Monday, March 10, 2014

MH370:   Sikap Rakyat Malaysia VS ‘Bangsa Malaysia’

Kehilangan pesawat MH370 terus menjadi perbualan hangat bukan sahaja di Malaysia, tetapi hampir di seluruh dunia.   ‘Kapal terbang’ pada dasarnya, adalah antara kenderaan yang paling selamat dan amat jarang merekodkan kemalangan.   Pesawat Boeing 777 juga diiktiraf sebagai pesawat paling selamat dan dilengkapi dengan peralatan paling canggih untuk menangani kecemasan termasuk menghantar isyarat secara automatik jika terjatuh ke dalam laut. 
 
Malaysia Airlines (MAS) pula terkenal sebagai antara syarikat penerbangan yang paling cekap.  Rekod keselamatan MAS telah mendapat pengiktirafan antarabangsa iaitu hampir tiada sebarang kes yang melibatkan kecuaian mahupun kerosakan.    Satu-satunya insiden besar yang melibatkan MAS di mana pesawat terhempas di Tanjung Kupang pada tahun 1977 juga bukanlah melibatkan kecuaian atau kerosakan, tetapi rampasan.
 
Justeru, kehilangan MH370 tanpa sebarang panggilan kecemasan atau atau tanda-tanda amaran atau isyarat dari kokpit amatlah menghairankan, walaupun bagi para penyiasat dan pakar-pakar penerbangan antarabangsa.  Ia bukanlah satu kes biasa tetapi dikategorikan sebagai pelik apatah lagi dengan tiada sebarang penemuan atau petunjuk langsung walaupun telah mencecah hari ketiga. 
 
Dalam keadaan di mana pakar-pakar juga mengakui kesukarannya,  ada pula di kalangan warga Malaysia yang jauh terlebih bijak dari pakar.   Mereka bukan sahaja bersikap seolah-olah mereka pakar penerbangan, tetapi juga pakar kapal selam, pakar penyelamat dan juga pakar mengukur iman dan dosa pahala yang terlibat, dari kerajaan sehinggalah ke juruterbang dan penumpang. 
 
Mereka ini membuat berbagai-bagai spekulasi dan gurauan yang tidak kena tempat untuk menunjuk pandai.   Lebih buruk, mereka mengaitkannya dengan politik dan juga keputusan kes liwat Anwar Ibrahim. 
 
Pada waktu semua negara yang terlibat dan tidak terlibat turut bersatu dalam merasai cemas, bimbang dan sedih, mereka ini terus mengajak kepada perpecahan. 
 
Kita tidak tahu kenapa bumi bertuah ini dihuni oleh begitu ramai manusia yang tidak tahu bersyukur dan hanya tahu merungut.   Tetapi apa yang kita tahu ialah kebanyakan mereka ini merupakan penyokong pembangkang dan majoriti dari mereka amat membenci UMNO dan kerajaan yang dianggap mereka sebagai rasis. 
 
Mereka ini terdiri dari kumpulan yang mengaku sebagai bukan Melayu, bukan Cina dan bukan India, tetapi kononnya ‘bangsa Malaysia’. 
 
Malangnya ‘bangsa Malaysia’ ini tidak punya perasaan sayangkan negara mahupun prihatin dengan apa yang berlaku pada rakyat Malaysia.  ‘Bangsa Malaysia’ ini saban hari mengutuk dan menghamun Malaysia sahaja kerjanya. 
 
Dan ‘Bangsa Malaysia’ ini tidak bersama-sama dengan rakyat Malaysia dan negara lain meratapi dan mendoakan MH370.  Sebaliknya, mereka sibuk menghamun kerajaan sambil membela Anwar Ibrahim. 
 
Apa yang berlaku membuktikan bahawa ahli-ahli politik pembangkang telah benar-benar merosakkan minda dan sikap penyokong mereka.  Ini terbukti apabila pemimpin pembangkang berjenaka tentang ‘segitiga Bermuda’ di Vietnam dan mengemukakan soalan sindiran mengenai penggunaan ‘kapal selam’ ketika memperkatakan tentang MH370. 
 
Jelas, mereka bukan sahaja tidak prihatin tetapi teramat bodoh sekali dan pengikut mereka semuanya sudah terpengaruh dengan sikap mereka.
 
Walaupun dalam keadaan kita bersedih dan cemas, rakyat Malaysia wajar melihat sikap pemimpin dan penyokong pembangkang sebagai satu peringatan dan pengajaran. 
 
Apakah kita sanggup membenarkan negara ini diperintah oleh manusia-manusia yang pentingkan diri, tidak sensitif, tidak bertanggungjawab dan bodoh seperti pembangkang itu? 
 
Ingatlah, pada waktu ini, seluruh dunia memerhatikan kita.   Seluruh dunia bersama kita mendoakan yang terbaik ke atas penumpang pesawat milik negara kita.  Seharusnya kita bersatu tanpa mengira fahaman politik kerana ini bukan soal main-main tetapi nyawa manusia seramai 239 orang. 
 
Sebagai rakyat Malaysia berbilang bangsa yang lebih rasional, kita tidak perlu melayan karenah ‘bangsa Malaysia’ itu, walaupun kata-kata mereka benar-benar mengguris perasaan kita.  Biarkan mereka menyalak semahu-mahunya.  Sebaliknya, di samping kita mendoakan MH370, kita doakanlah juga agar hati ‘bangsa Malaysia’ ini terbuka dan belajar melihat dunia dari sudut berbeza.  

No comments: