Friday, May 10, 2013

Laporan IDEAS Kurang Tepat, Namun Tetap Gesa Rakyat Terima Keputusan PRU13


Kumpulan pemikir Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) dan Centre for Public Policy Studies (CPPS) dalam laporan mereka menggesa rakyat agar menerima keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) kerana ianya sah. 

Dalam laporan mereka tentang PRU13, Wan Saiful Wan Jan, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, dan Presiden CPPS Tan Sri Ramon Navaratnam menggesa rakyat Malaysia menerima keputusan PRU13 kerana ianya kredibel serta tiada sebarang bukti penipuan yang ditemui.

Kedua-dua kumpulan berkenaan yang dilantik SPR sebagai pemerhati pilihan raya turut  mengiktiraf pilihan raya berkenaan dan SPR menurut mereka menjalankan PRU 13 mengikut prosedur seperti yang telah ditetapkan.

Keputusan PRU 13 yang memihak kepada BN dengan memenangi 133 kerusi Parlimen itu juga jelas mereka menggambarkan kemahuan rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Isu-isu yang ditimbulkan terlalu kecil untuk mengubah keputusan PRU13, memandangkan sebarang isu yang ditimbulkan telah diselesaikan oleh pegawai-pegawai SPR.

Jelas badan pemikir itu lagi, secara keseluruhan, PRU13 telah berjalan dengan lancar dan saksama. Dalam satu kenyataan, seorang jurucakap kerajaan berkata bahawa pemantauan Ideas tidak menjelaskan perjalanan PRU13 secara keseluruhan.

Malah, tuduhan yang dilemparkan bahawa BN menyemarakkan api perkauman tidak benar sama sekali memandangkan penyokong PR yang bertindak menghalang beberapa orang rakyat Malaysia yang kelihatan seperti rakyat Bangladesh untuk membuang undi.

Isu kebebasan media disekat juga tidak tepat kerana media di negara ini juga termasuk media internet yang mempunyai lebih ramai pembaca daripada media cetak arus perdana. Sebagai contoh, pada 5 Mei 2013 portal pro pembangkang MalaysiaKini telah menerima kunjungan seramai 4.3 juta pembaca, manakala gabungan pembaca dua akhbar Inggeris terbesar negara hanyalah sekitar 500,000 sahaja.

Ideas juga membangkitkan isu Undi Elektorat sedangkan ia telah diamalkan sekian lama di Malaysia dan juga negara-negara lain termasuk AS dan UK. Segala keraguan yang ditimbulkan ketika pilihan raya lalu nyata hanya menjadi propaganda pembangkang supaya penyokong mereka mendesak kerajaan mengadakan pilihan raya sekali lagi kerana konon-kononnya mereka tidak mengiktiraf keputusan pilihan raya pada 5 Mei lalu.

Sedangkan jelas BN memenangi lebih kerusi berbanding Pakatan Rakyat, dan isu itu digunakan pemimpin pembangkang untuk menutup kekalahan yang memalukan mereka selepas beria-ia kononnya mereka akan menawan Putrajaya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim juga turut menggesa rakyat menganjurkan demonstrasi dan bantahan supaya kerajaan akan menuruti kemahuan mereka, yang dilihat bakal menjadi pencetus kepada fenomena 'Arab Spring'.

Laporan yang dikeluarkan Ideas dan CPPS itu ternyata mengukuhkan kejayaan BN membentuk kerajaan secara adil tanpa sebarang penipuan. Segala dakwaan-dakwaan yang dikeluarkan pembangkang juga sehingga kini tidak diikuti dengan bukti kukuh sebaliknya dakwaan-dakwaan kosong yang diterima tanpa usul periksa.

Ia sekaligus membuktikan kerajaan BN yang dibentuk selepas PRU 13 adalah kerajaan yang sah.

No comments: