KHEMAH yang menempatkan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) di
majlis penamaan calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai
Limau di Dewan Datuk Madi, Yan, Kedah semalam menjadi tumpuan.
Ini memandangkan ia menjadi lokasi pertama bagi sebahagian besar
pemimpin-pemimpin UMNO yang bertanding dalam pemilihan Sabtu lalu berkumpul.
Sudah pastilah tumpuan diberikan kepada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir yang
bersaing sengit dalam pemilihan tersebut.
Namun, bukanlah soal kemesraan antara kedua-dua anak kepada dua
bekas Perdana Menteri ini yang mahu diperkatakan tetapi bagaimana semangat
ahli-ahli Majlis Tertinggi yang baru dilantik turun ke Sungai Limau. Lebih
menarik ada antara mereka yang tewas seperti Menteri Besar Perlis, Azlan Man
dan Datuk Azman Shah Omar Shah.
Sama ada kalah atau menang dalam pemilihan lalu ia tidak lagi
menjadi perhitungan, apa yang pasti ketika berbual-bual dengan mereka,
kesemuanya bertekad untuk turun habis-habisan bagi memastikan kemenangan BN di
kubu kuat Pas tersebut.
Masing-masing mempunyai kemampuan dan kebolehan tersendiri serta
sudah pasti masing-masing ada kumpulan pengundi yang harus diberikan tumpuan.
Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Pemuda UMNO, Khairy
Jamaluddin dan Ketua Puteri, Mas Ermieyati Samsuddin sudah bersedia untuk ke
gelanggang. Tetapi seperti mana kata ketiga-tiga mereka, kempen akan dijalankan
secara berhemah dan tertib, tidak boleh redah sahaja memandangkan Sungai Limau
adalah kawasan luar bandar.
Sementara itu, Hishammuddin sudah pun memulakan langkah dengan
bertemu veteran UMNO di DUN tersebut dan dijangka turun lagi pada saat-saat
akhir kempen, seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal turut
mengatur langkah bertemu pengundi kerana kementerian beliau banyak berjasa di
Sungai Limau. Kebolehan dalam bidang agama termasuk menghafal ayat-ayat
al-Quran dan hadis akan membolehkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad
Zahid Hamidi menjadi sandaran untuk mematahkan hujah-hujah Pas yang pastinya
akan menggunakan ayat-ayat al-Quran dan hadis bagi meraih sokongan.
Sebenarnya, UMNO mempunyai pasukan pemimpin yang lengkap sama ada
dalam soal dunia mahupun akhirat. Tetapi acap kali kelebihan ini tidak
diketengahkan dalam kempen-kempen semasa pilihan raya kecil.
Oleh itu Sungai Limau adalah lokasi terbaik untuk barisan MT dan
sayap-sayap UMNO berpadu tenaga bagi meranapkan kubu Pas di DUN tersebut.
Berbanding UMNO, Pas hanya bergantung kepada golongan agama untuk meraih undi
tetapi UMNO mempunyai semua golongan malah terdiri daripada pentadbir yang baik
dalam membangunkan negara.
Justeru, kita mengharapkan semangat yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin
UMNO ini akan berterusan sehingga hari pengundian 4 November. Percayalah,
dengan kekuatan dan kebolehan yang ada dan atas niat ingin berbakti demi
kesejahteraan, insya-Allah, misi menawan DUN Sungai Limau bukan satu misi
mustahil.
Apa yang penting ialah keazaman dan membuktikan kepada rakyat
bahawa UMNO adalah pasukan politik paling lengkap, berwibawa dan jauh
berkemampuan berbanding Pas yang hanya bijak berceramah, menabur janji dan
mengukir ilusi.
No comments:
Post a Comment