Tuesday, February 28, 2017

MUHYIDIN MASUK BAKUL ANGKAT SENDIRI

_28 FEB 2017 | 01 JAMADILAKHIR 1438H_ *KENYATAAN MEDIA* *Ab Aziz Kaprawi* _Ahli Majlis Tertinggi UMNO_ _Ketua Bahagian UMNO Sri Gading_ *MUHYIDDIN MASUK BAKUL ANGKAT SENDIRI* 1. Saya menyifatkan warkah terbuka Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai satu tindakan yang telah mengiyakan titah Tuanku Sultan Johor bahawa Muhyiddin adalah seorang yang angkuh dan sombong. 2. Teguran tersebut langsung tidak mahu dipandang secara serius oleh Muhyiddin malahan, warkah ini dilihat seolah-olah mahu mencabar pihak istana. 3. Muhyiddin tidak perlu menjelaskan jasa-jasa yang telah beliau lakukan sewaktu berkhidmat dahulu kerana jelas yang membolehkan beliau melakukan khidmat bakti tersebut adalah kerana bernaung di bawah panji UMNO dan Barisan Nasional. 4. Ini terbukti apabila dilihat statistik Insiden Kemiskinan mengikut negeri daripada 1970 sehingga 2016 yang mana sebelum dan selepas Muhyiddin menjadi Menteri Besar Johor, nilai tersebut tetap berkurangan saban tahun dan kini, di bawah pentadbiran YAB Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak, seluruh negara mencatatkan insiden kemiskinan di bawah 1.0% 5. Malahan, ekonomi negeri Johor yang kini di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar Johor, Dato' Khaled Nordin, juga terus meningkat maju seiring dengan pertumbuhan negara yang dilihat semakin baik walaupun tanpa Muhyiddin menerajui negeri Johor. 6. Muhyiddin seolah-olah seperti ayam yang berkokok berderai-derai tetapi ekor bergemulangan dengan tahi yang mana beliau cuba sembunyikan dosa-dosa lampau dengan manyatakan jasa-jasa yang telah dilakukan. 7. Saya ingin menyingkap sedikit tentang kegagalan Muhyiddin seperti menguruskan Amanah Saham Johor (ASJ) sehinggakan masih terdapat ramai yang menanggung hutang akibat melakukan pinjaman untuk membeli saham tersebut. 8. Begitu juga dengan keputusan Muhyiddin untuk menukarkan hari cuti negeri Johor daripada hari Jumaat kepada hari Ahad sehingga mendapat bantahan yang luar biasa dari rakyat Johor termasuk dari pihak Istana dan setelah 22 tahun barulah dapat dikembalikan semula. 9. Sewaktu Muhyiddin menjadi Menteri Pendidikan, beliau juga turut gagal meningkatkan pencapian universiti tempatan di peringkat antarabangsa sehinggakan Lim Kit Siang turut mendesak beliau untuk memberi kenyataan kementerian di Parlimen. 10. Begitu juga dengan projek 1Bestari.Net yang mana PAC sendiri telah mendapati projek ini gagal. 11. Saya tidak mahu membuka lebih banyak pekung Muhyiddin tetapi cukuplah sebagai bukti yang beliau hanya seperti mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. 12. Ini juga termasuk dengan kenyataan beliau yang mengatakan YAB Perdana Menteri melakukan kerosakan dan kemungkaran. 13. Peristiwa bersejarah hari ini juga telah cukup untuk menyangkal dakwaan jahat Muhyiddin apabila Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, mengadakan lawatan ke negara kita serta berjumpa dengan YAB Perdana Menteri. 14. Pertemuan tersebut telah membuahkan hasil apabila Raja Salman bersetuju atas usahasama antara Saudi Aramco dan Petronas untuk memaju dan mengendalikan kilang penapis minyak di bawah projek Rapid Pengerang yang membawa pelaburan sebanyak RM31 Billion dari Saudi Aramco. 15. Selain itu juga, permohonan Malaysia untuk menambahkan lagi kuota haji dan permohonan untuk mengadakan pusat jemaah haji di Mekah dan Madinah juga telah dapat disampaikan kepada Raja Salman dan mendapat respon yang positif. 16. Terdapat pelbagai lagi usaha YAB Perdana Menteri telah lakukan melalui program Transformasi yang telah mendapat hasil yang positif serta memacu negara ke arah kemajuan. 17. Maka, saya ingin bertanya kepada Muhyiddin di mana letaknya kerosakan dan kemungkaran yang dilakukan oleh YAB Perdana Menteri? 18. Janganlah menabur fitnah, bersifat angkuh dan sombong akibat cita-cita politik yang tidak kesampaian. 19. Kita boleh berlainan pendapat tetapi biarlah berpolitik secara matang dan progresif yang akhirnya memberi khidmat dan mendatangkan manfaat kepada rakyat. *----TAMAT----*

No comments: