Wednesday, February 5, 2014

Rafizi Menangis, Minta Pengundi Kajang Tolak Anwar Ibrahim

Tidak cukup dengan ucapan maaf, Ketua Strategi PKR, Rafizi Ramli terpaksa menangis bagi memastikan rakyat khususnya pengundi di Kajang tersentuh dan simpati dengan pementasan drama terbaharu yang sedang dilakonkan ini. Ia dilakukan bagi memastikan pengundi Kajang terus menerima PKR walaupun pada hakikatnya tindakan yang dilakukan ini boleh disifatkan seperti mempermain-mainkan kepercayaan rakyat sekali gus menghina sistem demokrasi negara.

Paling menarik di dalam rakaman ‘drama air mata’ berdurasi 2 minit itu, Rafizi turut meminta pengundi di Kajang agar menolak Anwar Ibrahim sekiranya merasakan tindakan PKR ini merupakan satu ‘permainan’.

"Kalau ini permainan PKR yang perlu ditolak, tolaklah kami” katanya.

Dia yang sebak dengan mata yang kemerah-merahan sehingga menyebabkan ucapannya tersekat-sekat berkata, ia adalah satu keputusan yang menyakitkannya.

"Ia menyakitkan saya kerana ia adalah idea saya untuk mengheret Anwar Ibrahim ke dalam perkara ini (sebak) dan ia bukan perkara yang mudah. Namun apabila tanggungjawab ini jatuh di atas bahu anda (sebak), apa lagi yang anda boleh lakukan?" katanya lagi.

Setiausaha parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvan yang juga merupakan sekutu pakatan pembangkang ketika mengulas isu yang dibangkitkan ini mengatakan PKR tidak sepatutnya menjadikan isu pergolakan dalaman kerajaan campuran di negeri Selangor sebagai beban kepada rakyat sehingga perlu diadakan satu pilihanraya kecil di Kajang. Menurutnya lagi kesan daripada tindakan itu telah menyebabkan rakyat marah.

“… bahawa PKR tidak dapat menangani masalah dalaman dan tidak boleh menguruskan isu rumah tangga (sehingga) menyebabkan rakyat di Kajang terpaksa menentukannya. Ia telah memberikan satu precedent (teladan) yang tidak baik,” tegasnya.

Paling menarik, blogger ‘AmenoWorld’ yang begitu kuat menyokong pakatan pembangkang sebelum ini dilihat turut tidak bersetuju dengan tindakan yang dilakukan itu. Menurutnya apa yang berlaku di Kajang hanyalah untuk menyelesaikan masalah dalaman PKR yang telah menyebabkan rakyat turut diheret sama.

“Sejujurnya. Aku tahu, kau tahu, Rafizi tahu, Anwar tahu, Khalid tahu, PKR tahu, PR tahu dan semua tahu pilihanraya di Kajang adalah kerana polemik dalaman PKR yang nampaknya sudah semakin meruncing. Khalid tidak mahu berkompromi. Azmin tidak mahu berkompromi. Semua tidak mahu berkompromi”, luahnya di dalam entri blog tersebut.

Penulis blog tersebut turut berpandangan sekiranya masalah dalaman PKR ini masih tidak dapat diselesaikan dengan kehadiran Anwar sebagai Adun Kajang, ia akan menyebabkan rakyat sekali lagi menjadi mangsa keadaan.

“Kita katakan la saja bahawa Anwar akan berperanan menyelesaikan konflik dalaman dengan Kajang move. Masalah dalaman PKR jika tidak diselesaikan ia akan mengganggu-gugat pentadbiran dan kelangsungan pemerintahan PR di Selangor kerana masing-masing sibuk berbalah sesama sendiri.

“Maka, mula la masing-masing menyerang kawan dengan isu-isu peribadi. Maka, mula la masing-masing tidak bersetuju antara satu sama lain mengenai usul-usul tertentu. Maka, mula la masing-masing mula mencari jalan macam mana nak jatuhkan pihak-pihak yang tidak disenangi.

“Maka, oleh kerana wakil-wakil rakyat pun tak sehati sejiwa untuk menumpukan perhatian bagi selesaikan masalah rakyat secara automatik hak rakyat akan dicabuli dan terjejas,” luahnya lagi.

Berikut adalah rakaman drama air mata yang dipentaskan oleh Rafizi baru-baru ini bagi menarik simpati rakyat : http://www.youtube.com/watch?v=TaJc1XP8JYs


No comments: