Tuesday, December 3, 2013

MPPN: Kerajaan Beri Ruang Pada Pembangkang pun Tak Kena Juga?

Penubuhan Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (MPPN) yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menyatupadukan rakyat Malaysia.  Kerajaan tentunya ingin memberi ruang kepada semua golongan dan semua pihak di Malaysia untuk bersuara dan duduk bersama bagi mencari kesepakatan yang jitu. 

Jelas, bahawa pihak kerajaan cukup prihatin dan sedar akan ancaman terhadap perpaduan di negara ini serta berusaha sedaya upaya untuk menanganinya. 

Walaubagaimanapun, usaha murni ini telah dipandang sinis oleh pembangkang.  Dalam Sebuah artikel tulisan Koon Yew Yin di Malaysian Insider membuktikan betapa pembangkang langsung tidak tahu menghargai apa-apa jua usaha kerajaan ke arah perpaduan. 

Menurut Yew Yin, penubuhan majlis ini merupakan satu lagi langkah pembaziran wang dan masa rakyat Malaysia.  Beliau mencemuhnya dengan menggelarkannya sebagai Majlis yang tidak berguna.   Alasannya ialah kerana beberapa orang dari yang dilantik sebagai ahli Majlis tersebut merupakan orang yang terkenal sebagai ‘pembodek’, tanpa menyebut nama-nama mereka. 

Majlis ini diketuai oleh Tan Sri Samsuddin Osman, iaitu Pengerusi KWSP, dengan Tan Sri Lee Lam Thye sebagai Timbalannya. 

Apa yang menarik ialah, beberapa anggota lain merupakan mereka-mereka yang terkenal sebagai penentang kerajaan dan penyokong pembangkang tegar.  Malah, nama atau organisasi yang disertai mereka-mereka ini juga tidak asing dalam program-program atau demonstrasi yang memperjuangkan isu-isu bertentangan dengan aspirasi nasional. 

Antaranya ialah Marina Mahathir yang merupakan antara pejuang hak asasi golongan songsang atau LGBT.  Beliau merupakan pendokong liberalisasi serta pernah diundang melancarkan program Seksualiti Merdeka suatu ketika dahulu. Pernah juga terlibat dalam BERSIH.   Marina, bolehlah dikatakan sebagai pejuang yang menolak identiti Malaysia sebagai Negara Islam. 

Selain beliau, nama yang menarik perhatian ramai ialah Wardina Safiyyah, seorang artis yang cukup celupar mengutuk kerajaan di laman sosialnya.  Penulis menggunakan perkataan ‘celupar’ dan bukan ‘lantang’ kerana kenyataan Wardina terlalu cetek untuk diangkat sebagai sebuah kritikan.  Wardina cukup terkenal dengan sikap ‘hollier than thou’ apabila berhadapan dengan masyarakat umum sejurus selepas beliau memilih untuk ‘berubah’ dari segi penampilan.   Di masa yang sama, beliau juga dikesan mempunyai sindrom yang menyamai Abby Abadi iaitu gemar bercakap mengikut sedap mulut sendiri tanpa bersandarkan ilmu atau rujukan apa-apa, termasuklah dalam soal agama. 

Justeru, perlantikan Marina dan Wardina serta beberapa personaliti yang berkaitan dangan Majlis Peguam telah mengundang kritikan dan keluhan dari dalam UMNO sendiri. 

Bagaimanapun, Perdana Menteri nampaknya tegas dan berani mengambil risiko dalam perlantikan yang kurang popular ini, sekali gus menampakkan kesungguhan beliau untuk menangani masalah perpaduan yang semakin meruncing.  Kita faham bahawa Perdana Menteri ingin agar semua pihak mengenepikan segala perbezaan pendapat dan fahaman serta memahami hakikat keunikan Malaysia di mana akhirnya akan membentuk jatidiri dan identiti sebagai satu bangsa. Sudah sampai masanya, semua golongan di Malaysia memahami bahawa kita tidak perlu mengikut atau meniru negara-negara lain tetapi berdiri megah dengan cara dan gaya tersendiri. 

Dari sudut pandangan pembangkang, mereka seharusnya merasa gembira kerana semakin ramai ‘orang-orang’ mereka mempunyai ruang untuk bersuara secara langsung kepada kerajaan. 

Apa yang kita tahu, Majlis ini bukanlah satu-satunya ‘ruang’ yang diperolehi oleh pembangkang untuk bersuara secara langsung kepada kerajaan. 

Setakat ini, telah didedahkan bahawa beberapa personaliti di dalam PEMANDU juga turut merupakan ‘suara’ pembangkang berdasarkan aktiviti mereka di laman sosial serta pergaulan harian mereka.  Malah, UMNO juga bukan sahaja memberi ruang untuk pembangkang bersuara tetapi untuk duduk bersama di dalam organisasi ini melalui Regina Lee, iaitu setiausaha kepada Ketua Pemuda UMNO. 

Semua ini membuktikan bahawa UMNO cukup telus dan tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan dari rakyat mahupun pembangkang.  Pembangkang bebas bersuara dari dalam dan luar kerajaan dan seharusnya pembangkang merasa gembira dengan perkembangan ini. 

Malangnya, pembangkang masih belum gembira.  Bagi mereka ini semua masih belum cukup lagi.  Tiada apa yang dapat menggembirakan mereka dan tiada apa yang cukup yang dapat memuaskan hati mereka, melainkan jika kerusi Perdana Menteri diserahkan kepada mereka. 

Ini membuktikan bahawa pembangkang bukannya berjuang untuk rakyat kerana jika rakyat yang diperjuangkan, maka semua golongan rakyat telah mendapat peluang dan ruang di dalam kerajaan bagi membela nasib masing-masing.  Tetapi, apa yang pembangkang perjuangkan hanyalah kuasa dan kuasa semata-mata untuk merombak dan mengubahsuai Malaysia seratus peratus mengikut acuan yang diinginkan mereka walaupun acuan itu tidak menepati keinginan majoriti rakyat Malaysia.   


No comments: