FIKIRKAN senario ini - wakil kepada seorang calon Naib Ketua
Pemuda UMNO membuat sidang akhbar mendakwa calon mereka memenangi jawatan itu.
Mereka menolak, keputusan Jawatankuasa Pemilihan UMNO bahawa dua calon
yang bertanding terikat kerana menurut laporan war room mereka,
calon pilihan mereka menang.
Dalam satu lagi senario - seorang pemimpin Wanita UMNO 'mengamuk'
melalui WhatsApp kepada rakan-rakan mempertikaikan
kekalahannya dalam perebutan jawatan Exco Wanita.
Dan seorang lagi pemimpin Wanita UMNO turut 'menyerbu' satu sidang
akhbar untuk menyatakan bantahannya kerana tewas dalam perebutan di peringkat
bahagian.
Mungkin kesemua mereka ini mempunyai alasan tersendiri kenapa
bertindak demikian tetapi apa yang pasti mereka seolah-olah begitu takut untuk
menerima kekalahan.
Sepatutnya, jika ada perkara berbangkit ia diketengahkan melalui
saluran yang betul dan bukannya melakukan tindakan yang boleh menyebabkan imej
UMNO terjejas.
Kenapa perlu membuat pelbagai andaian termasuklah merasakan
maklumat war room mereka lebih tepat daripada keputusan yang
diperolehi oleh UMNO Pusat?
Bukankah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, banyak war
room memberikan maklumat tidak tepat sehingga UMNO ketika itu seolah-olah
berada dalam situasi 'syok sendiri'?
Kenapa pula ada calon sanggup menuduh 'ada mainan' di sebalik
kekalahannya? Apakah dia tidak percaya kepada kebijaksanaan perwakilan membuat
keputusan sama ada di peringkat Pusat mahupun bahagian?
Oleh itu, tidak payahlah mana-mana juga pemimpin atau calon yang
kalah, hampir kalah atau mungkin akan kalah melakukan tindakan yang dilihat
mampu merosakkan imej parti.
Ini pemilihan dalam keluarga dan ia sepatutnya dilaksanakan secara
berhemah. Tidak salah untuk melakukan bantahan, tidak salah untuk menyatakan
perasaan tidak puas hati dan tidak salah untuk membangkitkan kemusykilan.
Tetapi biarlah ia dilakukan melalui saluran yang betul dengan
matlamat untuk memastikan imej UMNO tidak tercemar.
Mereka yang masih lagi tidak faham untuk belajar menerima
kekalahan dalam pemilihan UMNO kali ini, perlu memahami bahawa 'musuh-musuh
politik' parti itu sedang menanti. Tersilap langkah, apa yang berlaku dalam
UMNO akan dijadikan modal untuk pilihan raya.
Justeru adalah lebih baik belajarlah menguruskan kekalahan dan
bukannya hanya bijak mencari kesalahan!
~Utusan
No comments:
Post a Comment