Sikap DAP dipersoalkan apabila seolah-olah seperti 'kacang lupakan
kulit' dengan lebih mengagungkan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng
berbanding pengasas sebenar parti itu, bekas Presiden Singapura, CV Devan Nair.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Alam Shah (DUN), M.
Manoharan mendakwa, ini berikutan DAP sukar menerima kematian Chin Peng dengan
dilihat begitu agresif mempertahankan ketua komunis itu berbanding pengasas DAP
itu sendiri.
Malah, kata beliau, parti tersebut seolah-olah sudah 'memadamkan'
Devan Nair yang juga merupakan bekas Setiausaha Agung parti itu.
Jelasnya, DAP tidak pernah memberi penghormatan dan penghargaan
yang secukupnya kepada Devan Nair sehingga saat ini berbanding 'pemimpin' lain
dalam parti.
"Layanan ini sungguh berlainan jika mahu dibandingkan dengan
Chin Peng yang meninggal dunia baru-baru ini. Rata-rata pemimpin DAP
menunjukkan sokongan terhadap perjuangannya, ada juga Ahli Parlimen DAP dan
penyokong yang telah memberikan penghormatan terakhir di Thailand, blog juga
penuh dengan cerita Chin Peng. Devan Nair langsung tiada.
"Apakah jenis jasa Chin Peng terhadap parti jika dibandingkan
dengan Devan Nair? Penyokong parti juga ingin tahu mengapa Devan Nair seolah-olah
sudah dilupakan, saya mohon DAP untuk segera betulkan keadaan ini,"
katanya kepada Utusan Malaysia.
Devan Nair merupakan satu-satunya pemimpin PAP yang berjaya
memenangi kerusi Parlimen di negara ini dalam Pilihan Raya Umum Kedua pada 1964
iaitu semasa Singapura masih sebahagian daripada Malaysia.
Bekas Ahli Parlimen Bangsar itu seterusnya mengasaskan DAP setelah
Singapura berpisah daripada Malaysia pada 7 Ogos 1965.
Beliau kemudian kembali ke Singapura dan dilantik sebagai Presiden
republik itu mulai 23 Oktober 1981 hingga 27 Mac 1985.
Kata Manoharan lagi:
""Potret Devan Nair tidak pernah digantung di mana-mana,
tidak pernah ada apa-apa program yang dibuat untuk memperingati hari lahir atau
kematian beliau dalam parti, malah tidak ada maklumat atau biodata beliau dalam
laman rasmi DAP atau Roketkini.
"Adakah ini adil dan sesuatu yang betul? Beliau adalah
pengasas parti ini. Mengapa mahu dilupakan begitu sahaja? Tidak ramai yang tahu
perjuangan dan pengorbanan Devan Nair, bukankah parti bertanggungjawab menjaga
sejarah ini."
Manoharan turut memuji parti Gerakan yang meskipun didominasi oleh
kaum Cina, namun masih tetap meletakkan potret pengasas dan Presidennya, Syed
Hussein Alatas di pejabat parti itu.
~ Utusan
No comments:
Post a Comment