Kenaikan harga minyak petrol dan diesel baru-baru ini seharusnya menyedarkan rakyat Malaysia mengenai betapa pentingnya mengamalkan perbelanjaan berhemah.
Daripada merungut dan membuat aksi 'flash mob' untuk membantah tindakan kerajaan menaikkan harga petrol dan disel sebanyak 20 sen dan RON95 sebanyak 15 sen, lebih elok rakyat berfikiran positif dan pro-aktif bagaimana hendak membuat 'adjustment' atau penyesuaian kepada gaya hidup mereka.
Pembangkang akan melihat isu ini sebagai modal politik mereka untuk menyerang kerajaan.
Pembangkang hanya tahu satu perkara sahaja untuk mengurus kewangan negara, sama ada menurunkan harga barangan atau menghapuskan sama sekali seperti dalam kes pinjaman pendidikan PTPTN.
Memang senang untuk menurunkan harga barangan keperluan seperti minyak, gula, minyak masak, tepung dan sebagainya untuk mendapat populariti politik tetapi apakah sudah difikirkan implikasinya kepada ekonomi dan kewangan negara.
Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa mengamalkan dasar pengurusan kewangan negara yang seimbang.
Dalam pada kerajaan menjalankan program-program pembangunan negara bagi mencapai objektif pendapatan tinggi menjelang tahun 2015 serta visi status negara membangun pada 2020, kerajaan juga prihatin terhadap dasar sosial yang kukuh bagi kesejahteraan negara.
Ini bermakna kerajaan harus mencari perseimbangan bagi pembangunan negara dalam semua aspek - pendidikan, sosial, kesihatan dan lain-lain lagi.
Wang yang mencukupi harus ada bukan sahaja untuk membuat jalan raya di bandar dan kawasan pendalaman tetapi juga menyediakan dana bagi membangun perkhidmatan sosial dan kesihatan bagi rakyat yang bertaraf antarabangsa.
Kenaikan harga bahan api akan menjimatkan perbelanjaan kerajaan dari segi subsidi sebanyak RM1.1 bilion setahun.
Wang yang dijimatkan pula boleh diagih dan disalurkan kepada sektor-sektor yang lebih kritikal seperti pembinaan sekolah, klinik hospital, jalan raya dan sebagainya.
Kenaikan harga barangan tidak boleh dielakkan kerana harga produk atau perkhidmatan bukanlah sesuatu yang statik atau kaku.
Rakyat tidak boleh mengharapkan harga petrol atau rumah sebagaimana ianya dijual 20 atau 30 tahun dahulu.
Zaman berubah, negara semakin maju dan harga semakin meningkat.
Selain faktor permintaan dalam pasaran domestik, harga juga dipengaruhi oleh faktor luaran seperti iklim ekonomi dunia.
Ini kerana bukan semua produk yang dikilangkan di negara ini menggunakan bahan mentah yang dihasilkan oleh pengeluar tempatan.
Kebanyakan produk atau barangan masih memerlukan bahan mentah yang perlu diimport dari luar negara.
Harga bahan mentah ini pula bukan ditentukan oleh pengusaha tempatan tetapi oleh pengeluar di negara ia di eksport.
Jika harga bahan mentah yang dimport mahal dan di luar kawalan tempatan maka barangan yang dihasilkasn juga akan turut menerima kesan kenaikan harga.
Ini adalah satu realiti yang harus difahami oleh rakyat dan bukannya termakan dengan dakyah pembangkang yang tidak bertanggungjawab.
Daripada berbelanja besar untuk makan luar di restoran atau di gerai saban hari, apa kata suri rumah lebih menekankan kepada 'home cooked meal' atau masakan di rumah kerana ia lebih menjimatkan malah lebih sihat.
Kalau selalu beli makanan di restoran atau gerai, kemungkinan besar lambat laun akan mendapat penyakit kronik seperti masalah jantung, kencing manis, kerosakan ginjal dan lain-lain masalah kesihatan.
Ini kerana masakan gerai atau restoran menggunakan garam dan serbuk perasa atau 'MSG' yang berlebihan dan seringkali tahap kebersihan premis dan juga cara pembikinan makanan diragui.
Mungkin juga rakyat Malaysia boleh kurangkan menonton rancangan televisyen melalui langganan saluran berbayar.
Penjimatan bulanan yuran untuk 'Astro' umpamanya boleh digunakan untuk membeli buku latihan untuk anak-anak di sekolah.
Hakikatnya jika ada kemahuan semua boleh jadi seperti pepatah, 'hendak seribu daya, tak mahu seribu helah' atau 'when there is a will, there is a way'.
No comments:
Post a Comment