Friday, September 28, 2012

Bajet PR Bajet Liberalisme?


Kerana terlalu ingin menjadi Perdana Menteri sebelum mati, Anwar Ibrahim sentiasa memainkan peranan sebagai Perdana Menteri apabila saja berpeluang. Jika Dato’ Seri Najib mengadakan program mesra rakyat dan meninjau keadaan rakyat, maka beliau pun ingin berbuat yang sama dengan mendekati rakyat sambil meninjau pengangkutan awam seperti LRT.  

Jika Dato’ Seri Najib ke sana ke mari dengan pengawal peribadi dan menaiki jet peribadi maka beliau juga ingin menjalani kehidupan yang sama. Dan yang paling hebat ialah walaupun belum menjadi Perdana Menteri, Anwar ingin sekali membentangkan bajet seperti seorang Perdana Menteri. 


Kerana itu, walaupun Anwar tidak punya akses kepada maklumat terperinci kewangan negara bagi melayakkannya membentangkan bajet secara tepat, itu tidak menghalang beliau untuk terus melakonkan watak Perdana Menteri dan turut membentangkan bajet.  

Kerana tidak berdasarkan maklumat yang perlu, maka kita tidak perlu pun mendengar pembentangan Anwar kerana sudah pasti Bajet yang dibuat ‘di atas angin’ adalah Bajet Tong Kosong.  Untuk sesiapa mempercayai dan menaruh harapan kepada bajet sebegini, amatlah menyedihkan.  

Namun, yang menjadikan kita agak berminat untuk mendengar Bajet Alternatif ini ialah kerana sifat parti PR itu sendiri yang tidak sepakat.  Kita ingin melihat apakah ‘rupa’ bajet yang berdasarkan prinsip Islam, Malaysian-Malaysia dan juga liberal.  

Dan seperti yang dijangka, tiada apa-apa yang lebih ‘Islam’ dari BN dalam bajet PR. Sebaliknya, ia lebih mengutamakan golongan kaya dan berada walaupun kelihatan seolah-olah membantu yang miskin dan sederhana.  Pendek kata, ia lebih menepati konsep Malaysian-Malaysia dan liberal.  

Tiada peruntukan yang digariskan untuk mengekang pertumbuhan pusat-pusat maksiat. Tiada juga peruntukan khas bagi mengatasi masalah murtad yang berpunca dari kemiskinan walaupun masalah ini adalah meruncing di Selangor, iaitu negeri yang diperintah PR. Malah, kelihatan seolah-olah tiada langsung ‘input’ dari pihak PAS dalam bajet ini.  

Selain itu, perancangan PR untuk menghapuskan cukai korporat hanya akan membebankan rakyat biasa kerana akan terpaksa membayar harga yang lebih tinggi untuk satu-satu perkhidmatan dan barangan.  Seperti juga perancangan untuk menurunkan harga dan duti eksais kereta di mana ia akan menjejaskan kos pengeluaran dan pemasangan dan lain-lain di mana menyebabkan negara mungkin terpaksa mengimport barangan dari negara lain.  

Akhirnya, yang akan terjejas adalah vendor-vendor Melayu yang dilahirkan oleh syarikat automobil nasional, selain syarikat automobil nasional itu sendiri. Jika ini berlaku, ia bukan sahaja melibatkan beribu-ribu pekerja tetapi juga, industri automobil nasional dan maruah negara sekali gus.  

Jelas, bahawa bajet yang dibentangkan PR adalah tidak menyeluruh, tidak patriotik dan tidak membawa kebaikan untuk jangkamasa panjang terutama untuk membantu bumiputera.  

PR berkali-kali menekankan bahawa Bajet tersebut adalah bersifat adil untuk semua kaum dan ungkapan ini dengan sendirinya membawa makna kesamarataan total iaitu yang menjadi tunjang Malaysian-Malaysia idaman DAP.  Sedangkan, kita tahu bahawa kesamarataan total tidak akan membawa keadilan kepada semua kerana hakikat pegangan ekonomi di Malaysia adalah berat sebelah kepada satu kaum iaitu Cina.  

Dengan tiadanya mekanisme khusus untuk mengukur tahap sifat perkauman seseorang, adalah sukar untuk kita memastikan bahawa kaum Melayu, India dan lain-lain tidak didiskriminasi oleh kaum yang lebih berkuasa dalam persaingan kek ekonomi ini.  

Kita faham bahawa PR ingin menekankan kelemahan dasar kerajaan yang memberi bantuan kepada bumiputera yang dianggap mereka sebagai diskriminasi yang bertulis. Tetapi, PR telah mengabaikan dan menafikan hakikat yang lebih serius yang membelenggu masyarakat Malaysia hari ini iaitu diskriminasi yang tidak bertulis dalam persaingan di sektor swasta dan perniagaan yang dikuasai kaum Cina.  

Kesimpulannya, Bajet PR adalah Bajet Liberal yang terbuka dan tidak mengambil kira keadaan sebenar majoriti rakyat.  Tetapi, apa yang nak dihairankan kerana pembentangan Bajet PR bukanlah untuk rakyat, tetapi sekadar untuk ‘mencabar’ BN.  Itu saja.  

Walau apapun, yang pasti, PAS tidak punya suara langsung dalam penyediaan Bajet berkenaan.  Tanpa keprihatinan dan ‘input’ dari PAS, bagaimana kita boleh memastikan kaum Melayu akan terbela di bawah Pakatan Rakyat? 

beruang biru

No comments: