SIAPA yang tidak kenal Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Beliau seorang pemimpin Pas yang begitu tegas dan lantang mengkritik UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Di bawah kepimpinannya juga, haluan perjuangan politik Pas dilihat berubah apabila meninggalkan usaha memperjuangkan negara Islam kepada negara berkebajikan.
Malahan dalam apa juga situasi, biar pun dikecam oleh pelbagai pihak berikutan tindakan Pas bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang memungkinkan Pas dilihat hanya pak turut, Abdul Hadi akan ke depan - bermati-matian mempertahankan apa yang dipanggil tahaluf siyasi.
Orang Melayu dan umat Islam juga melihat betapa lantang dan beraninya Ahli Parlimen Marang itu muncul setiap masa untuk memperkatakan sesuatu isu khususnya demi kepentingan politik pakatan pembangkang.
Tetapi sejak dua minggu lalu, Abdul Hadi bagaikan seekor singa yang kehilangan taring dan ibarat seekor harimau yang sudah tiada ngaumannya.
Segala-galanya berpunca apabila tercetusnya kembali isu Amanat Haji Hadi yang dilafazkan oleh beliau 31 tahun lalu. Bermula dengan pendedahan melalui buku Kafirkah Aku? hasil tulisan C.N Al-Afghani, hinggalah kepada satu demi satu cerita mengenai kesan amanat yang dianggap 'berpuaka' tersebut.
Pendedahan demi pendedahan yang dilakukan oleh bekas pengikut Pas mengenai akibat ketaksuban mereka mempercayai amanat itu ternyata bukan sahaja meresahkan Abdul Hadi tetapi juga Pas.
Justeru bagi mengelakkan ia terus diperbincangkan isu amanat itu dianggap isu lama, lapuk dan basi oleh kalangan pemimpin Pas.
Namun bukan itu yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam dan orang Melayu, apa yang mereka ingin tahu apa pandangan Abdul Hadi sendiri kerana segala kekalutan itu berpunca daripada kelantangan beliau 31 tahun lalu.
Tetapi ternyata, keberanian Abdul Hadi bertempat, sehingga ke hari ini, Presiden Pas itu diam seribu bahasa. Abdul Hadi dilihat seolah-olah tersepit kerana mungkin beliau tidak menyangka begitu dahsyat akibat yang berlaku berikutan amanat tersebut.
Oleh itu mendiamkan diri adalah cara terbaik kerana sememangnya sudah menjadi amalan politik pemimpin-pemimpin Pas apabila mereka bersalah, mereka akan mendiamkan diri.
Diam dilihat jalan selamat biar pun hakikatnya perbuatan berkenaan menimbulkan lebih banyak tafsiran. Ia memandangkan isu amanat itu dilihat memberikan kesan yang cukup serius kepada umat Islam sejak 31 tahun lalu.
Abdul Hadi tidak boleh mengamalkan sikap lepas tangan dengan menganggap isu lapuk sedangkan apa yang berlaku berpunca daripada beliau sendiri.
Dan jelaslah amanat yang dikeluarkan itu membuktikan tindakan Pas selama ini yang mendabik dada kononnya mereka perjuang Islam hanyalah omong kosong semata-mata.
Ini memandangkan kalau benar Abdul Hadi dan Pas memperjuangkan Islam sudah pasti mereka akan tampil memohon maaf dan menarik balik amanat tersebut.
Abdul Hadi perlu bertanggungjawab dan bukannya bersembunyi di sebalik jubah politik Pas kerana tindakan itu hanya merugikan umat Islam.
Beliau perlu faham, mereka yang terpengaruh dengan amanat tersebut melakukannya demi kecintaan mereka kepada perjuangan parti dan pemimpin Pas tetapi tak kanlah apabila ia satu kesilapan pemimpin Pas khususnya Abdul Hadi mendiamkan diri.
Apakah ini caranya pemimpin-pemimpin Pas dan Abdul Hadi melayan dan membalas kesetiaan ahli-ahli parti itu? Tidak cukupkah selama ini pengikut-pengikut Pas diminta mematuhi apa sahaja arahan termasuk bersedia menjadi kuda tunggangan kepada PKR dan DAP?
Kenapa perlu mereka terus dibiarkan berada dalam dilema dan tertanya-tanya mengapa Abdul Hadi tidak tampil membuat penjelasan?
Kita bersimpati dengan pemimpin dan pengikut Pas yang bukan sahaja dilihat kini menjadi pak turut dalam pakatan pembangkang malahan dalam parti sendiri pun mereka hanya menjadi pengikut sahaja.
Jika mereka tidak mahu dianggap sedemikian maka bersuaralah membuat desakan kepada Abdul Hadi untuk menyatakan pendirian dan paling penting menarik balik amanatnya.
Bagaimanapun kita yakin sama ada Abdul Hadi mahupun pemimpin atau pengikut Pas mereka tidak akan berbuat demikian kerana ia akan membuktikan betapa selama ini Pas mengamalkan politik memecah-belahkan umat.
Tambahan pula Pas dan Abdul Hadi sendiri tidak ada jawapan jika disoal oleh orang Melayu dan umat Islam apakah Perlembagaan negara sudah tidak kafir lagi? Apakah kerjasama dengan DAP tidak haram lagi? Apakah menolak kerjasama dengan UMNO dibenarkan oleh Islam? Apakah pakatan pembangkang akan menghapuskan Perlembagaan yang dianggap oleh Abdul Hadi 31 tahun lalu sebagai Perlembagaan kafir?
Ternyata banyak soalan yang perlu dijawab oleh Abdul Hadi dan kepimpinan Pas, paling malang semua jawapan yang bakal mereka berikan boleh menyebabkan parti itu kehilangan sokongan politik.
Inilah yang menjadi punca utama kenapa Abdul Hadi mendiamkan diri, begitu juga ulama-ulama Pas yang merasakan isu amanat ini terlalu sukar untuk dikendalikan.
Ia memandangkan mereka tidak mempunyai hujah soal siapakah yang akan menanggung dosa pengikut Pas yang terpengaruh dengan amanat itu? Bagaimanakah ulama Pas hendak menerangkan kenapakah selama 31 tahun, tidak pernah seorang pun di antara mereka menyuarakan pandangan supaya Abdul Hadi menarik balik amanat tersebut? dan sudah tentukah ulama Pas juga tidak ada jawapan bagaimana hendak mengatur strategi untuk memastikan pengaruh politik Pas tidak terhakis jika amanat itu diakui salah dari sisi agama Islam.
Selama ini, Pas sering mendabik dada bahawa perpecahan orang Melayu berpunca daripada UMNO tetapi apa yang berlaku berikutan kelahiran amanat itu membuktikan bahawa Pas lah parti yang sebenarnya bertanggungjawab memecah-belahkan umat Islam.
Dalam politik UMNO, tidak pernah ada seorang pun pemimpin parti itu yang menzahirkan satu amanat yang bukan sahaja boleh mencetuskan perbalahan antara umat Islam tetapi juga dengan sewenang-wenangnya menjatuhkan hukum sesama Islam.
Tetapi semua itu dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Pas dan Amanat Haji Hadi adalah buktinya dan ia belum lagi mengambil kira kenyataan-kenyataan Mursyidul Amnya, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang banyak mengelirukan umat Islam dan mewujudkan permusuhan antara mereka.
Apa pun, penulis percaya Abdul Hadi mempunyai keberanian bertempat, beliau boleh lantang berkata apa sahaja terhadap UMNO dan BN tetapi 'kecut perut' dalam memberi jawapan dalam isu amanat ini.
Apatah lagi, Abdul Hadi memahami perjuangan Pas sekarang bukanlah lagi menegakkan negara Islam atau melaksanakan hukum hudud tetapi berkongsi kekuatan bersama-sama PKR dan DAP untuk menumbangkan BN.
Oleh itu, Abdul Hadi sedar beliau perlu berhati-hati kerana PKR dan DAP amat bergantung kepada Pas sebagai kuda tunggangan untuk meraih sokongan orang Melayu.
Namun satu perkara yang perlu disedari oleh Abdul Hadi yang bertaraf tok guru bahawa Rasullullah SAW sememangnya menggalakkan kita diam dalam satu-satu perkara tetapi tidak bagi soal yang boleh membawa kehancuran umat seperti mana dalam isu amanat ini.
No comments:
Post a Comment