Malaysiakini hari ini melaporkan bahawa beberapa laman Facebook
milik pembangkang telah tidak dapat dilayari kerana telah disekat oleh
kerajaan. Menurut portal
pembangkang itu, antara yang disekat ialah Facebook ‘We Fully Support
Pakatan (DAP)’.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari
bagaimanapun menafikan mengambil tindakan menyekat mana-mana facebook, mahupun
apa-apa media milik pembangkang. Menurut
Datuk Jailani, kerajaan bersifat neutral dan mengiktiraf hak kebebasan bersuara
semua pihak.
Amatlah pelik sekali apabila pembangkang menuduh kerajaan menyekat
suara mereka di dalam media sosial secara tiba-tiba. Walhal, jika kita mengikuti
perkembangan semasa di dalam negara, hampir setiap hari ada saja laman milik
penyokong pembangkang yang menyumpah seranah ‘kerajaan, Melayu dan Islam’ dan
hampir semua dari mereka juga tidak diambil tindakan.
Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kerajaan Malaysia
adalah yang paling terbuka sehinggakan ikon biadap pembangkang terhadap
‘kerajaan, Melayu dan Islam’ iaitu Namewee, diberi pengiktirafan dan bantuan
untuk terus berkarya memperlekeh kerajaan, Melayu dan Islam sesuka
hatinya.
Bertitik-tolak dari Nameweelah maka lahir berpuluh kalau pun tidak
beratus-ratus laman sosial peribadi dan juga kumpulan yang wujudnya semata-mata
untuk menghentam ‘kerajaan, Melayu dan Islam’.
Justeru, dengan begitu banyak laman sosial yang menjadikan
‘kerajaan, Melayu dan Islam, hatta Raja-raja’ sebagai sasaran, apakah
signifikannya facebook ‘We Fully Support Pakatan (DAP)’ sehinggakan ia perlu
disekat?
Lagipun, bukankah semua pemimpin DAP juga melaungkan perkara yang
sama dengan apa yang diseru oleh laman facebook itu? Kenapa perlu diambil tindakan ke atas
facebook tersebut tetapi tidak terhadap pemimpin DAP?
Hakikatnya, tuduhan bahawa laman sosial pro-PR disekat hanya
mengesahkan bahawa tentera siber DAP sememangnya wujud. Jika tidak, siapakah yang menjadi
admin kepada laman-laman yang dikatakan disekat ini? Siapakah yang mengendalikannya dan
siapakah yang menjadi pengunjung setia untuk menekan ‘like’ dan ‘share’ saban
hari dan waktu? Apakah benar rakyat Malaysia di kalangan orang-orang Cina
benar-benar ketagih kepada facebook pro-PR sehingga sanggup menghabiskan masa
membaca dan mempopularkannya secara konsisten setiap hari jika tidak ditugaskan
khas untuk melakukannya?
Sikap menyekat kebebasan bersuara adalah sikap pembangkang, bukan
kerajaan. Siapa yang boleh
lupa ugutan Anwar terhadap wartawan yang berbunyi ‘you ulang, I saman’
hanya kerana si wartawan bertanya soalan yang tidak boleh dijawabnya. Malah, bagi para pelayar laman politik
pastinya cukup maklum bahawa sebarang komen negatif terhadap pembangkang di
dalam blog atau laman web milik pemimpin mereka, akan dibuang. Jika kita mengulang-ulang
mengkritik mereka pula, maka kita akan disekat terus.
Pembangkang juga cukup sinonim dengan seruan memboikot akhbar
perdana. Tidak cukup
dengan itu, pemimpin pembangkang telah beberapa kali mengadakan simbolik
membakar akhbar pro-kerajaan sebagai tanda protes bagi menghalang penyokong
mereka membaca dari sumber lain selain daripada mereka.
Pembangkang juga cukup terkenal dengan menghalang wartawan dari
media perdana membuat liputan dalam program-program mereka.
Justeru, amatlah memualkan apabila pembangkang berhujah tentang
kebebasan media dan menuduh kerajaan menyekat media mereka.
Namun begitu, dari satu sudut lain, mungkin ada baiknya juga jika
kerajaan benar-benar mengambil tindakan menyekat laman sosial milik pembangkang
yang jelas menghasut dan menjejaskan keharmonian.
Maklumlah, jika tidak disekat pun dituduh menyekat, maka mungkin
lebih baik kerajaan benar-benar menyekat saja suara mereka. Sekurang-kurangnya, Malaysia pasti akan
lebih aman tanpa suara pembangkang di alam maya.
No comments:
Post a Comment