Peletakan jawatan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN)
Melaka, Goh Leong San pada 8 Okt lepas mengesahkan desas-desus pertelagahan
kepimpinan DAP negeri dan pusat yang bertiup sejak sebelum pilihan raya umum
ke-13 Mei lepas.
Keretakan hubungan mereka dilihat apabila timbul perselisihan
faham dalam memilih calon parti itu untuk kerusi Dewan Undangan Negeri Kota
Laksamana yang dikosongkan Betty Chew, isteri Setiausaha Agung DAP Lim Guan
Eng.
Pimpinan DAP pusat cenderung memilih Lai Keun Ban, calon yang
dilihat penyokong setia Guan Eng, hingga menimbulkan rasa kurang senang
antaranya anggota Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him yang mengambil keputusan
bertanding sebagai calon bebas di Kota Laksamana.
Beliau dalam masa yang sama mempertahankan kerusi Parlimen Kota
Melaka atas tiket DAP.
Tong Him akhirnya tunduk atas desakan Guan Eng untuk menarik diri
sebagai calon Bebas, namun menarik perhatian Leong San pada masa itu yang
dikatakan menyokong Tong Him dan turut kurang senang dengan pencalonan Keun
Ban, yang akhirnya memenangi kerusi itu.
Desas-desus itu terbukti benar apabila Leong San kini mengisytihar
perang terhadap Keun Ban dan Khoo Poay Tiong dari Ayer Keroh yang juga
penyokong setia Guan Eng.
Isu yang menjadi pencetus perbalahan itu ialah pujian Leong San
kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron yang mendapat kritikan
hebat Poay Tiong dan Keun Ban, serta turut menimbulkan perasaan kurang senang
Guan Eng.
Ekoran itu Leong San meletak jawatan atas alasan "terlalu
banyak campur tangan DAP pusat". Bukan sekadar meletak jawatan, Leong San
terus berperang dengan Poay Tiong dan Keun Ban antaranya dengan ugutan untuk
membongkar salah laku dua ADUN itu, namun dibalas Poay Tiong yang langsung tidak
gentar dengan ugutan, malah mencabar Leong San membuktikan kebenaran dakwaannya
itu.
Agak sukar untuk mendalami secara terperinci isu yang dibangkitkan
dalam pertelagahan tiga ADUN DAP itu kerana mereka hanya membenarkan media
berbahasa Cina menghadiri sidang media di Melaka yang diadakan bagi menyerang
antara satu sama lain. Itulah kebebasan media yang diamalkan mereka.
Pertelagahan DAP Melaka dan pusat itu turut menyebabkan ADUN
Melaka dari DAP berpecah dua, iaitu yang menyokong Leong San terdiri daripada
Timbalan Pengerusi DAP Melaka, Lim Jak Wong (Bachang), Tey Kok Kiew (Banda
Hilir) dan Chin Choong Seong (Kesidang), manakala yang menyokong Guan Eng ialah
Poay Tiong dan Keun Ban.
Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang
begitu memahami perangai pemimpin DAP Melaka setelah 10 tahun menerajui negeri,
menterjemahkan pertelagahan itu sebagai, tidak lain tidak bukan hanya kerana
mahu mengubah kepimpinan DAP Melaka, supaya lebih cenderung kepada Guan Eng.
"Pada pendapat saya, ada usaha daripada DAP pusat terutama
Guan Eng untuk menjadikan Khoo sebagai pengerusi DAP Melaka supaya DAP Melaka
tunduk kepada Guan Eng. Sifat kuku besi dinasti Guan Eng itu nampak dalam isu
ini," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Mohd. Ali mendakwa Guan Eng dan Betty Chew sememangnya kurang
disenangi DAP Melaka yang diterajui Leong San, bukti paling jelas ialah
kekalahan pada pemilihan kepimpinan DAP negeri dahulu dan tindakan Guan Eng
memilih Pulau Pinang untuk meneruskan kesinambungan kerjaya politiknya walaupun
pernah menjadi anggota Parlimen Kota Melaka selama tiga penggal.
Idris pula berpendapat selain mengubah kepimpinan, perbezaan
antara sifat Leong San yang dilihat 'gentleman' ketika berbahas isu rakyat di
DUN Melaka dan sifat kepimpinan DAP pusat yang lebih gemar bermain politik
merupakan antara punca pertelagahan mereka.
Beliau menyifatkan Leong San sebagai ketua pembangkang yang
rasional, tidak emosi dan berbahas berdasarkan fakta, berbeza dengan pemimpin
DAP lain seperti Guan Eng.
Pengerusi MIC Melaka, Datuk M. S Mahadevan pula berpendapat DAP,
baik di Melaka ataupun pusat, tidak akan mampu berkhidmat dengan baik untuk
rakyat sekiranya krisis politik mereka tidak dapat diselesaikan dengan
sempurna.
Beliau turut mempersoal tindakan DAP pusat dinaungi dinasti Guan
Eng yang hanya mahu bermain politik dengan membangkang atas sebab politik tanpa
mempedulikan masalah rakyat.
"Pembangkang yang berkesan ialah apabila mereka membangkang
kerana isu itu perlu diperbetulkan dan memuji apabila usaha dilakukan itu
betul, bukan membangkang hanya kerana mainan politik," kata Mahadevan.
Pengerusi PPP Melaka, Datuk Chiw Tiang Chai pula berpendapat
selagi berada dalam DAP, impian Leong San untuk berkhidmat kepada rakyat tanpa
bermain politik, akan berkubur.
"Lebih baik Leong San keluar dari DAP dan berjuang sebagai
wakil rakyat bebas, pada saya ini lebih baik daripada terus tertekan dan
dipaksa bermain politik dalam parti yang tidak sehaluan dengan dia,"
katanya.
Tiang Chai berkata, sebagai ADUN Bebas, Leong San boleh
menyuarakan kepentingan rakyat tanpa terikat dengan ketentuan sempit DAP pusat
dan memperjuangkan kepentingan rakyat yang telah mengundinya, bukan berjuang
untuk kepentingan parti serta pemimpin yang mahu memeranginya.
Dengan pertelagahan yang berterusan ini, persoalannya sekarang
mampukah Guan Eng mempertahankan corak pemerintahannya mengawal DAP
negeri-negeri seperti yang dilihat sekarang bukan hanya DAP Melaka, malah DAP
Sabah juga, didahului dengan tindakan ADUN Luyang, Hiew King Cheu keluar parti.
DAP Kedah pula nampak tidak sehaluan dengan pusat apabila akar
umbi di negeri itu menyokong bekas pengerusi negeri Lee Guan Aik yang dipecat
DAP pusat dan akar umbi DAP Perak, mula mempersoal kepimpinan Datuk Ngeh Koo
Ham.
~Utusan
No comments:
Post a Comment