Penghapusan Akta Pencegahan Jenayah telah mencetus berbagai
reaksi dan juga keadaan yang kelam kabut dalam negara. Ini berikutan meningkatkan jenayah
tembak dan bunuh apabila tahanan yang kebanyakannya merupakan ahli dan kepala
kumpulan kongsi gelap telah terpaksa dibebaskan.
Apa yang menarik ialah kedua-dua kerajaan dan juga pembangkang
sama-sama dipersalahkan atas apa yang berlaku ini. Kerajaan dipersalahkan kerana akur
dengan desakan pembangkang untuk menghapuskan Akta Pencegahan, manakala
pembangkang dipersalahkan kerana mendesak kerajaan untuk berbuat
demikian.
Apa yang tidak boleh diterima rakyat ialah keputusan diambil
tanpa terlebih dahulu mengambilkira pendapat pihak yang berkait langsung dengan
keselamatan negara, iaitu pihak polis. Akibatnya,
tuding menuding jari dan tepis menepis terus berlaku di kalangan ahli politik
sedangkan akhbar terus melaporkan satu demi satu kes tembakan.
Justeru, walaupun kedua-dua pihak enggan memikul kesalahan,
pendapat dan kemarahan rakyat telah disuarakan secara berterusan di laman-laman
sosial. Jika pihak
kepimpinan mengambil sedikit masa untuk benar-benar mendengar, maka mereka
pasti akan sedar bahawa rata-rata, rakyat mendesak agar Akta Pencegahan dikembalikan.
Bagi rakyat, sama ada ahli politik mengaku atau tidak kesalahan
masing-masing kerana terdesak untuk menjaga ego atau air muka sendiri, adalah
tidak penting lagi. Apa
yang penting ialah semua pihak yang berkenaan wajib memastikan keadaan dalam
negara terkawal.
Untuk itu, rakyat menyambut baik pengumuman mengenai Pindaan
Akta Pencegahan 1959 semalam. Seperti
yang dijelaskan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi, deraf
pindaan itu sedang disiapkan oleh Jabatan Peguam Negara dan dijangka akan
dibentangkan di Dewan Rakyat pada 23 September ini. Pindaan ini akan turut mengambilkira
Sabah dan Sarawak.
Apa yang pasti, pindaan ini bertujuan untuk mengembalikan taring
pihak polis yang sebelum ini telah dicabut tanpa kajian menyeluruh.
Sudah tentu rakyat merasa gembira dengan komitmen yang
ditunjukkan kerajaan untuk mengakhiri keresahan yang melanda masyarakat selama
berbulan-bulan ini. Walaupun
pengumuman ini agak lambat, tetapi ia cukup melegakan.
Sebagai peringatan, pindaan ini wajib memberi keutamaan kepada
hak rakyat untuk keselamatan dan bukannya mengutamakan hak penjenayah. Selain itu, sebarang keputusan
haruslah dikaji dengan menyeluruh agar tidak terdapat sebarang kepincangan yang
mungkin membawa kepada masalah yang lain pula di masa depan.
Walaubagaimanapun, jika ini sukar dilakukan, mengembalikan Akta
Pencegahan yang lama juga sudah cukup untuk membuatkan rakyat gembira. Dan harapan kita ialah agar Akta
ini digubal dengan seberapa segera.
No comments:
Post a Comment