Jika pilihanraya yang lepas dikatakan sebagai ‘ibu segala
pilihanraya’, maka pemilihan UMNO kali ini pula dikatakan sebagai ‘ibu segala
pemilihan UMNO’. Ini
kerana UMNO dikatakan berada dalam keadaan yang lemah dan kehilangan punca
walaupun telah berjaya menambah kerusi pada PRU yang lalu.
UMNO pada hari ini dikatakan berada dalam keadaan dilemma dalam
mencari jati diri. Sebahagian dari kepimpinan di peringkat tinggi dilihat
mempunyai ‘idea’ yang berbeza dengan penyokong-penyokong dan juga ahli dari
akar umbi berkenaan hala tuju UMNO.
Secara dasarnya, ahli-ahli dan penyokong UMNO berpegang teguh
kepada semangat asal penubuhannya iaitu dengan berpasak kepada perjuangan
agama, bangsa dan negara. Ini
bermakna UMNO wajib memperjuangkan pemerkasaan Melayu, dengan berdiri teguh
atas keperibadian Melayu dan agama Islam.
Hanya kerana ingin memajukan diri, UMNO tidak harus menukar hala
tujunya atau keperibadiannya. Apa
yang UMNO perlu lakukan adalah menukar cara pemikiran agar lebih berdaya saing
dan berdaya maju dengan memperbetulkan apa yang salah serta memperbaiki segala
kelemahan.
Namun, kebanyakan pemimpin UMNO dikhuatiri tidak memahami hasrat
akar umbi. Lebih teruk lagi
apabila mereka turut memandang rendah dan memperlekehkan semangat UMNO yang
asal. Kononnya ‘kemelayuan’ itu adalah kelemahan dan kerana itu UMNO
tidak boleh terlalu Melayu lagi. Apa
yang pemimpin sebegini terlepas pandang ialah tatkala pemimpin UMNO menggadai
Melayu, kaum lain terus berjuang memperkasakan jatidiri bangsa
masing-masing. Akibatnya,
orang Melayu berada dalam kerugian serta mengalami ancaman ‘hilang di
dunia’.
Justeru itu, pemilihan UMNO yang bakal menjelang ini dilihat
sebagai pertembungan antara pemimpin yang membawa roh asal UMNO dengan pemimpin
yang telah tersasar jauh dari perjuangan UMNO. Biarpun semuanya memakai nama UMNO dan
berpakaian UMNO tetapi beberapa tindakan dan kenyataan sebahagian mereka
sebelum ini telah memperlihatkan suara liberalis yang lebih mirip kepada
pembangkang.
Mungkin sukar untuk diakui tetapi hakikatnya, UMNO sedang
merekah, meretak dan menunggu masa untuk pecah berkecai.
Dalam keadaan ini, kepimpinan perlu berhati-hati dalam mengambil
apa saja keputusan untuk memastikan UMNO kekal kuat. Walaupun pertandingan bagi semua
jawatan adalah perlu untuk memulihkan UMNO agar kembali menepati harapan dan
jangkaan akar umbi tetapi hakikatnya, pertandingan juga mampu memecahbelahkan
parti yang telah sedia retak ini.
Mungkin menyedari hakikat ini, maka Tan Sri Muhyiddin Yassin,
Timbalan Presiden UMNO, dikatakan tidak akan mencabar Presiden.
Ini merupakan satu keputusan yang amat
bijak, sekali gus menggambarkan kematangan dan ketokohan Tan Sri Muhyiddin. Biarlah semua jawatan lain
dipertandingkan, tetapi bukan jawatan tertinggi bagi mengelakkan berlakunya
taufan yang bukan saja mampu menyebabkan UMNO hancur tetapi juga mampu
meletakkan negara dalam keadaan tidak menentu.
Tan Sri Muhyiddin tentunya seorang tokoh UMNO tulin kerana
sentiasa melakukan apa yang terbaik untuk UMNO tanpa memikirkan kesan terhadap
dirinya. Tiada siapa yang
boleh lupa bagaimana beliau bertindak tegas meminta Tun Abdullah melepaskan
jawatan apabila bekas Perdana Menteri itu dilihat sebagai tidak lagi mampu
memandu UMNO di atas landasannya yang betul.
Walaupun Tan Sri Muhyiddin boleh saja ‘mencuba nasib’ mencabar
Dato’ Seri Najib tetapi beliau cukup faham bahawa dalam keadaan sekarang,
tindakan ‘cuba-cuba’ bukanlah sesuatu yang bijak untuk dilakukan.
Sesungguhnya, walaupun sokongan kepada Dato’ Seri Najib
dikatakan cukup kukuh dan tidak mempunyai masalah untuk mengekalkan jawatan
walaupun ia dipertandingkan, tetapi UMNO dan negara tidak mampu mengambil
sebarang risiko.
Oleh yang demikian, kita rakyat Malaysia harus bersyukur kerana
masih mempunyai pemimpin yang tidak tergila-gilakan jawatan serta sanggup
melepaskan peluang demi memastikan parti dan negara berada dalam keadaan
terkawal. Kita
percaya sebahagian besar ahli-ahli UMNO menghargai pengorbanan Tan Sri
Muhyiddin dan turut berkongsi semangat yang sama dengan beliau. Bagi memastikan pengorbanannya tidak
sia-sia, UMNO wajib membuat pilihan yang tepat dalam pemilihan nanti.
Sekiranya ini berjaya dilakukan, maka kita semakin optimis yang
UMNO bakal menambah sekurang-kurangnya 10 kerusi lagi dalam PRU-14 nanti.
No comments:
Post a Comment