Wednesday, March 5, 2014

Polis Maut Ditikam Penjenayah, Mana Peguam Dan NGO Pembangkang?

Media arus perdana semalam melaporkan berita mengenai seorang anggota polis yang maut ditikam dengan senjata tajam oleh sekumpulan penjenayah warga asing ketika melakukan rondaan di Taman Sentosa, Klang.

Manakala rakan setugas mangsa pula dikatakan nyaris maut setelah dilibas dengan parang di muka dan kepala. Kejadian tersebut dikatakan berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi, ketika mangsa, Koperal Raja Aizam Raja Mohd, 53, dan rakan setugasnya, Koperal Mohd. Aidil Mustafa, 29, cuba menahan dua lelaki dan tiga wanita dalam keadaan mencurigakan.

Namun apa yang menyedihkan, insiden tersebut langsung tidak diendahkan oleh para peguam dan NGO pembangkang yang sebelum ini begitu lantang bersuara terutama dalam kes-kes yang melibatkan kematian penjenayah.

Apabila ramai yang mempersoalkan tindakan mereka itu, alasan diberikan mereka bukannya ingin membela penjenayah. Semua itu dilakukan hanyalah dalam konteks hak asasi manusia dan membela mereka yang kononnya ditindas.

Cuba kita lihat dari konteks yang lebih luas. Pembangkang sebelum ini cuba mengapi-apikan rakyat, kononnya kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak gagal membendung tahap jenayah yang semakin meningkat.

Tidak cukup dengan itu, mereka turut membentangkan pelbagai indeks data yang menunjukkan peningkatan jenayah di Malaysia yang kononnya dilakukan oleh badan-badan bebas (yang amat meragukan).

Seterusnya apabila pihak berkuasa cuba menjalankan tugas dan mengambil tindakan terhadap para penjenayah yang terlibat, mereka sekali lagi tampil dengan lantang kononnya pihak berkuasa tidak mengikut prosedur yang ditetapkan, melanggar hak asasi manusia dan sebagainya.

Malah ada yang mempertikaikan tindakan polis yang menembak mati para penjenayah terbabit, kerana dikatakan hanya tertumpu kepada kaum tertentu. Sehingga ada di kalangan mereka yang sanggup turut serta dalam setiap operasi, kononnya untuk memantau tindakan yang dilakukan oleh PDRM.

Namun, apa yang menggelikan hati ialah, apabila polis meminta mereka menandatangani surat pelepasan (surat mati) untuk tidak menyalahkan polis sekiranya berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini. Orang yang kononnya berani itu, terus senyap dan langsung tidak berani untuk membangkitkan isu mengenainya lagi.

Malah ketika kerajaan membentangkan Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan 2013) yang bertujuan untuk membendung aktiviti ini khususnya jenayah berat, kumpulan yang sama sekali lagi tampil untuk membantahkan.

Persoalannya apa sebenarnya yang mereka mahu? Mengurangkan indeks jenayah yang semakin meningkat? Atau membela para penjenayah atas nama hak asasi walaupun dengan mengorbankan nyawa anggota polis yang bertugas? Atau sekadar hanya ingin mewujudkan sentimen kemarahan rakyat agar membenci kerajaan.

Tetapi apabila kita kaji sikap sebenar pembangkang maka kita akan mendapati, segala yang diperjuangkan tidak lebih hanya bermotif politik dan kadang kala mereka bagaikan 'takut kepada hantu yang tiada' dan bimbang kepada bayang-bayang yang tidak wujud.

Kesimpulannya, mereka hanya inginkan kuasa untuk memerintah. Demi untuk mencapai matlamat tersebut, mereka sanggup tampil dan membantah apa sahaja keputusan yang dilakukan oleh kerajaan.

Sebab itu pembangkang lebih rela memperjuangkan penjenayah, berbanding nasib anggota polis yang mempertaruhkan nyawa demi untuk menjaga keselamatan masyarakat.

Itulah kualiti pembangkang di negara ini!


No comments: