Ramai di kalangan penyokong dan pemimpin
UMNO yang dilihat begitu teruja dengan tindakan beberapa tokoh pimpinan Pas
yang menyatakan pendirian seolah-olah tidak bersetuju dengan tindakan PKR.
Ia berhubung dengan isu pilihan raya kecil
DUN Kajang dan desas-desus yang mengatakan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim
akan menggantikan Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.
Ada yang mengatakan Pas sudah mula ‘celik
hati’ kerana berani untuk bangkit menempelak tindakan Anwar yang
seolah-olah tidak menghiraukan pandangan dan kehadiran parti itu di dalam
pakatan pembangkang.
Namun ada yang merasakan tindakan tersebut
hanyalah merupakan satu lagi bentuk lakonan di dalam lakonan. Ini kerana Pas
sedar, sejak parti itu memutuskan untuk ‘bertahaluf siyasi’ dengan
PKR dan DAP, sokongan terhadap mereka sudah semakin berkurangan khususnya di
kalangan masyarakat Melayu dan Islam di luar bandar.
Di tambah pula dengan beberapa isu yang
melibatkan kepentingan Islam dan Melayu terpaksa diketepikan oleh parti itu
demi untuk menjaga hubungan dan hati pimpinan rakan sekutu mereka. Malah ada
ketikanya parti itu turut dilihat seperti akur dan tunduk dengan
tekanan yang diberikan oleh DAP dan PKR.
Oleh yang demikian, bagi mengelakkan
perkara itu terus dijadikan isu untuk melemahkan Pas, mereka perlu melakukan
sesuatu bagi mengembalikan sokongan dan keyakinan rakyat. Maka jalan terbaik
adalah mewujudkan ‘kumpulan kecil’ untuk membuat ‘sedikit’
tentangan terhadap mana-mana tindakan PKR dan DAP yang dilihat agak
melampau.
Motifnya mudah, supaya masyarakat
khususnya penyokong dan ahli parti itu dapat melihat Pas bukanlah merupakan
kuda tunggangan atau boneka di dalam pakatan pembangkang seperti yang didakwa
sebelum ini.
Hanya dengan cara itu sahaja, Pas dapat
membuktikan dan meyakinkan penyokong dan ahli mereka, parti itu masih mempunyai
maruah untuk bersuara lantang dan garang.
Sedangkan pada akhirnya, Pas tetap
terpaksa bersetuju dan menerima segala keputusan yang telah dibuat oleh PKR dan
DAP. Contoh paling mudah, Pemuda Pas Pusat sebelum ini begitu hebat mengkritik
dan mengecam tindakan PKR yang menjadi ‘pelacur politik’.
Namun selang beberapa hari, nada dan suara
mereka itu mula berubah sehingga akhirnya bersetuju dengan pendekatan yang
dicorakkan oleh Anwar Ibrahim. Begitu juga Pemuda Pas Selangor yang sebelum ini
menyatakan akan memboikot pilihanraya kecil sekiranya PKR gagal memberikan
alasan yang munasabah secara bertulis.
Percayalah, sebaik sahaja SPR mengumumkan
tarikh penamaan calon, tempoh berkempen dan pembuangan undi semua jentera parti
itu akan berhempas pulas bagi memastikan kemenangan Anwar di Kajang. Semua
ancaman, ugutan dan kritikan yang dilemparkan sebelum ini akan hilang begitu
sahaja.
Begitu juga dengan kenyataan tegas yang
dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Pas Selangor sebelum ini, kononnya Pas akan
bertegas dalam soal perlantikan Menteri Besar yang baru sekiranya PKR ingin
memecat Khalid.
Sama seperti drama yang dipentaskan
sebelum in, akhirnya parti itu tetap akan akur dan tunduk dengan segala
kehendak serta kemahuan Anwar Ibrahim. Dalam bahasa mudah, inilah yang
dinamakan lakonan dalam lakonan.
Baik PKR mahupun Pas semuanya berlakon
untuk menipu penyokong dan ahli sendiri.
Bak kata Awie, ini semua poyo….
No comments:
Post a Comment