Berhari-hari juga pembaca Sinar Harian disuapkan dengan kisah ketidakpuasan hati segelintir penerima bantuan Netbook 1Malaysia. Membaca keluhan yang disiarkan dan cara pemberitaan yang ditulis, kita seolah-olah mendapat gambaran betapa teruknya kualiti netbook tersebut.
Hakikatnya tidaklah teruk sedemikian rupa. Sehingga kini sudah lebih 470,000 unit netbook 1Malaysia diagihkan kepada para pelajar, pemimpin masyarakat dan penduduk luar bandar yang layak, cuma kurang dari 1% sahaja yang mengalami masalah.
Jika 300 orang yang termasuk dalam kategori penerima yang kurang bernasib baik (1%) diwawancara misalnya, tidak bermakna ia menunjukkan situasi sebenar bagi keseluruhan 472,000 orang yang sudah menerima bantuan netbook tersebut.
Jumlah 470,000 unit netbook yang telah diagihkan itu adalah sebahagian dari sasaran 1 juta unit netbook 1Malaysia yang diberikan percuma kepada kumpulan sasaran dalam usaha meningkatkan kemampuan celik IT dikalangan rakyat negara ini.
Program yang menelan belanja RM1 bilion ini dilaksanakan dalam beberapa fasa dan setiap netbook yang dibekalkan telah melalui Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Pun demikian, dalam mengendalikan proses pengagihan netbook tersebut yang membabitkan banyak pembekal, tidak dapat tidak perlu diakui juga ada kelemahannya di sana sini apatah lagi bila melibatkan jumlah unit yang banyak.
Ditambah lagi dengan kekurangan pengetahuan penggunaan netbook bagi penerima yang baru pertama kali menggunakan alatan komputer itu, tentulah ada komplen atau rungutan yang akan kedengaran.
Ada yang komplen hanya dapat guna sehari dua sahaja, ada yang komplen netbook yang diterima percuma itu hanya bertahan 2 bulan dan ada yang komplen 'rosak' sebab software trial sudah luput atau tiada software yang dikehendaki.
Tak kurang juga yang komplen kerana sistem windowsnya rosak selepas seminggu digunakan dan ada juga mengalami masalah kerosakan pada button, keyboard, lcd, mainboard atau harddisk.
Pendek kata macam-macam komplen tapi secara umumnya kerosakan yang diberitakan itu boleh dibahagi kepada tiga kategori.
1) Rosak system windows sama ada disebabkan virus atau system boot fail & sebagainya
2) 'Rosak' applikasi sama ada sebab tempoh percubaan telah tamat atau belum dipasang (install)
3) Rosak perkakasan (hardware - button, keyboard, lcd, harddisk atau mainboard)
Untuk kategori kerosakan pertama, kerosakan yang berlaku melibatkan sistem windows kerapkali disebabkan oleh jangkitan virus komputer (trojan, spyware, malware, hijacker, cecacing/worm dan lain-lain).
Virus boleh menjangkiti sistem windows sama ada melalui penggunaan internet, semasa pemasangan aplikasi yang tidak diketahui keselamatannya dan juga melalui penggunaan thumbdrive usb, external harddisk ataupun memory card.
Virus yang berpunca dari thumbdrive misalnya hanya memerlukan beberapa saat sahaja untuk merebak ke seluruh sistem windows seterusnya menghasilkan sendiri file exe, scr dan lain-lain seterusnya menyebabkan sistem menjadi lembap ataupun mengalami sistem boot fail.
Sementara virus yang berpunca dari internet sama ada yang tersebar melalui email, chat facebook, blog, web lucah, download dan lain-lain, biasanya menyebabkan sistem menjadi perlahan, ada tikanya menyebabkan antivirus sedia ada tidak berfungsi sekaligus memudahkan virus jenis lain menyeludup masuk ke dalam sistem.
Untuk mencegah risiko dijangkiti virus biasanya pengguna digalakkan memasang perisian antivirus yang sesuai misalnya kaspersky, avira ataupun nord antivirus. Jika sudah dijangkiti virus, penyelesaiannya sama ada segera melakukan scanning dan cleaning sistem ataupun cara paling mudah ialah reformat.
Kebiasaannya bagi pengguna yang baru memiliki komputer, laptop atau netbook tambahan pula baru berjinak-jinak dengan alam internet, kebarangkalian untuk menghadapi masalah sebegini agak besar dan perihal sebegini banyak bergantung pada tanggungjawab pengguna sendiri.
Dalam keadaan atau situasi berlainan, kerosakan windows juga boleh berlaku sekiranya tersilap melakukan installation atau memasang applikasi yang terlampau berat dan tidak sepadan dengan keupayaan bekerja yang ada pada netbook 1Malaysia.
Applikasi permainan misalnya Need 4 Speed atau lain-lain games yang memerlukan keupayaan graphic yang tinggi tentu tidak sepadan dengan netbook yang tugasan asalnya hanyalah untuk kerja-kerja ringan misalnya menaip, belajar dan melayari internet.
Berterusan menggunakan applikasi atau permainan yang berat (dari segi grafik) tentunya tidak elok untuk ketahanan netbook yang berkuasa rendah dan sistem windows itu sendiri.
Bagi kategori 'kerosakan' disebabkan tempoh percubaan sesuatu applikasi seperti Microsoft Office, Antivirus dan beberapa applikasi yang lain telah tamat, penyelesaiannya ialah dengan memasang perisian baru sama ada yang berbayar atau yang percuma.
Mana-mana komputer, laptop, netbook yang baru dibeli biasanya hanya disediakan sistem windows berlesen yang telah siap dipasang, manakala lain-lain applikasi penting biasanya hanya diberi tempoh percubaan selama 30 hari dan ada juga 60 hari.
Sebetulnya perkara sebegini bukannya satu kerosakan pun tapi bagi sebuah akhbar yang gemar bersikap 'terbuka', ada kalanya apa sahaja akan dianggap sebagai rosak bila mana tidak dapat digunakan walau sebenarnya yang berlaku tempoh percubaan sesuatu applikasi sudah tamat.
Manakala bagi kerosakan dalam kategori ketiga yang membabitkan masalah hardware, kerosakannya mungkin bermula dari kilang atau semasa pengendalian netbook tersebut diangkut dari satu tempat ke satu tempat. Dalam kes sebegini penerima dikira amat tidak bernasib baik dan satu-satunya cara ialah menuntut warranti.
Sementara itu, bagi yang sudah menerima dan sedang menggunakan netbook 1Malaysia serta pengguna lain, beberapa tip berikut boleh membantu anda untuk memastikan jangka hayat netbook atau laptop anda bertahan lama.
1) Elakkan penggunaan di atas tilam atau karpet tebal, ini bagi mencegah aliran udara netbook atau laptop dari tersekat dan habuk pula masuk ke dalam seterusnya menyebabkan suhu meningkat naik. Kesan buruk dari suhu tinggi tersebut bakal menjejaskan ketahanan mainboard selain turut memberi kesan sampingan pada harddisk dan processor itu sendiri.
2) Biasakan menggunakan coolant fan tambahan untuk melancarkan pengudaraan di bawah dan di dalam casing netbook atau laptop anda.
3) Jika anda jarang menggunakan netbook atau laptop atau hanya menggunakan beberapa jam sahaja seminggu, biasakan menanggal bateri. Tujuannya untuk mengelakkan kesan sampingan pada batteri, komponen dalaman netbook atau laptop sendiri.
4) Sewaktu anda mahu mula menggunakan netbook atau laptop, jangan sesekali terus mencucuk masuk pin power adapter terus ke power jack netbook atau laptop. Pastikan dulu suis berada dalam keadaan tutup (off). Kerap memasukkan pin adapter terus ke power jack ketika suis masih hidup (on), impaknya buruk terhadap netbook khususnya mainboard itu sendiri.
Serba sedikit tip di atas boleh membantu anda menggunakan netbook 1Malaysia atau laptop lain dengan lebih lama.
Di masa yang sama kita harap pihak terbabit akan mengambil langkah bersesuaian dengan menukar mana-mana jenama netbook 1Malaysia yang didapati agak kerap mengalami masalah hardware.
Disamping itu bagi penerima bantuan netbook 1Malaysia yang termasuk dalam kumpulan 1% yang tak bernasib baik seperti dihuraikan secara ringkas ini, mungkin boleh imbas semula satu persatu untuk memastikan di mana salah silapnya, jika pasti bukan berpunca dari kesilapan penggunaan, segeralah menuntut warranti sementara masa jaminan belum luput.
beruang biru
No comments:
Post a Comment