Tuesday, October 29, 2013

Tiba Masa Sungai Limau Berubah

Pekan Sungai Limau di dalam daerah Yan, Kedah sudah begitu sinonim dengan PAS.  Sejak Almarhum Tan Sri Azizan Razak memenangi kerusi DUN tersebut pada 1995, kawasan itu bagai tidak boleh ‘ditembus’ lagi oleh Barisan Nasional.    

Selama itu juga, kawasan itu tidak pernah berubah walaupun secara keseluruhannya, negeri Kedah mengalami pembangunan yang agak rancak.  Sungai Limau berada di sisir perairan Selat Melaka dan mempunyai potensi besar untuk membangun dari segi pelancongan.  Namun, ini tidak berlaku dan penduduk Sungai Limau juga seolah-olah sudah ‘mangli’ dengan kehidupan santai begitu.   Mungkin juga, itulah cara hidup yang dipromosikan PAS sejak dahulu lagi iaitu, hanya mengejar akhirat dan mengtidak-apakan soal dunia. 

Sekali imbas, Sungai Limau dilihat menepati mana-mana kampung di Kelantan dari segi mentaliti penduduknya dan juga landskapnya.   Terdapat beberapa sekolah agama dan sekolah pondok di sini tetapi ianya tidak terjaga.  Wujudnya hanya sebagai syarat bagi mengesahkan niat untuk mencari akhirat. 

Walhal, hanya beberapa puluh kilometer ke Utara atau Selatan Sungai Limau, iaitu di Bandaraya Alor Setar dan juga bandar Sungai Petani, serta kawasan sekeliling yang di bawah Barisan Nasional, kita akan mendapati pembangunan yang menggalakkan. Hubungan  jalanraya antara Sungai Limau dengan kedua bandar ini juga lengkap dan mudah melalui lebuhraya.  Bagaimanapun, segala kemodenan itu terputus sebaik tiba di Sungai Limau. 

Apabila terlantik sebagai Menteri Besar Kedah, Almarhum Tan Sri Azizan difahamkan mempunyai visi yang tinggi untuk kawasannya.  Projek seperti Hub Hidrokarbon yang dirancang dibina di kawasan itu dijangka mampu menjana pendapatan negeri serta memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, sekali gus meningkatkan ekonomi dan pembangunan di Sungai Limau. 

Bagaimanapun, niat murni ini tidak terlaksana akibat terdapat berbagai halangan, termasuklah kekurangan pengalaman di pihak kerajaan negeri sendiri.  Justeru, Sungai Limau kekal di takuk lama, ketinggalan dari kemajuan dunia. 

Penduduk Sungai Limau mungkin merasa selesa dengan kehidupan dan rutin harian yang sama ini.   Malangnya, dunia telah berubah dan manusia perlu menyesuaikan diri dengan perubahan itu.  Penduduk Sungai Limau tidak boleh ketinggalan dalam mengejar ilmu pengetahuan dan kemajuan kerana itulah tujuan utama Allah SWT menjadikan manusia. 

Jika benar penduduk Sungai Limau ingin mencari akhirat, maka mereka perlu terlebih dahulu menurut perintah Allah SWT untuk mencari ilmu, meneroka dunia serta meningkatkan diri ke tahap tertinggi. 

Sudah menjadi hakikat yang tidak dapat dinafikan bahawa kemajuan di Malaysia ini hanya boleh dicapai melalui parti Barisan Nasional, bukan PAS.  PAS mempunyai masa yang begitu lama untuk memajukan Sungai Limau, tetapi mereka tidak melakukannya. Mungkin alasan pada mulanya ialah PAS tidak punya kuasa, tetapi alasan ini tidak boleh dipakai lagi apabila PAS berjaya menjadi kerajaan negeri. 

Benar, Almarhum Tan Sri Azizan telah mencuba, namun, tanpa pengalaman dan kelayakan, segala-galanya tidak semudah yang disangka. 

Jangankan kemajuan dunia, kemajuan akhirat juga dilakukan PAS secara sambil lewa di Sungai Limau memandangkan sekolah-sekolah agama dan pondok juga tidak terjaga. Seolah-olahnya, PAS benar-benar menyerahkan nasib rakyat Sungai Limau kepada takdir semata-mata. 

Bagaimanapun, kita sanjung Tan Sri Azizan yang sanggup merendah diri meminta nasihat musuh politiknya di dalam UMNO untuk memajukan negeri.  Malangnya, Allah SWT lebih menyayangi dirinya dan beliau tidak sempat melaksanakan impiannya untuk Kedah amnya, dan Sungai Limau, khasnya. 

Kini, penduduk Sungai Limau diberikan peluang oleh Allah SWT untuk mengubah nasib diri sendiri melalui undi.   Sampai bila Sungai Limau perlu menjadi sebuah kawasan mundur di negeri Kedah?  

Bayangkan peluang pekerjaan dan perniagaan yang mampu tercipta sekiranya UMNO diberi kepercayaan untuk melakukannya.  Bayangkan juga bantuan yang boleh disalurkan kepada sekolah-sekolah agama dan sekolah pondok bagi meningkatkan kualiti pembelajaran dan pembangunan sekiranya UMNO diberi mandat menerajui kawasan ini. 

Apa yang pasti, UMNO mampu membawa kehidupan yang jauh lebih berkualiti dan seimbang antara dunia dan akhirat bagi penduduk Sungai Limau.  Maka, inilah diseru agar pengundi Sungai Limau mengundilah dengan bijak pada 4 November ini kerana tiada siapa yang dapat mengubah nasib anda selain diri anda sendiri.  Sudah sampai masa untuk anda berhijrah kepada yang lebih baik. 


No comments: