Kita tidak menafikan bahawa kerajaan ada kelemahan, sepertimana
pembangkang juga ada keburukan. Sebagai
kerajaan yang terbuka dan matang, sebarang kritikan perlu dikaji dengan
sebaiknya manakala kutukan pula diterima dengan tenang. Namun begitu, kita
juga mengharapkan kematangan dan sikap professional yang sama, di kalangan
mereka yang melemparkan kritikan terhadap kerajaan.
Kita dapati sesetengah orang begitu beremosi apabila mengkritik
kerajaan akhir-akhir ini. Emosi
marah yang dijana setiap hari mampu mengakibatkan seseorang itu hilang
pertimbangan. Justeru,
sudahnya, pengkritik yang dianggap professional dan matang juga mula melatah
dan bersikap seperti pengkritik jalanan yang tidak bersandarkan fakta dan asas
yang kukuh.
Hanya kerana setiap kritikan yang dilemparkan disambut dan
dipersetujui ramai tidak bermakna semua yang dikritik itu benar. Apabila diri pengkritik sudah dikuasai
riak dan takbur kerana sering dipuji atas kehebatan kritikan, beliau hampir
pasti akan tergelincir juga dari landasan fakta dalam berkata-kata.
Inilah yang berlaku apabila seorang pengkritik begitu teruja untuk
mengkritik sehingga mengambil laporan ‘dengar-cakap’ dari pembaca dan rakan
sebagai benar, tanpa terlebih dahulu menyemak faktanya.
Akhirnya, Perdana Menteri juga yang menjadi mangsa fitnah apabila
pengkritik menghebahkan kononnya beliau tidak menghadiri pengkebumian Mendiang
Nelson Mandela atas alasan ingin menjimatkan kos. Kononnya perkara itu dilaporkan oleh
Radio Sinar FM.
Walhal, yang berkata demikian adalah Perdana Menteri Israel bukan
Perdana Menteri Malaysia.
Nampaknya, daripada tersalah dengar kemudiannya menjadi fitnah
yang disebar dan dipercayai oleh begitu ramai pembaca.
Kenapa Perdana Menteri tidak menghadiri pengkebumian Mandela
seharusnya tidak menjadi persoalan di kala negara sedang ditimpa bencana. Apatah lagi bencana itu menimpa negeri
kelahiran Perdana Menteri sendiri. Sudah
tentulah rakyat perlu didahulukan walaupun beliau dan negara ini menyanjung
tinggi jasa Mandela.
Sebagai menghormati Mendiang Mandela, Perdana Menteri telah
menugaskan Datuk Seri Tengku Adnan dan Datuk Dr. Maximus Ongkili untuk mewakili
beliau dan negara ini ke pengkebumian tokoh keadilan itu. Yang pergi tetap pergi, dan tidak akan
kembali tetapi yang sedang bergelut dengan bencana alam wajib disorongkan
harapan, bantuan dan sokongan.
Oleh itu, tidak timbul soal Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan
kenyataan bodoh. Tidak
timbul juga soal Radio Sinar FM tersalah lapor.
Yang timbul adalah seorang pendengar yang tersalah dengar dan
seorang blogger yang tersalah lapor.
Walaubagaimanapun, hal yang sebegini kecil mampu menjadi besar
jika tidak ditangani dengan baik. Sewajarnya,
Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan balas secara rasmi secara segera
bagi membetulkan maklumat yang tidak tepat itu. Selain itu, Pejabat Perdana
Menteri boleh memberi sedikit nasihat secara tegas agar setiap pengkritik
menyemak fakta mereka sebelum menulis agar tidak menjadi penyebar fitnah.
Maklumat yang tersalah lapor secara sengaja atau tidak sengaja di
dalam media massa mampu membawa akibat yang diluar jangkaan. Ingatlah bahawa penghapusan etnik
Rohingya juga bermula dari maklumat yang disalah lapor. Rakyat yang telah sedia marah atau
terhasut dengan sesuatu isu, akan mudah mempercayai apa jua maklumat yang
menepati kemarahan mereka. Lebih
malang lagi, apabila mereka telah terhasut, apa jua maklumat yang benar tetapi
tidak menepati emosi mereka, tidak lagi akan dipercayai mereka.
Justeru, kita memohon kepada semua warga maya agar lebih
berhati-hati apabila menerima maklumat. Tidak semestinya seorang blogger
tersohor itu tidak mampu membuat kesilapan. Manusia tetap manusia, biarpun
tersohor atau tidak. Sekiranya kita membiarkan diri kita hanyut dengan ego
atau marah, maka tidak mustahil satu hari kita akan berbuat silap dan memalukan
diri sendiri.
No comments:
Post a Comment