Friday, December 20, 2013

Himpunan ‘Turun’ Hanya Akan Tambah Beban Rakyat

Media pembangkang pada masa ini sedang sibuk mempromosikan Himpunan ‘Turun’ iaitu satu gerakan membantah kenaikan harga barang.  Khabarnya, himpunan ini juga membawa matlamat untuk menggulingkan kerajaan. 

‘Turun’ bakal diadakan pada malam tahun baru iaitu 31 Disember, pada jam 8.00 malam.  Setakat ini, lokasi perhimpunan belum lagi diumumkan.   Bagaimanapun, kita yakin pembangkang akan menggunakan strategi yang sama iaitu ‘menumpang tempat di mana orang ramai berhimpun’ sempena menyambut tahun baru. 

Ini bagi mengelakkan malu sekiranya jumlah peserta tidak memberangsangkan, selain memudahkan mereka membuat kecoh dan huru-hara.  Ia juga bagi memudahkan liputan dibuat oleh media asing bagi menggambarkan seolah-olah Malaysia berada dalam keadaan yang tidak selamat. 

Strategi kotor pembangkang ini dengan dengan sendirinya membuktikan hipokrasi mereka dalam memperkatakan tentang nasib rakyat.  Apa yang jelas, pembangkang hanya inginkan publisiti murah sambil menangguk di air keruh. 

Hakikatnya, jika benar mereka prihatin, mereka tidak akan mengadakan demonstrasi, apatah lagi di malam tahun baru yang mampu menggugat kestabilan dan memburukkan imej negara di mata asing.  Bukan mereka tidak tahu bahawa tindakan sedemikian hanya akan mengundang risiko negara kehilangan pelaburan dan mengalami kemusnahan.  Sekiranya ini berlaku, yang akan menanggung akibatnya ialah rakyat juga. 

Tiada siapa dapat menafikan bahawa peningkatan harga barang setakat ini tidak menjejaskan kehidupan rakyat Malaysia.  Kita percaya tahun baru ini juga akan disambut meriah seperti biasa.  Dalam kata lain, secara dasarnya, tiada siapa yang perlu melakukan perubahan drastik semata-mata untuk ‘menyesuaikan’ diri dengan peningkatan kos sara hidup. 

Namun, jika pembangkang berjaya membuat huru-hara dan menggulingkan kerajaan pada malam 31 Disember ini, maka bersedialah kita ke arah kehidupan yang benar-benar sukar.      

Kita telah melihat sendiri bagaimana nasib rakyat di negara-negara yang telah ‘berjaya’ menggulingkan kerajaan.  Tidak ada satu pun dari negara-negara itu yang memperlihatkan nasib rakyat yang lebih baik dari sebelumnya.  Semuanya menyaksikan kemusnahan yang bertimpa-timpa dan kesusahan yang berpanjangan. Iraq, Mesir, Libya, misalnya terus meraba-raba mencari pegangan untuk bangun berdiri kembali.  Sehingga kini, keadaan masih terus buruk dan lebih buruk berbanding sebelum kerajaan digulingkan. 

Apabila sesebuah kerajaan digulingkan secara kekerasan perkara yang pertama berlaku ialah pelabur akan lari yang mana menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan.  Industri pelancongan juga akan terjejas teruk dan negara akhirnya kehilangan pendapatan.  Lalu, siapapun yang menjadi pemerintah pada ketika itu,  akan terpaksa menggunakan segala rezab yang ada dan membuat pinjaman bagi memulihkan keadaan.  Ini bermakna, tanggungan yang lebih untuk kerajaan dan rakyat juga akan menanggung kesengsaraan. 

Sekarang cuba bayangkan ia berlaku di Malaysia.  Sudah tentu negara yang telah musnah tidak mampu memberi pendidikan peringkat rendah dan menengah secara percuma lagi.  Kerajaan juga tidak lagi mampu membantu bumiputera dan tidak lagi mampu meneruskan saki baki subsidi.  Bumiputera akan kehilangan daya beli dan perniagaan kaum lain juga akan terjejas teruk.  Bank-bank pula pastinya akan mengetatkan syarat-syarat pinjaman dan rakyat akan semakin tertekan. 

Akhirnya, perjuangan himpunan untuk membantah kenaikan harga barang tadi, hanya membawa kenaikan harga barang yang lebih tinggi dan seterusnya kepada kesukaran untuk hidup. 

Senario ini bukanlah satu gambaran untuk menakut-nakutkan sesiapa tetapi ia adalah sesuatu yang pasti berlaku sekiranya kerajaan sesebuah negara digulingkan dengan kekerasan. 

Justeru, kita menyeru kerajaan untuk mengambil tindakan tegas untuk mencegah pembangkang dari melakukan kemusnahan.  Contohilah cara Singapura menangani karenah perusuh baru-baru ini.  Buktikan yang kerajaan bukan mengejar populariti tetapi hanya melakukan apa yang terbaik untuk negara ini. 


No comments: