Amat mengejutkan apabila laman web Suara PR telah dengan biadapnya menggelar para peneroka Felda sebagai perompak, dalam sebuah artikel yang bertajuk ‘Peneroka Perompak Duit Rakyat’ yang disiarkan semalam.
Alasan laman tersebut ialah kerana pembahagian wang RM15,000 kepada setiap keluarga peneroka pada Mei lepas adalah dibuat sebelum Felda Global Ventures (FGV) disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur. Justeru, menurut penulis tersebut, “wang berjumlah RM 1.69 billion yang diperuntukkan untuk membiayai ‘durian runtuh’ itu semestinya datang dari wang kerajaan (sebut wang rakyat) kerana Felda sendiri tidak ada wang kerana agensi itu sendiri bakal diisytiharkan bankrap.”
Tambahnya lagi, “disebabkan itu, mungkin ada program kerajaan untuk kebajikan rakyat yang lebih besar terpaksa ditangguhkan dulu untuk menyelesaikan janji ‘durian runtuh kepada peneroka Felda dan keluarga masing-masing yang berjumlah sekitar 300,000 orang ini.”
Apa nak dikata, nampaknya, hadap sekali penulis tersebut dengan program kebajikan rakyat oleh kerajaan. Takut benar dia tidak dapat menikmati program kebajikan dari kerajaan kerana kebanyakan wang telah diberikan kepada warga Felda.
Namun, dalam artikel yang sama, penulis tersebut juga menghentam program-program kebajikan rakyat ini sebagai haram dan rasuah.
Entah manusia jenis apa yang langsung tidak ada maruah terhegeh-hegeh mengharap wang yang dituduhnya sendiri sebagai ‘rasuah’ dan haram.
Dan bagaimana pula wang ‘durian runtuh’ itu dikatakannya wang rakyat sedangkan wang tersebut adalah hasil dari jerit perih peneroka serta kecekapan pengurusan Felda sendiri? Wang RM15,000 yang dibayar kepada setiap peneroka atau jumlah keseluruhan, RM1.69 billion, adalah hasil dari pelupusan kepentingan Felda Badan Berkanun (Felda BB) kepada FGVHB yang berjumlah RM5.65 billion sebagai proses penyenaraian.
Justeru, tidak timbul wang tersebut sebagai wang rakyat atau wang kerajaan, tetapi bolehlah dianggap sebagai bonus terkumpul yang dijana sendiri oleh Felda dan warganya sebagai sebuah pasukan besar.
Pembangkang boleh memutar-belit apa saja tetapi yang pastinya, peneroka tidak mungkin akan dapat menikmati wang tersebut jika pengurusan Felda tidak cekap. Malah peneroka tidak mungkin dapat menikmati pendapatan bulanan yang lumayan yang mereka nikmati hari ini, jika pengurusan Felda tidak berkredibiliti atau berintegriti.
Lebih dari itu, peneroka kemungkinan besar masih belum keluar dari kemiskinan dan memiliki rumah dan tanah sendiri sekiranya kerajaan tidak mengilhamkan Felda sejak awal dahulu, bagi membantu mereka.
Hakikatnya, Felda adalah bukti keikhlasan, keprihatinan dan kecekapan kerajaan Barisan Nasional.
Dan kini, selain pendapatan tetap yang dinikmati melalui Felda, peneroka juga berpeluang mendapat keuntungan dengan pemilikan saham. Malah, melalui penyenaraian ini juga akan membuka peluang perniagaan yang lebih luas sekali gus memberikan pulangan bukan sahaja dari segi wang, tetapi juga dari segi kemudahan dan peluang pekerjaan kepada generasi Felda yang akan datang.
Dengan itu, laman Suara PR tentunya dengki sehingga sanggup menggelarkan peneroka sebagai perompak akibat telah tersasul dan terlanjur mengharamkan ‘durian runtuh’ dan kini meleleh air liur melihat warga Felda menikmatinya.
beruang biru
---------
eh! dia orang (PR) yang penyamun nak panggil peneroka perompak lak! tak hingat-hingat 'samun' dana kerajaan selangor! ~belimbingbintang
No comments:
Post a Comment