SESIAPA sahaja yang menduduki platform 191
ketua bahagian, 25 ahli Majlis Tertinggi dan tiga Naib Presiden, yang kalau
tidak ada aral boleh diketahui malam esok - ingatlah satu perkara ini.
"Hindarilah gaya politik stereotaip
yang tidak bermaya".
Bekerja keraslah untuk membantu Presiden
dan Timbalan Presiden parti yang mana kedua-dua pemimpin ini sedar bahawa jika
kaedah dan gaya lama tidak diubah, penguasaan Barisan Nasional dalam pilihan
raya umum mendatang tidak akan bertahan lama.
Politik adalah penggerak kerajaan. Ia
dasar awam dan bermakna juga hal-ehwal negara - satu seni untuk memperoleh dan
mewujudkan kuasa serta pengaruh dalam memutuskan apa yang terbaik untuk rakyat.
Kerajaan tanpa kuasa politik yang kuat ibarat kapal berlayar tanpa angin.
Ekoran 46 peratus pengundi terkini pilihan
raya negara dalam lingkungan 21-45 tahun membuktikan mereka kurang menerima
gaya politik patriotik yang stereotaip. Salah satunya adalah kerajaan lebih
tahu apa yang baik dan semua perkara datang dari atasan sahaja. Ini berlawanan
dari golongan dewasa berumur antara 50-70 tahun ke atas.
Ingatlah! golongan muda di Malaysia,
sebahagian besarnya tidak lagi berfikiran konvensional dalam pendekatan dan
kefahaman hidup. Sebilangannya kurang mempedulikan nilai merdeka atau apa itu
Rukun Negara atau 'politik pak turut' boleh lakukan untuk mereka.
Golongan generasi muda ini - kalau
tingkatan 5 sekarang sudah boleh mengundi lima tahun lagi - berada dalam dunia
mereka sendiri yang penuh dengan teknologi siber. Mereka yakin dengan
pendidikan yang diterima dari universiti-universiti dan kolej-kolej tempatan
dan di luar negara.
Realitinya, kini dengan cara hidup siber,
Malaysia terlalu kecil untuk mereka. Mereka menuntut hak-hak asasi dan manusia
sejagat. Mereka mula mempersoalkan perkara-perkara yang dulunya bapa-bapa
mereka mengambil sambil lewa. Mereka tidak lagi menulis surat. Mereka
berkomunikasi menggunakan SMS, Facebook dan Twitters. Mereka kini telah merasai
kebebasan yang baru. Satu kehidupan baru.
Kerana itu, mereka yang menduduki platform
kepemimpinan UMNO esok harus menemukan pandangan dan formula baru.
Ini telah disedari Presiden UMNO, Datuk
Seri Najib Tun Razak yang telah mendekati golongan muda melalui norma-norma
kebiasaan mereka. Presiden perlu dibantu oleh platform kepimpinan penggal
2013-2016 ini.
Politik adalah jentera penggerak kerajaan.
Ia adalah dasar awam. Ia juga bermakna hal-ehwal negara - satu seni untuk
memperoleh dan mewujudkan kuasa serta pengaruh dalam memutuskan apa yang
terbaik untuk rakyat.
Dengan sentimen pembangkang di negara ini
yang sering mempamerkan amalan-amalan negatif, menghasilkan kritikan pedas
berbaur provokasi, maka keputusan atas pertimbangan politik menjadi percaturan
cukup penting.
Tanpa semangat nasionalisme yang pada
dasarnya satu fenomena politik, entiti kerajaan akan gagal.
Esok cukup penting.
Para perwakilan UMNO, yang mendahului
sistem pemilihan demokrasi transformasi politik daripada mana-mana parti
politik di negara akan membuat pilihan.
Pilihan yang diharapkan tepat.
~Utusan
No comments:
Post a Comment