SUASANA pemilihan UMNO semakin terasa bahangnya. Di sana sini sibuk orang memperkatakannya. Ada berbagai-bagai idea dan pandangan diutarakan. Yang jelas semua idea dan pandangan adalah manifestasi daripada rasa cinta dan sayang kepada UMNO.
Antara idea yang paling menonjol adalah pandangan tentang perlunya proses meremajakan UMNO. UMNO dilihat sudah tua. Maka untuk meremajakan UMNO, orang tua dalam UMNO perlu beri laluan kepada orang muda untuk menerajui parti, manakala orang tua atau orang lama perlu mengundur diri. Apakah ini satu perkara yang perlu dilakukan oleh UMNO?
Isu sekarang bukan orang muda atau orang tua. Isunya bukan orang lama atau orang baru. Isu yang paling penting adalah bagaimana UMNO boleh terus relevan menjadi parti pilihan rakyat. Bagaimana UMNO boleh terus menjadi parti yang dominan dalam pemerintahan negara.
Dan yang lebih penting, bagaimana UMNO boleh terus dipilih oleh Allah SWT; untuk terus memerintah Malaysia pada Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti. Ini kerana, hakikatnya bukan rakyat yang pilih. Allah yang pilih. Rakyat hanya asbab. Yang memenangkan adalah Allah, dan mengalahkan adalah Allah.
Semua apa yang berlaku adalah mengikut pentadbiran kudrat dan iradat Allah SWT. Kita hanya berusaha. Yang menentukan adalah Allah SWT.
Teras atau dasar UMNO yang pertama dan utama adalah Alif iaitu Agama. Kemudian baru Bangsa dan diikuti oleh Tanah Air.
Ini jelas diterjemahkan pada bendera UMNO. Di tengah-tengah bendera UMNO ada keris. Dan keris itu berwarna hijau. Keris bermakna Melayu. Hijau bermakna Islam. Maka roh perjuangan sejak dahulu adalah agama Islam. Dan inilah yang telah menjadi asas kepada kesatuan dan persatuan bangsa Melayu.
Islamlah yang telah menjadi titik temu antara kita. Hingga maruah bangsa dapat dibela. Hingga Malayan Union runtuh dan membawa kepada kemerdekaan negara. Sesungguhnya Islamlah asas kepada kebangunan peradaban bangsa.
Bagi menjamin kelangsungan keberadaan UMNO ini, nilai dan roh agama dalam UMNO perlu diperkasakan .
Jika kita melihat kepada trend Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) dan PRU-13; Rakyat amat dahagakan agama. Jika UMNO ingin bertahan dan terus diberi mandat dengan majoriti yang besar pada PRU-14 nanti, UMNO perlu memastikan paksi perjuangannya adalah agama.
Justeru, jangkamasa lima tahun ini sangat penting. Ia bukan semata-mata untuk meremajakan UMNO. Tetapi yang lebih penting adalah untuk membuktikan bahawa UMNO adalah sebuah parti yang terus relevan di mata bahkan di hati rakyat secara keseluruhannya. Bukan hanya di mata dan hati orang muda saja.
Hasan Al-Bana mengatakan, kamu tidak akan dapat melahirkan sebuah negara Islam. Selagi kamu tidak melahirkan individu-individu yang benar-benar Islam.
Meminjam roh dan semangat daripada kata-kata itu, maka UMNO perlu melahirkan ahli dan barisan kepimpinan yang berjiwa agama. Yang faham bahawa mereka adalah warga akhirat dan bukan warga dunia. Yang insaf bahawa UMNO bukan matlamat. Matlamat akhir adalah redha Allah. Yang sedar UMNO hanya alat. Alat untuk membina akhirat.
Ahli dan barisan kepimpinan yang faham bahawa Islam tempatnya bukan pada dinding , tembok dan kertas. Islam bukan terletak pada bangunan, acara sambutan dan perarakan semata-mata. Islam bukan hanya terletak pada membaca doa pada awal dan akhir majlis. Islam letaknya pada diri. Yang diterjemah dalam setiap gerak dan tindak. Hinggalah lahirlah 'al-Quran' yang bergerak.
Ahli dan barisan kepimpinan yang sedar bahawa matlamat hidupnya di dunia adalah ibadah dan dakwah; dengan menjadikan Islam sebagai cara hidup. Kepekaan terhadap persoalan dosa, pahala, halal dan haram menjadi tinggi. Iman dan takwa menjadi subur. Penghayatan solat sebagai tiang agama menjadi agenda hidup. Solat sunat, puasa sunat, bangun malam, bacaan Quran, zikir, istigfar dan selawat menjadi KPI diri. Imarah Masjid menjadi budaya. Sedekah, beramal jariah, wakaf dan berinfaq harta tidak dilupa. Orang tua dihormati. Orang muda disayangi. Ulama dimuliakan. Fakir miskin dan anak yatim disantuni.
Ahli dan barisan kepimpinan yang menjadikan matlamat akhir hidupnya adalah untuk dapat bersama dengan Rasulullah SAW dan para Sahabat RA di akhirat nanti; Dan akhirnya dapat bertemu dengan Allah di dalam syurga.
Untuk itu, proses penjenamaan semula UMNO sebagai parti yang meletakkan Islam sebagai asas perjuangannya, adalah amat penting untuk dilaksanakan. Maka program tarbiah dan dakwah yang bermodul untuk ahli dan barisan kepimpinan UMNO perlu diwujudkan. Ia perlu dirancang dengan baik. Mengambil kira semua peringkat dalam UMNO; dari akar umbi membawa kepada barisan pucuk pimpinan.
Agenda ini bukan hanya tanggungjawab dan perlu digerakkan oleh Biro agama UMNO semata-mata. Tetapi proses ini perlu berlaku pada semua biro, sayap dan jentera yang ada dalam UMNO. Yang nak diubah bukan UMNO. Yang di ubah adalah orang dalam UMNO. Maka seluruh ahli dan saf kepimpinan dalam UMNO perlu dibawa bersama ke arah kesatuan hati dan fikir. Ke arah kesatuan gerak dan tindak bagi merealisasikan visi dan misi ini.
Maka program tarbiah dan dakwah perlu diletakkan sebagai agenda arus perdana dalam UMNO. Dan ini perlu berlaku dari akar umbi di peringkat cawangan hinggalah ke bahagian, negeri dan negara secara keseluruhannya.
Hal ini perlu diterjemahkan dalam pemilihan pemimpin UMNO nanti. Isunya bukan orang tua atau orang muda. Bukan orang lama atau orang baru. Isu yang terpenting adalah mereka yang bakal dipilih nanti adalah mereka yang mampu menjadikan agama sebagai cara hidup dan asas perjuangan.
Mereka yang dipilih nanti hendaklah mereka yang secara sedar mempunyai keinginan, iltizam dan komitmen yang tinggi untuk mendokong amanah sebagai pemimpin yang berjiwa dai, muallim, muaadib dan murabbi. Yang akhirnya mampu menjadi role model dan ikutan kepada seluruh ahli UMNO dan juga rakyat keseluruhannya.
~Utusan.
No comments:
Post a Comment