Akhirnya setelah empat hari dihentam teruk berhubung komen yang mempersoalkan tindakan umat Islam membantah filem "Innocence of Muslims" dalam laman Twitternya, Ngeh Koo Ham pun meminta maaf pada Khamis lalu.
“Saya menarik balik dan meminta maaf kepada Islam yang tersinggung dengan ‘tweet’ saya kerana ia tidak pernah bertujuan untuk menjadi begitu,” kata Pengerusi DAP Perak itu dalam kenyataan satu perenggannya.
Begitu mudah Ngeh ingin memadamkan api kemarahan umat Islam negara ini terhadap komen beliau yang di anggap amat tidak sensitif dan bersifat provokatif.
Dalam komen Twitter Isnin lalu, Ngeh melontarkan persoalan kenapa orang Islam harus buang masa dan tenaga membantah tindakan seorang individu yang menerbitkan sebuah filem yang menghina Nabi Muhammad SAW.
Persoalannya mengapa Ngeh yang juga Ahli Parlimen Beruas dan juga ADUN Sitiawan mengambil masa terlalu lama untuk memohon maaf dan menyedari keterlanjuran kata-katanya tersebut.
Alangkah ceteknya pengetahuan Ngeh mengenai Islam yang sudah menjadi rakyat negara ini dan bercampur gaul dengan masyarakat berbilang kaum lebih daripada setengah abad hidupnya?
Adakah selama beliau berada di bumi Malaysia ini tidak terlintas langsung untuk menyelami perasaan serta memahami latar belakang bangsa lain dari segi budaya dan agama selain sifat kecinaan dan agama Kristian yang dianuti.
Lebih daripada itu, komen beliau telah menyingkap kepada rakyat sikap sebenar pemimpin-pemimpin DAP yang tidak boleh mengikis sentimen perkauman yang tebal walaupun cuba menutupnya seboleh mungkin.
Malangnya sungguhpun DAP cuba menjadi harum di mata orang Melayu untuk menutup bau perkaumannya namun bak kata peribahasa Melayu, mulut bau madu, pantat bawa sengat.
Sesekala tersembur juga kalimat-kalimat yang mencerminkan nilai anti-Islam, anti- Melayu yang tersirat di lubuk hati pemimpin DAP seperti Ngeh.
Apatah lagi komen Ngeh itu secara langsung telah mengejutkan sekutu DAP iaitu PAS dan PKR ketika parti itu mendabik dada dan berlagak sombong dan bongkak bahawa rakyat kini menyokongnya.
Lebih parah lagi ia berlaku semasa musim Pilihan Raya Umum ke 13 sudah hampir.
Pemimpin PAS dan PKR berdiam diri dan tidak menempelak Ngeh atas kenyataan beliau itu kecuali seorang dua.
Kalau ada pun ia tidak lebih daripada melepaskan batuk di tangga, jangan dikatakan tidak ada langsung teguran.
Ini membuktikan PAS dan PKR berada dalam keadaan tersepit dan serba salah akibat kenyataan Ngeh itu dan untuk tidak menyimbah minyak ke dalam api, kedua-dua parti mengambil sikap berdiam diri.
Sebenarnya sikap tersebut lagi merbahaya kepada Pakatan Rakyat kerana seolah-olah PAS dan PKR mengabsahkan penghinaan yang dilakukan oleh DAP terhadap Nabi Muhammad SAW.
PKR yang menganuti 'agama' liberalisme dan pluralisme serta menyokong LBGT sudah tentu tidak peduli samada Islam atau Nabi Muhammad SAW di hina atau tidak.
Ini kerana matlamat utama parti itu bukan untuk memperjuangkan agenda Islam dan Melayu tetapi melaksanakan program kuasa asing yang dipertanggungjawabkan kepada Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.
Sebab itu Anwar sehingga kini membisu seperti orang mati.
PAS pula seperti biasa bersifat hipokrit yang tidak berani langsung menegur DAP yang sudah menjadi taiko.
Di Perak semasa Pakatan Rakyat memerintah selama 11 bulan, yang menjadi Menteri Besar hakiki ialah Ngeh bukannya Nizar Jamaluddin.
DAP muncul juara dalam Pakatan Rakyat apabila memenangi 18 kerusi DUN manakala PAS dan PKR masing-masing enam dan tujuh namun kekangan undang-undang tubuh negeri Perak tidak membenarkan bukan Melayu menjadi Menteri Besar.
Jadi selama tempoh Nizar menjawat Menteri Besar beliau hanyalah keldai tunggangan Ngeh dan sepupunya Nga Kor Ming yang menjadi kuasa sebenar di belakang pemimpin PAS itu.
Melihat kepada kemelut yang membelit DAP akibat keceluparan mulut DAP, orang Melayu sudah sedar betapa busuknya hati pemimpin parti itu terhadap Islam.
Kalau dahulu DAP bersikap anti-Melayu dan Islam tetapi kini bertambah lagi bukti bahawa tidak ada perubahan langsung dalam pendiriannya, malah ia bermuka-muka berbaik dengan orang Melayu.
beruang biru
No comments:
Post a Comment