Tuesday, December 17, 2013

Kenapa Rusuhan di Singapura Tidak diPerbesarkan CNN?


8 Disember lalu, jiran kita iaitu Singapura yang menjadi kiblat masyarakat Cina di Malaysia menyaksikan rusuhan terburuk dalam sejarahnya. Kira-kira 400 perusuh telah membuat kacau memusnahkan harta awam serta membakar kenderaan di kawasan Little India.  Ia berpunca dari seorang lelaki India berusia 33 tahun telah mati dilanggar oleh sebuah bas ketika melintas jalan. 


Pihak berkuasa negara itu mengerahkan lebih 300 anggota keselamatan untuk meleraikan rusuhan.  Sehingga kini 27 orang telah ditangkap manakala 18 orang termasuk polis dan juga pemandu dan konduktor bas, telah cedera dalam rusuhan tersebut. 

Bagi sebuah negara kecil iaitu 714.3 km/p dengan populasi lebih kurang 5 juta, rusuhan yang melibatkan 400 perusuh dan kemusnahan yang berlaku pada Ahad lalu, bukanlah besar, tetapi bukan juga kecil.  Apatah lagi bagi sebuah negara yang sering mendabik dada sebagai lebih bijak dari kebanyakan negara di dunia, yang meletakkan kedudukannya sebagai setaraf dengan negara maju di barat dan memandang rendah pada rakan-rakan Asianya. 

Rusuhan yang buruk dalam negara ini yang turut terkenal dengan undang-undang yang ketat tentunya merupakan satu berita hangat. 

Namun, pelik sekali apabila media barat, terutamanya CNN tidak pula memberi liputan meluas mengenainya.  Sedangkan selama ini CNN cukup berminat dengan berita sebegitu.  Malah, rusuhan kecil juga sering diperbesar-besarkan, diulang-ulang dan dibincang berkali-kali dalam program-program mereka. 

Demonstrasi BERSIH atau Blackout atau Himpunan Kebangkitan Rakyat di Malaysia, misalnya, sering mendapat liputan meluas di CNN walaupun tidaklah seburuk mana.  Benar, jumlah pendemonstrasi lebih ramai dari Singapura tetapi perlu diingatkan bahawa Malaysia juga lebih besar dari Singapura dengan jumlah penduduk 23 juta iaitu hampir 4 kali ganda.  Pun begitu, kesannya tidak seburuk yang berlaku di Singapura. 

Dalam setiap demonstrasi di Malaysia kita boleh melihat bagaimana sebahagian dari mereka yang berada di tempat kejadian bukannya turut berdemonstrasi, tetapi sekadar ingin melihat sendiri kekecohan itu, tanpa sedikit pun merasa takut.  Jelas, rakyat negara ini cukup yakin dengan kecekapan polis menangani manusia-manusia tidak bertamadun yang menjadikan demonstrasi sebagai hobi. 

Bagaimanapun, demonstrasi di Malaysia pasti menarik minat media barat.  Beberapa pemimpin barat turut memberi perhatian sehingga ada yang membuat kenyataan seolah-olah ingin mengajar, kalau pun tidak memberi tekanan kepada Malaysia.  Media barat juga sedaya upaya cuba menggambarkan seolah-olah Malaysia tidak lagi selamat.  Walhal, rakyat Malaysia sendiri hanya memandang demonstrasi itu dengan sinis sahaja tanpa sedikit pun merasa terancam kerana tahu bahawa ia dilancarkan tanpa sebab yang konkrit tetapi sekadar untuk mencari publisiti di media asing. 

Berbeza dengan demonstrasi di Singapura, rakyat dan kerajaan negara itu jelas terlepas pandang akan sesuatu yang telah lama terpendam di hati manusia yang menduduki negara itu. 

Sesuatu rusuhan seganas itu tidak mungkin tercetus hanya kerana satu insiden seperti kemalangan.  Rusuhan ganas adalah kemuncak dari rangkaian keadaan atau peristiwa yang menyebabkan ketidakpuasan hati dan kemarahan terpendam lama.

Memandangkan yang terlibat adalah warga asing yang kebanyakannya dari India dan Bangladesh, maka kemungkinan besar rusuhan ini berkait rapat dengan cara Singapura melayan pekerja asing di peringkat bawahan atau buruh kasar.   Tahun lepas, warga asing dari China yang menjadi pemandu bas di negara itu juga telah melancarkan mogok kerana tidak puas hati terhadap layanan dan gaji yang diterima mereka. 

Ini menguatkan persepsi mengenai trend menindas golongan bawahan di Kota Singa itu.  Persepsi ini amat menepati sikap kiasu kaum Cina yang mendominasi negara itu. 

Bagaimanapun, sepertimana CNN tidak begitu berminat dengan rusuhan ganas di Singapura, begitu jugalah kumpulan-kumpulan pejuang hak asasi manusia di barat tidak begitu berminat dengan golongan yang tertindas di Singapura. 

Nampaknya, Singapura mendapat layanan istimewa dari barat.  Segala keburukan negara itu tidak akan dihebahkan dan sebaliknya hanya kebaikannya sahaja yang ditonjolkan.  Ini mengukuhkan anggapan ramai bahawa Singapura merupakan ‘adik’ kepada Amerika Syarikat atau lebih tepat kumpulan Neo-con yang sedang bermaharajalela di seluruh dunia melalui operasi pertukaran rejimnya. 

Justeru, tidak hairanlah apabila CNN hanya memberi liputan ‘melepas batuk di tangga’ mengenai rusuhan di Singapura kerana imej negara itu perlu dijaga agar ia dapat terus menjadi mata, telinga ataupun ‘alat’ Amerika Syarikat di Asia Tenggara, dalam usaha kuasa besar itu untuk menguasai dunia. 


No comments: