Thursday, December 26, 2013

Hentikan Perbalahan, Kukuhkan Keamanan – Najib Razak




Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyeru agar rakyat sentiasa menitikberatkan kebersamaan bagi tujuan untuk mengukuhkan keamanan, keharmonian dan kestabilan negara. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian di majlis Rumah Terbuka Krismas 2013 di Georgetown semalam.

Menurut perdana menteri, walaupun terdapat perbezaan tafsiran seperti konsep Tuhan dalam agama Islam dan Kristian, ia tidak seharusnya dijadikan perbalahan yang boleh merenggangkan hubungan antara kaum.

“Islam dan Kristian adalah dua agama terbesar di dunia. Kedua-dua agama ini boleh dikatakan mempunyai asal usul yang sama, ada permulaan yang sama iaitu agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim.

“Meskipun dari segi akidah kita ada perbezaan, umpamanya konsep Tuhan. Dalam Islam konsep Tuhan agak berbeza. Tetapi kalau kita sentiasa berbalah atas perkara ini, maka kita akan merenggangkan hubungan antara orang Islam dan orang Kristian,” katanya.

Terdahulu ketika menyampaikan ‘Mesej Hari Krismas’ beliau turut menyentuh mengenai isu kesatuan dalam kepelbagaian yang menjadikan Malaysia sebegai sebuah negara yang unik dan istimewa. Walaupun rakyat hidup dalam suasana yang berbilang kaum, namun semangat muhibah itu dapat dirasai oleh semua, apabila tibanya perayaan keagamaan kerana ia dapat diraikan secara bersama.

“Jika hendak dibandingkan dengan tempat-tempat lain, sudah pastinya kita lebih bertuah. Di sesetengah tempat di dunia, wujud ketidakharmonian dan persengketaan. Apabila masyarakat berbilang bangsa dan agama enggan menerima hakikat perbezaan antara mereka, persengketaan pasti berlaku.

“Meskipun begitu, tetap wujud percubaan untuk memecahbelahkan harmoni antara kita. Sering kali tekad perpaduan kita diuji. Mujurlah, berkat kesabaran, penerimaan dan persefahaman, kita dapat mengatasi segala-galanya. Marilah kita terus bersatu padu dan berusaha gigih untuk memastikan Malaysia sentiasa dipenuhi keharmonian serta peluang, dan kita insafi nikmat kerana dapat hidup di bumi bertuah ini” katanya menerusi laman sosial rasmi www.1malaysia.com.my.

Justeru, beliau menggesa rakyat supaya tidak lupa kepada rahmat yang dikurniakan dan berusaha berkongsi rahmat itu dengan setiap orang di sekeliling.

Katanya, semangat muhibah perlu disemarakkan lagi dengan saling kunjung-mengunjungi dan sentiasa mengingati ajaran yang mendorong untuk menghormati kepercayaan lain.

"Mari kita melakar langkah ke hadapan dengan penuh harapan, keyakinan dan kepastian bahawa setiap orang dikurniakan masa depan yang cerah di tanah air tercinta ini.

"Saya mengucapkan selamat menyambut Hari Krismas kepada anda semua. Semoga perayaan ini membawa seribu keriangan dan makna," katanya lagi.


No comments: