjenayah, samseng, gangster dan kongsi gelap sahaja.   Sedangkan rakyat keseluruhannya bertepuk sorak meraikan ketegasan Menteri itu. 

Memandangkan Malaysiakini masih tidak serik-serik memutarbelit kenyataan Zahid, maka kita sarankan agar Zahid saman sahaja portal berita itu.  Apa yang dapat dilihat ialah wartawan Malaysiakini ini sama saja perangainya dengan DAP iaitu mereka tidak malu menipu dan terus menipu walaupun telah terkantoi dan terus terkantoi.  

Justeru, bagi memastikan mereka mendapat pengajaran yang setimpal, eloklah mereka disaman saja atas tuduhan berniat jahat dan menghasut orang ramai agar bersangka buruk terhadap Menteri dan kerajaan. 


No comments: