Pemberian subsidi minyak
adalah sesuatu yang dianggap ‘wajib’ bagi negara-negara pengeluar minyak. Akhir-akhir ini, negara-negara ini
mula ‘mengeluh’ akan kesan dari subsidi yang begitu tinggi sehingga menjejaskan
pertumbuhan negara. Pada
tahun 2012 sahaja, jumlah penggunaan yang melibatkan subsidi direkodkan jumlah
USD544 bilion.
Jumlah permintaan di
negara-negara ini juga meningkat setiap tahun iaitu dijangka lebih dari 50
peratus dalam masa 17 tahun yang akan datang. Menurut Menteri Minyak dan Gas Oman,
Mohammed b. Hamad al-Rumhy di dalam Adipec Energy Conference di Abu Dhabi
baru-baru ini, subsidi petrol dan elektrik telah mengakibatkan pembaziran yang
besar kepada negara-negara teluk sekali gus mengancam ekonomi
dunia.
Venezuela adalah antara negara
yang memberi subsidi paling tinggi di mana minyak dijual di sekitar harga
USD0.008 se-gelen sejak 1998 - iaitu yang termurah di dunia. Antara negara lain yang turut memberi
subsidi ialah Amerika, Arab Saudi, Iran, Mesir, Burma, Kuwait, Bahrain,
Trinidad, Brunei, Bolivia dan tentu sekali, Malaysia.
Kebanyakan negara-negara ini
kini telah mula mengurangkan subsidi secara perlahan-lahan berikutan
perkembangan ekonomi dunia. Pada
Februari 2010, Iran telah mengurangkan subsidi yang menyebabkan minyak di
negara itu dijual pada harga 400 rial seliter berbanding 100 rial seliter
sebelumnya.
Disember 2010, kerajaan
Bolivia bercadang mengambil langkah sama yang mengakibatkan kenaikan harga
sehingga 83%. Bagaimanapun, ia mendapat tentangan meluas sehingga memaksa
kerajaan membatalkan rancangan itu. Akibatnya,
kerajaan Bolivia terpaksa berhadapan dengan pembaziran tenaga dan tidak mampu
mengadakan sebarang program berkesan untuk pembangunan dan kemajuan negara.
Pada tahun 2008, Malaysia
turut mengambil langkah mengurangkan subsidi minyak yang pada ketika itu
melibatkan jumlah USD14 billion dari bajet negara. Rungutan dan bantahan juga diterima
dari kalangan rakyat sepertimana yang dijangka. Bagi menanganinya, rebat cukai jalan
diperkenalkan bagi mengurangkan beban rakyat dalam menghadapi pengurangan
subsidi ini.
Sejak itu, kerajaan telah
berusaha untuk memberi berbagai bantuan lain bagi memastikan aktiviti ekonomi
dalam negara tidak terjejas. Ia
dilakukan selari dengan usaha memberi penjelasan berterusan mengenai perlunya
subsidi dikurangkan atau dihapuskan terus secara perlahan-lahan.
Rakyat kini mula memahami
bahawa peningkatan penggunaan tenaga dalam bentuk petrol dan diesel telah
meningkat dengan begitu drastik dan pemberian subsidi menjadi semakin tidak
relevan memandangkan ia hanya menguntungkan pihak yang berkemampuan, contohnya, pemilik kenderaan terutama
kereta mewah, dan juga para peniaga.
Sedangkan matlamat sebenar
subsidi adalah untuk membantu golongan miskin dan sederhana miskin.
Venezuela, sebagai negara yang
menjual minyak paling murah merupakan antara negara yang teruk terjejas dari
pemberian subsidi ini. Justeru, President Nicolas Maduro baru-baru ini mengumumkan yang
negara itu akan membincangkan perkara itu di kabinet bagi mencari jalan terbaik
untuk menjadikan kedudukan negara itu sebagai negara pengeluar minyak terbesar
di Amerika Latin satu ‘kebaikan’ dan bukannya ‘keburukan’ kepada rakyatnya
sendiri.
Subsidi minyak negara itu melibatkan jumlah
USD12.5 billion setahun dan turut mengundang kerugian yang besar akibat
aktiviti penyeludupan.
Jumlah subsidi yang begitu tinggi ternyata tidak
mampu memperbaiki taraf hidup majoriti rakyat di negara itu. Sehingga ke hari
ini, jurang miskin dan kaya begitu jauh dan ketara. Golongan kaya yang memiliki kereta
dikatakan mampu menghulurkan ‘tips’ kepada pekerja stesen minyak dalam jumlah
yang jauh lebih tinggi dari harga minyak yang diisi.
Ini jelas menunjukkan ada sesuatu yang tidak
kena dengan situasi ini. Yang
kaya semakin kaya dan yang miskin kekal ditakuk lama walaupun harga minyak
tidak berganjak.
Maka, kabinet Venezuela telah menerima hakikat
bahawa pemberian subsidi selama ini tidak membawa kesan yang
diharapkan. Sebaliknya, adalah lebih berkesan jika jumlah tersebut
digunakan untuk kebajikan rakyat miskin dari segi memperbaiki sistem pendidikan
dan juga kemudahan infrastruktur.
Langkah ini diyakini sebagai yang terbaik dalam
menangani inflasi dan juga defisit dalam bajet negara itu. Bagaimanapun, Venezuela bimbang
dengan reaksi rakyat yang mungkin tidak mampu memahami keperluan ke arah
perubahan ini. Sejarah
telah merekodkan rusuhan terburuk dengan 300 kematian kerana membantah kenaikan
harga minyak dalam tahun 1989.
Sejarah itu dijadikan pengajaran berguna di mana
Maduro mengambil langkah lebih berhati-hati dengan ‘membeli masa’ dengan
mengumumkan dahulu perancangan agar rakyat bersedia dan faham.
Apa yang dihadapi oleh Venezuela tidak jauh
berbeza dengan Malaysia. Lebih
dahsyat lagi bagi Malaysia kerana jumlah pemberian subsidi kepada rakyat hampir
menyamai Venezuela sedangkan negara itu berada di tangga ke 9 berbanding
Malaysia di tangga ke 29 dalam senarai negara pengeluar minyak dunia.
Dalam keadaan di mana ekonomi Malaysia
berkembang lebih pesat dan kukuh berbanding Venezuela, maka tidak salah jika
disimpulkan bahawa harga minyak yang rendah bukanlah penyelesaian bagi semua
masalah ekonomi. Apa
yang lebih penting ialah kebijaksanaan kerajaan memerintah untuk menjana
ekonomi dari berbagai sumber di samping memastikan kesejahteraan rakyatnya.
No comments:
Post a Comment