Sememangnya kita tahu
bahawa media barat selalu membuat liputan yang kurang tepat tentang sesuatu
perkara yang berlaku terutamanya apabila melibatkan kerajaan negara-negara
Asia. Mungkin mereka telah terperangkap terhadap stigma bahawa kerajaan negara
Asia tidak secekap dan secepat kerajaan mereka. Namun penyebaran maklumat palsu
dan maklumat yang direka cipta sepatutnya tidak berlaku, terutamanya daripada
agensi media sehebat dan ternama seperti CNN.
Namun begitu, CNN yang selalunya menjadi rujukan bagi ramai pihak, dengan tidak
bertanggungjawab telah membuat satu kesilapan yang amat besar dengan melaporkan
berita-berita tidak benar tentang perkembangan kehilangan pesawat MH370. Tanpa
segan silu agensi berita ini melaporkan perkara-perkara yang telah direka cipta
semata-mata ingin dilihat sebagai pihak yang pertama melaporkan kepada orang
awam.
CNN sering menyatakan bahawa kerajaan Malaysia menyiarkan berita yang tidak
benar kepada orang awam. Namun begitu, yang sebenarnya merekalah yang sibuk
menyebarkan cerita-cerita tidak berasas tanpa memeriksanya dahulu.
Kadangkala percubaan CNN untuk memainkan emosi waris kepada para penumpang
pesawat MH370 dilihat sebagai terlalu palsu dan hanya ingin menegakkan benang
yang basah. Dalam keghairahan mereka mencari cerita dan maklumat, mereka lupa
akan tanggungjawab mereka untuk melaporkan hal sebenar kepada dunia.
Perkara ini bukan sahaja dilakukan oleh CNN, tetapi boleh dikatakan kebanyakkan
media barat sedang asyik menyebarkan cerita palsu dan separa benar. Ini juga
termasuk dengan berita yang telah disebarkan oleh DailyTelegraph yang
terang-terang telah direka cipta untuk melariskan akhbar tersebut. Daily
Telegraph kononya telah mendapat transkrip perbualan antara Kapten MH370 dengan
menara kawalan penerbangan di KLIA, namun ia adalah penipuan semata-mata kerana
ianya adalah rekaan semata-mata. Ianya telah disangkal oleh Ketua Pengarah Jabatan
Penerbangan Awam Malaysia Datuk Azharuddin Abdul Rahman.
Media barat juga seolah-olah ingin terus menyalahkan kerajaan Malaysia dengan
mencuba mencari kelemahan pihak yang melakukan operasi mencari dan menyelamat.
Adakah pihak media barat ingin melemahkan moral para penyelamat yang terdiri
daripada para pakar operasi menyelamat dari 26 buah negara di seluruh dunia?
Walauapapun alasan mereka untuk mengeluarkan berita-berita palsu tersebut,
adalah tidak wajar bagi mereka untuk mengelirukan orang awam sehingga boleh
menganggu proses mencari dan menyelamat MH370. Tidakkah mereka sedar bahawa
perbuatan mereka itu bakal mengundang satu permasalah yang amat besar kepada
mangsa dan keluarga mangsa yang terlibat di dalam insiden ini?
Memang benar kata Tun Dr. Mahathir Mohammad bahawa media barat yang
diagung-agungkan sesetengah pihak sebenarnya tidak jujur di dalam laporan
mereka. Kita sebagai orang awam haruslah sentiasa berhati-hati dalam
mempercayai laporan dari pada media tidak kira barat ataupun media tempatan.
Ini bukan sahaja dalam konteks pembacaan dan pemahaman untuk diri sendiri
tetapi juga bagi mereka yang sering menyebarkan maklumat melalui laman-laman
sosial. Sebagai orang yang bertanggungjawab kita haruslah memastikan apa yang
kita ingin percayai itu adalah dari sumber yang benar dan bukannya direka cipta
sepertimana yang telah dilakukan oleh Daily Telegraph dan CNN beberapa hari
yang lalu. Mungkin agenda mereka adalah untuk mencemarkan nama baik Malaysia
yang sedang melakukan sedaya upaya dalam usaha mencari, menyelamat dan
menyelesaikan masalah tentang kehilangan pesawat milik Sistem Penerbangan
Malaysia (MAS) MH370.
#pray4mh370
No comments:
Post a Comment