Friday, July 20, 2012

Ketepikan Politik, Segerakan Langat 2

Suatu ketika dulu sekitar tahun 1991, negeri Melaka pernah mengalami krisis air setelah dilanda kemarau panjang yang mengakibatkan empangan Durian Tunggal hampir kering sekaligus menyebabkan kegagalan loji-loji rawatan air di negeri tersebut menyedut dan menapis air dari empangan tersebut.

Pada tahun 1998 pula di Selangor, sebahagian besar empangan dan sungai mengalami penyusutan isipadu air disebabkan fenomena El-Nino. Empangan dan sungai-sungai yang sebelumnya penuh mula menunjukkan penurunan paras airnya disebabkan bahang panas yang melanda.

Kesan daripada itu loji-loji rawatan air juga mengalami kesukaran untuk mengepam air mentah untuk dirawat sebelum dibekalkan kepada pengguna di sekitar Lembah Klang seterusnya membawa kepada krisis air yang memeritkan kehidupan ramai.

Mengambil iktibar dari dua kejadian tersebut, Kerajaan Pusat telah melaksanakan pendekatan pro aktif untuk kepentingan jangka masa panjang dengan melancarkan projek Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 (Langat 2) dan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang - Selangor (PPAMPS).

Tujuan pembinaan Langat 2 adalah sebagai tambahan kepada loji rawatan sediaada yang kebanyakannya telah beroperasi melebihi paras optimum disamping menampung aliran air mentah dari Sungai Pahang yang disalurkan melalui terowong air PPAMPS.

Dalam konteks sekarang, Selangor sememangnya tidak mengalami masalah dari segi sumber air mentah kerana empangan dan sungai-sungai yang membekalkan air ke loji-loji rawatan masih lagi penuh.

Jika mengikut congak ramai pemimpin dari PKR, DAP dan PAS, mereka sependapat tiada apa yang perlu dirisaukan sangat setelah dilihat pada paras air di empangan dan sungai yang masih penuh dan tidak menunjukkan sebarang penurunan.

Atas sebab itu, mereka menyokong langkah keras Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim yang sengaja mahu untuk menghalang dan melambat-lambatkan proses pembinaan loji rawatan air Langat 2 dan terowong air PPAMPS.

Walhal, realiti sebenarnya soal hujan atau tidak, kemarau atau sebaliknya bukannya ketentuan kita. Tak selamanya hujan akan membasahi bumi Selangor dan tidaklah kerap kemarau panjang berlaku secara tiba-tiba.

Namun apabila beberapa negeri termasuk Selangor sendiri pernah mengalami krisis air dek kerana perubahan cuaca, bukanlah meragukan lagi terdapatnya keperluan untuk mengadakan satu saluran air mentah dari Sungai Pahang untuk dirawat di loji baru Langat 2 sebagai satu persediaan jangka masa panjang untuk kebaikan semua.

Sementelah lagi rata-rata loji rawatan air di seluruh negeri sedang beroperasi melebihi kemampuan asal, mahu tidak mahu proses selenggara loji-loji tersebut terpaksa kerap dilakukan. Ini bermakna tiap kali loji diselenggara, bekalan air bersih yang telah dirawat terpaksa dihentikan sementara.

Walaupun pada 20 Mac lepas Kerajaan Pusat telahpun siap membina sebuah loji baru di Sungai Labu yang mampu merawat air mentah sehingga 45 juta liter sehari seterusnya membekalkan kepada pengguna di sekitar Sepang hingga tanjung Sepat, Bagan Lalang, Sungai Pelek dan Kundang, namun rizab air bersih keseluruhan yang cuma 151.8 juta liter sehari sahaja yang pastinya tidak mencukupi untuk keperluan mendatang.


Disinilah peri pentingnya keperluan loji rawatan air Langat 2 sebagai loji tambahan bagi meningkatkan kapasiti rizab air bersih sekaligus mengurangkan risiko bekalan air terpaksa dicatu.

Terowong air PPAMPS pula selain berperanan menyalurkan air mentah dari Pahang ke loji Langat 2, ia juga merupakan satu plan jangka waktu panjang sekiranya dalam keadaan tertentu kemarau panjang atau fenomena El-Nino melanda negara sekali lagi.

Pengalaman lepas yang pernah dialami majoriti rakyat Selangor sepatutnya menjadi pengajaran berguna pada kerajaan negeri untuk mengetepikan seketika perbezaan politik dan kepentingan kepartian, sebaliknya bekerjasama dengan Kerajaan Pusat bagi mencegah krisis air yang lebih buruk kelak.

Seandainya gagal ditangani segera dan projek Langat 2 serta terowong air PPAMPS terus disekat, bukan sahaja rakyat bawahan yang merana malah turut memberi kesan buruk pada ekonomi negeri apabila krisis air yang melanda.

Soal air percuma atau tarif air turun naik bukan lagi persoalan utama sekiranya krisis air 1998 menimpa Selangor sekali lagi.

Bagi mereka yang pernah melalui kegawatan krisis air 1998 tentu tahu betapa sukarnya kehidupan bila berhadapan dengan krisis air, saban hari terpaksa menanti lori tangki air untuk ditadah manakala aktiviti ekonomi terbantut dan kilang-kilang pula terpaksa mengurangkan waktu operasinya.

Justeru itu, ketepikan seketika politik kepartian, apa sahaja jawatan yang dipegang tatkala ini hakikat nyatanya masing-masing kita memerlukan air bersih untuk meneruskan kehidupan dan menjalani aktiviti seharian.

Segerakan pembinaan Langat 2 dan PPAMPS untuk kebaikan bersama bagi menghadapi waktu-waktu mendatang. Jangan nanti bila ditimpa bencana barulah kita mahu menyesal kerana tika itu penyesalan tiada gunanya lagi.

beruang biru


---------

ada juga yang tak faham pasal isu air ni. yang diperkatakan ialah isu air yang terawat bukan kerana air yang banyak atau sikit. kekurangan air yang dirawat untuk kegunaan rakyat berikutan loji rawatan air yang sedia ada tidak dapat menampung pengeluaran yang tinggi/banyak untuk air terawat. ~BB

No comments: