Thursday, February 27, 2014

Khalid Tandatanggan MoU, Anwar Dakwa Dia Dan Parti Tidak Dimaklumkan.

Tindakan Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim yang secara tiba-tiba bersetuju untuk menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Menteri Menteri Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili telah mengejutkan ramai pihak.

Menurut sumber, ekoran tindakan itu ada di kalangan pimpinan PKR yang mengecam Khalid disifatkan cuba bermain ‘tarik-tali’ dengan mengambil langkah populis tersebut. Paling menarik apabila ketika program sesi minum petang anjuran PKR di Kajang petang semalam, Ketua Umum parti itu, Anwar Ibrahim dilihat agak keberatan untuk mengulas tindakan tersebut.

Namun apabila diasak berulang kali, Anwar akhirnya terpaksa menjelaskan, dia dan parti langsung tidak dimaklumkan mengenainya. Malah menurut penasihat ekonomi Selangor itu lagi, dia masih mengkaji tindakan tersebut dan tidak dapat memberikan sebarang komen buat masa ini.

Terdahulu media melaporkan Khalid hadir dalam satu program menandatangani MoU dengan kerajaan Barisan Nasional yang turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

MoU tersebut bagi membolehkan kerajaan negeri mengambil alih empat syarikat konsesi air di negeri berkenaan dengan suntikan dana berjumlah RM2 bilion oleh kerajaan pusat bagi pengambil alihan saham-saham syarikat konsesi.

Antara isi kandungan perjanjian tersebut termasuklah kerajaan negeri yang dipimpin Pakatan Rakyat (PR) akan membenarkan Putrajaya meneruskan Loji Rawatan Air Langat 2. Selain itu, kerajaan negeri juga akan memberikan pampasan bernilai RM9.65 bilion kepada empat syarikat konsesi air di Selangor.

Ekoran pengambilalihan tersebut, satu konsortium air untuk menguruskan industri air di Selangor akan dibentuk di bawah seliaan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).
Kerajaan negeri Selangor menjangkakan pengambil alihan syarikat konsesi tersebut akan selesai dalam tempoh tiga bulan.

Sumber turut mendedahkan, tindakan Khalid yang membelakangkan Anwar dan parti itu sebagai satu usaha untuk mengambil hati rakyat Selangor sekali gus menggagalkan sebarang percubaan untuk menggulingkannya sebagai Menteri Besar.

Malah permintaan Khalid sendiri yang menawarkan diri untuk menjadi pengarah PRK Kajang dan beberapa langkah yang dilakukan sebelum ini terutamanya dalam isu air adalah bertujuan untuk membina imejnya sebagai seorang pemimpin hebat.

"Perlu di ingat, ahli PKR paling ramai adalah di Selangor... jika Khalid berjaya dalam pilihan raya kecil kali ini, ia pasti membina momentum untuk pemilihan parti nanti," kata sumber yang mengatakan di Selangor sahaja ahli PKR adalah sebanyak 130,000 orang,” menurut sumber tersebut.

Polemik isu ini di Selangor semakin meruncing apabila kerajaan negeri memutuskan untuk mencatu air ekoran paras tadahan di beberapa empangan menunjukkan tahap yang membimbangkan sehingga menimbulkan kemarahan masyarakat. Bagi mengelakkan terus menjadi mangsa cemuhan masyarakat, Khalid sebelum ini cuba menyalahkan faktor cuaca dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas).

Namun di dalam kenyataan balas terhadap tuduhan Khalid itu, Syabas menjelaskan pihaknya telah memaklumkan kepada kerajaan negeri berhubung kemungkinan berlaku kekurangan bekalan air sejak tahun 2008 lagi.

Kesimpulannya Khalid sedar, tindakan Anwar yang ingin bertanding di Kajang adalah untuk memaksanya meletakkan jawatan sebagai menteri besar. Namun sebagai ahli politik yang sering tertidur, ternyata Khalid bukanlah sebodoh yang disangka.

Walaupun Anwar sebelum ini berulang kali membayangkan hasratnya yang ingin menjadi menteri besar, namun tindakan terbaru Khalid ini boleh menyebabkan Anwar berputih mata.


No comments: