SHAH ALAM: Penglibatan rakyat dalam memberikan pandangan bersabit pelan Bajet 2013 oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah unsur politik baru yang positif, kata Presiden Persatuan Komanwel Untuk Tindakan Tempatan dan Pembangunan Ekonomi (COMMACT), Prof Datuk Mohd Yusof Kasim.
Beliau menambah, ketelusan yang cuba dibawa kerajaan pemerintah, pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu bukan sahaja membuktikan rakyat kini didahulukan, bahkan terus menyemarakkan sistem demokrasi di negara ini.
"Pada masa lepas, di Malaysia, umumnya bila kata demokrasi orang akan ingat pilihan raya. Tapi sebenarnya demokrasi adalah lebih daripada itu. Maknanya partisipasi rakyat juga dalam pembuat keputusan dan sebagainya.
"Kerana keputusan itu bukan saja menentukan kekayaan negara tapi kemakmuran rakyat juga. Jadi mereka sekarang diberi ruang untuk memberi pendapat. Betul tak betul itu soal lain, tapi yang penting mereka diberi ruang. Jadi saya rasa itu sesuatu yang baik," katanya
Mengulas lanjut, Mohd Yusof berkata politik yang cuba dibawa oleh Perdana Menteri kini dilihat lebih matang lantaran kerajaan kini bukan lagi menjadi 'kerajaan yang serba tahu' tetapi turut mengutamakan suara dan pandangan rakyat marhaen yang bernas.
Beliau menambah, pemimpin BN sekarang patut diberi pujian lantaran sikap rendah diri mereka, menerima dan mempertimbangkan pendapat rakyat bawahan untuk diterjemahkan dalam idea pengembangan ekonomi negara - perkara yang sukar dilakukan suatu masa dahulu.
"Pemimpin-pemimpin tak kira parti apa, telah juga matang sebab kita mesti perlu sekarang ini berjiwa besar. Apa pandangan atau kritikan yang membina tak kisah daripada sesiapa pun perlu diambil untuk kebaikan negara dan rakyatnya," katanya lagi.
Bajet 2013 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada petang ini, sekitar jam 4 petang, mencatat episod baru apabila buat kali pertamanya, rakyat diberikan peluang menyuarakan idea dan pendapat mereka dalam meningkatkan pendapatan negara, dalam konteks sosio-ekonomi negara.
Bagi tujuan tersebut, sebuah portal telah ditubuhkan di alam maya, di mana rakyat bebas mengemukakan idea mereka untuk pertimbangan kerajaan.
Perdana Menteri juga akan menjawab segala persoalan yang dikemukakan rakyat menerusi laman Twitter Belanjawan2013.
Bajet kali ini juga dikatakan bakal memberikan pelbagai habuan kepada rakyat kebanyakan selain beberapa peruntukan yang tentunya memacu pertumbuhan ekonomi negara, tahun hadapan.
No comments:
Post a Comment