Wednesday, October 23, 2013

Berakhirkah Era 'Warlords'?


PEMILIHAN peringkat bahagian 19 Oktober lalu yang menyaksikan 57 daripada 191 bahagian mendapat ketua baharu menunjukkan kesungguhan akar umbi untuk menukar kepimpinan bahagian masing-masing.

Sebilangan penyandang ketua bahagian memang telah mengorak langkah sendiri memutuskan untuk berundur. Tetapi sebahagiannya ditolak oleh bahagian sendiri.

Dengan perubahan kepimpinan bahagian - yang hampir mencecah satu pertiga - menunjukkan langkah pembaharuan segera yang dilakukan akar umbi sebagai respons kepada transformasi politik Presiden parti. Ini sekali gus menunjukkan keberanian akar umbi akibat kesan lebih banyak perwakilan yang seramai 146,500 orang mahukan perubahan.

Nampaknya kumpulan warlords atau 'demang politik' gagal mempengaruhi proses pemilihan bahagian kali ini.
Orang UMNO sebenarnya sudah muak dengan perlakuan segelintir warlords ini. Pada masa-masa lalu termasuk semasa pemilihan 2009 sehinggalah dalam penggal 'mereka' ini berkuasa, mereka dikesan membolot wang dan kuasa serta bertelagah sesama sendiri.

Malah, lebih mengecewakan lagi, 'mereka' ini membolot peruntukan yang disediakan jentera parti untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 setelah tidak dipilih menjadi calon. Wang itu dikatakan 'disimpan' pula untuk kegunaan bertanding dalam pemilihan parti.

Di beberapa negeri, akibat permainan 'warlords ini' natijahnya amat besar, sehinggakan Barisan Nasional tersungkur. Malah, lebih teruk lagi imej buruk BN itu dipalitkan kepada UMNO - 'terjelupuk' sehinggakan kaum Cina pula 'cuak'.

Sabtu lalu di Selangor menyaksikan separuh daripada 22 ketua bahagian bertukar. Langkah menampilkan barisan muka baru ini adalah dalam usaha untuk menambat hati rakyat Lembah Klang yang kecewa dengan kepimpinan lama.

Kalau UMNO Selangor nak mendekati rakyat, inilah masanya dalam tempoh empat tahun ini untuk berbuat demikian setelah persepsi tidak efektif ditunjukkan hingga mengakibatkan BN di Selangor kini 'terkapai-kapai'.

Ketua-ketua bahagian di Selangor, kena ambil iktibar. Buangkanlah masalah karektor. Semasa penulis mengetuai jentera pilihan raya akhbar ini di Selangor Mei lalu, perlakuan-perlakuan sebeginilah terpaksa dihadapi penulis dan rakan-rakan.

Tindakan jentera parti negeri 'menyembunyikan' data, fakta dan statistik hanya untuk 'tatapan' orang atas, tidak mahu berkongsi idea dengan media arus perdana yang bersedia membantu serta lagak 'angkuh' dengan ketua-ketua bahagian sehinggakan media tidak dijemput langsung ke war room di bangunan parti, harus dibuang.

Di Pulau Pinang, penulis dimaklumkan juga insiden sama berlaku. Lebih teruk lagi semasa sedang sibuk jentera parti menyusun strategi pilihan raya, ada ketua bahagian 'tidak turunkan' peruntukan.

Apa pun, warlords yang tewas peringkat bahagian, tidak kiralah anda di Selangor atau di Seberang Perai, Pulau Pinang atau di mana-mana sahaja, haruslah reda dengan hati terbuka menerima keputusan perwakilan. Tunjukkan keikhlasan.

Di Selangor, tentunya harapan tinggi disandarkan kepada barisan ketua bahagian yang baharu untuk merungkai masalah serta mencari segera formula merampas kembali Selangor, yang sudah pun dua kali jatuh.
Hakikatnya, seluruh 191 ketua bahagian UMNO adalah enjin, nadi dan jantung UMNO. Peranan mereka sebenarnya jauh lebih besar daripada kepimpinan atasan.

Mereka inilah yang paling hampir dengan masyarakat setempat dan tahu luar dalam masalah rakyat.
Tanggungjawab ketua bahagian berat dan besar dalam membantu Majlis Tertinggi, Naib Presiden, Timbalan dan Presiden parti. Kalau jentera bawah lemah, atas juga lemah. Jentera peringkat bahagian ini perlu benar-benar mantap supaya dapat bergerak dengan efisien tanpa gangguan dalam bahagian, khususnya daripada warlords.

Di sinilah ujian dan cabaran peringkat bawah atau akar umbi untuk menterjemahkan ikrar Presiden dalam memastikan tidak ada lompang dan cacat cela seperti pada masa lalu. Antaranya, salah guna kuasa dan kronisme.

Amalan transformasi perlu dijiwai dengan sikap yang bersih.
Integriti dan kewibawaan itu perlu dilonjakkan seiring sejalan dengan kerja keras Presiden dan timbalannya.
Mana-mana pencabar ketua-ketua bahagian yang kalah perlu akur dan reda.
Diharapkan, biduk lalu kiambang bertaut.


~Utusan

No comments: