Showing posts with label utusan. Show all posts
Showing posts with label utusan. Show all posts

Friday, January 3, 2014

Politik Pembangkang Tidak Berubah!

LANGKAH pakatan pembangkang menyokong demonstrasi haram yang diadakan di Dataran Merdeka, malam kelmarin memberikan isyarat yang jelas bahawa 'kegilaan' politik pembangkang dalam usaha mereka meraih kuasa akan berterusan dalam tahun 2014.

Berdasarkan kenyataan dan tindak-tanduk pemimpin-pemimpin pembangkang sebelum tirai 2013 dilabuhkan, ia jelas membuktikan belum ada keinsafan dalam kalangan mereka untuk memastikan arena politik negara selepas ini akan berjalan melalui pendekatan politik berhemah.

Sebaliknya, kita bakal menyaksikan pembangkang terus dengan pendekatan mempolitikkan apa sahaja isu dengan harapan tindakan itu akan memudahkan laluan mereka menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

Walaupun mengetahui banyak tindakan politik mereka sepanjang 2013 telah mewujudkan perasaan tidak selesa kepada rakyat dan ada pula yang menjejaskan imej negara di mata dunia namun pembangkang tidak menghiraukannya.

Berikut penulis paparkan jangkaan politik melibatkan parti-parti yang bergabung dalam pakatan pembangkang iaitu DAP, PKR dan Pas.

DAP

Parti ini akan terus menjadi parti paling berkuasa dalam pakatan pembangkang. Selain menguasai Pulau Pinang, perolehan kerusi Parlimen yang lebih banyak berbanding PKR dan Pas memungkinkan DAP akan menjadi parti dominan.

Kekuatan DAP amat ditagihkan oleh PKR dalam meraih sokongan kaum Cina, manakala Pas pula dilihat tidak mendapat apa-apa keuntungan memandangkan DAP sememangnya tidak pernah bersetuju dengan perjuangan politik Pas.

Bagaimanapun DAP tetap akan menjaga hubungan dengan Pas dalam usaha memastikan Pas terus memainkan peranannya bagi meraih undi orang Melayu untuk DAP dan PKR.

Selain itu, DAP yang sebelum ini begitu hebat mengkritik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mengendalikan pilihan raya umum akan terus bergelut dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung pemilihan Jawatankuasa Kerja Parti (CEC).

PKR

Dengan sokongan DAP dan Pas, PKR akan terus memainkan isu yang bertujuan memainkan sentimen rakyat bagi membenci kerajaan BN. Melalui lidah rasminya Suara Keadilan, PKR akan terus menabur fitnah terhadap pemimpin-pemimpin BN.

Walaupun tidak mempunyai kekuatan yang hebat di peringkat akar umbi, namun PKR akan terus berjaya menumpang populariti DAP untuk meraih sokongan kaum Cina dan kesanggupan membantu bagi memperolehi sokongan orang Melayu. Tetapi dalam masa yang sama PKR akan terus kekal bersama-sama DAP menolak perjuangan Islam Pas.

Pas

Parti ini membuka tirai 2014 dengan semakin 'galak' menguar-uarkan slogan 'Rahmat Untuk Semua'. Slogan ini adalah tema ucapan dasar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam muktamar parti itu baru-baru ini.

Di mana-mana sahaja kini slogan itu menjadi sandaran Pas untuk meraih sokongan rakyat khususnya orang Melayu. Selepas mendapati slogan 'Pas untuk semua' gagal mencapai sasarannya maka Pas mengubah pula kepada slogan baru.

Tidak kiralah apa pun slogan yang hendak digunakan oleh Pas apa yang pasti parti itu tetap dijangka terus menjadi 'pak turut' dalam pakatan pembangkang.

Dalam masa yang sama, Pas juga dijangka mengekalkan pendekatan politik menjadikan slogan Islam hanya untuk kepentingan politik semata-mata. Ia memandangkan Pas sudah pasti ingin terus menjadi 'pak turut' setia dalam pakatan.

Keadaan itu berlaku kerana Pas ingin menjaga hubungan dengan DAP dan PKR. Berikutan pegangan tersebut juga, golongan ulama dalam parti itu akan terus tenggelam dan hanya akan menjadi 'penghias' organisasi semata-mata.

Demikian serba sedikit jangkaan berhubung situasi dalam pakatan pembangkang bagi tahun 2014.
Namun begitu apa yang pasti pendekatan mempolitikkan apa juga perkara akan terus menjadi sandaran pakatan pembangkang kerana itu sahaja modal yang mereka miliki bagi mencapai cita-cita politik.

Selain itu, pembangkang akan kekal dengan sikap double standard dalam menghadapi isu yang melibatkan kerajaan. Pas tidak akan berani menegur kepincangan dalam pembangkang tetapi akan bersedia mempolitikkan apa juga langkah kerajaan.

Pembangkang juga sudah pasti sama sekali tidak akan memuji atau menyokong sebarang tindakan kerajaan biar pun demi kebaikan rakyat. Ini kerana pada pandangan mereka kalau tindakan itu dilakukan maka tergugatlah harapan mereka untuk menumbangkan kerajaan BN.

Berdasarkan keadaan itu, maka bersedialah semua pihak untuk terus menyaksikan adegan politik memualkan pakatan pembangkang seperti mana pernah kita saksikan sejak 2008.

Kelebihan menguasai beberapa negeri dan menambah kerusi Parlimen tidak pernah dijadikan sandaran pembangkang menjadi satu barisan pembangkang yang bertanggungjawab. Sebaliknya mereka, bersedia melakukan apa sahaja selagi cita-cita mereka untuk menawan Putrajaya tidak tercapai.

Atas sebab itulah, adalah penting sempena tahun 2014 ini, rakyat tanpa mengira apa juga latar belakang mereka memahami dan mengkaji taktik politik pembangkang ini. Janganlah terpengaruh dengan dakyah pembangkang, seolah-olah merekalah paling layak memerintah Malaysia sedangkan di negeri yang mereka kuasai pun penuh kekalutan dan masalah.

Kita mengakui kerajaan BN juga tidak sempurna, malah di mana-mana juga negara tidak akan ada kerajaan yang seratus peratus sempurna. Tetapi kerajaan sentiasa sahaja berusaha memperbaiki kelemahan khususnya dalam usaha melaksanakan langkah-langkah bagi meningkat taraf hidup rakyat dan mengurangkan beban mereka.

Sebab itulah, adalah penting kerajaan perlu bersedia menghadapi 'kegilaan' politik pembangkang dalam tahun 2014 ini. Ia termasuklah membuat persiapan untuk memberi maklum balas segera kepada sebarang tuduhan dan tohmahan pembangkang.

Sememangnya bukanlah mudah untuk berhadapan dakyah pembangkang kerana mereka bercakap berdasarkan fakta yang diputar belitkan tetapi kebenaran tetap kebenaran.

Apa yang penting ialah kebijaksanaan rakyat untuk membuat penilaian kerana merekalah penentu masa depan negara dan di tangan juga terdapat pilihan sama ada, ingin terus hidup dalam aman dan damai atau ketidakstabilan akibat terpengaruh dengan dakyah politik pembangkang.


Anak Melayu terus diperalat!

"Ini bukan soal kaum. Tapi hakikat majoriti demo adalah anak-anak Melayu. Yang lain semua bukan tak berjuang untuk negara…tapi tak rela diperalat. Kalau tak percaya, lihat saja berapa ramai adik-adik kaum Cina/India yang datang malam ini untuk demo? Mereka semua kat cinema, supermarket, dan lain-lain. Cerdiklah.

"Saya bukan rasis. Saya sedih lihat anak- anak Melayu diperalat untuk buat demo jalan pembangkang. Pernah nampak kaum lain? Fikirkanlah masa depan anda. Selalu dalam demo jalan, yang kena tangkap majoriti kaum Melayu. Kenapa adik-adik perlu diperguna? Pernah nampak adik-adik kaum Cina?"'

Itulah yang dicoretkan Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang dalam Twitter pada malam sambutan tahun baharu bagi mengulas Himpunan Guling Kerajaan di Dataran Merdeka.

Mungkin ada orang Melayu yang akan terasa dengan kenyataan ini tetapi apa yang beliau katakan adalah satu fakta yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa sahaja.

Renung, lihat dan kajilah siapakah yang paling ramai turun ke jalanan pada malam tersebut kononnya atas alasan bagi membantah kenaikan kos sara hidup. Sudah pasti jawapan yang kita dapati ialah anak Melayu.
Apa yang mengecewakan sebahagian besar mereka dikenal pasti sebagai penuntut institusi pengajian tinggi (IPT). Ada yang berjubah, bertudung labuh dan berpurdah tetapi sanggup berembun pukul 1-2 pagi bersama-sama kaum lelaki kononnya atas nama perjuangan.

Kehadiran ribuan anak Melayu pada malam tersebut yang turut dihadiri oleh beberapa pemimpin pembangkang sudah membuktikan kata-kata Keng Liang bahawa anak Melayu sememangnya mudah diperalatkan atau dalam bahasa kasar diperbodohkan.

Salah satu kumpulan yang menganjurkan perhimpunan dengan bangga menulis dalam Facebook mereka bahawa perhimpunan haram itu mencapai kejayaan. Ya, betul memang ia mencapai kejayaan, tetapi bagaimanakah kejayaan tersebut diukur?

Apakah ia dianggap satu kejayaan apabila mereka yang berarak menyusahkan pengguna jalan raya lain? Apakah ia diiktiraf satu kejayaan apabila penunjuk perasaan merempuh hadangan polis? Apakah ia satu kejayaan apabila peserta demonstrasi bertindak biadab mengganggu konsert tahun baharu yang dihadiri oleh ribuan orang awam yang tidak mahu terlibat dalam demonstrasi tersebut?

Apakah ia satu kejayaan apabila anak- anak Melayu diperbodohkan untuk berkumpul beramai-ramai terpekik terlolong memaki kerajaan di jalanan serta menunjukkan isyarat lucah?

Kalau tindakan-tindakan itulah dianggap satu kejayaan, ternyatalah puak-puak tersebut sememangnya satu kelompok yang tidak bertanggungjawab, tidak bertamadun, berfikiran jumud dan bangga tidak kena tempat.
Sejak awal lagi, sudah banyak pihak melahirkan kebimbangan bahawa perhimpunan haram itu tidak akan mendatangkan apa-apa manfaat sebaliknya hanya akan membawa kemudaratan, apatah lagi ia dilakukan ketika ambang tahun baharu 2014.

Kebimbangan itu menjadi kenyataan berikutan apa yang berlaku. Oleh itu, pihak yang menganjurkan perhimpunan haram tersebut harus bertanggungjawab dan bersedia menghadapi tindakan tegas hasil siasatan yang akan dijalankan oleh pihak berkuasa.

Ia memandangkan pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat sudah cukup bertolak ansur apabila membenarkan peserta demonstrasi memasuki kawasan Dataran Merdeka, tetapi ternyata kebaikan itu dibalas dengan kebiadaban. Justeru sekarang bukanlah lagi masa untuk berkompromi.

Mereka yang bertanggungjawab mencetuskan kekacauan pada malam tersebut sehingga memungkinkan konsert di Dataran Merdeka dibatalkan harus dibawa ke muka pengadilan. Pedulikan apa juga yang hendak dikatakan oleh puak pembangkang dan sekutunya termasuklah Majlis Peguam.

Kalau mahu bercakap soal hak asasi, penganjur dan peserta demonstrasi pada malam itu sudah pun melakukan pencabulan terhadap hak tersebut apabila mengganggu ketenteraman orang lain.

Dalam soal penyertaan anak-anak Melayu ini, ia hakikatnya bukanlah satu yang luar biasa atau menghairankan sememangnya pakatan pembangkang amat memahami kumpulan itu paling mudah dipengaruhi untuk turun ke jalanan.

Bantahan terhadap kos sara hidup melalui fakta yang diputar belitkan adalah helah pembangkang untuk memastikan budaya demonstrasi yang dipelopori oleh mereka berterusan.

Pembangkang memahami jika bantahan itu mahu dilakukan melalui pentas-pentas ceramah ia tidak akan berjaya kerana jumlah hadirin ke ceramah mereka sudah tidak sehebat dulu lagi.

Justeru demonstrasi jalanan adalah cara terbaik kerana mengetahui sebahagian anak Melayu memang suka seumpama itu untuk berseronok.

Sudah pastilah dalam memperkatakan hal ini, 'sekalung tahniah untuk Pas' kerana sekali lagi menjadi parti yang paling setia mengerahkan ahli dan penyokongnya untuk turun ke jalanan.

Begitu mudah sekali ahli dan penyokong Pas diperbodohkan untuk menyertai perhimpunan haram itu dengan diiringi oleh pula oleh beberapa pemimpin parti tersebut.

Kita tidak menafikan ada juga ahli PKR yang menyertainya tetapi berapa ramai? Bagaimana dengan DAP, apakah mereka juga begitu gigih membuat seruan supaya ahli dan berapa ramai penyokong mereka menghadiri perhimpunan itu? Sudah pasti tidak!.

Ini kerana mereka tahu Pas akan mampu mengerahkan ahli dan penyokong parti itu memandangkan mereka adalah kelompok yang kononnya setia kepada arahan parti.

Sekali lagi, Pas diperalatkan untuk memuaskan nafsu politik PKR dan DAP. Di negeri-negeri yang diperintah oleh PKR dan DAP, tiada demonstrasi sebaliknya ia diserikan dengan konsert dan pertunjukan bunga api, tetapi di Kuala Lumpur, ahli dan penyokong 'diperkudakan' untuk menyertai perhimpunan haram. Demikianlah 'kejahilan' Pas dalam berpolitik dan setia membuta tuli dalam pakatan pembangkang.

Bagaimanapun sama ada teguran mengenai penglibatan anak Melayu ini dibuat oleh Keng Liang atau sesiapa sahaja, ia sudah pasti tidak akan diterima oleh puak-puak yang turun ke jalanan pada malam tersebut.
Sebaliknya, mereka berbangga kerana dapat memaki hamun kerajaan, dapat merempuh hadangan polis dan mengganggu konsert tahun baharu. Malah mereka juga ketawa riang apabila melihat kebiadaban seorang lelaki India memukul poster wajah Perdana Menteri.

'Tahniahlah' kepada pemimpin-pemimpin pembangkang yang berjaya memiliki penyokong-penyokong taksub seumpama itu yang sudah tidak mampu lagi menilai kesan sesuatu perbuatan akibat dipengaruhi oleh politik kebencian yang dicetuskan oleh pembangkang.

Namun dalam masa sama, kita yakin majoriti rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kedamaian mengutuk perbuatan penunjuk perasaan pada malam tersebut manakala majoriti orang Melayu berasa kecewa kerana sekali lagi melihat anak-anak Melayu begitu mudah diperalatkan untuk melakukan kerja bodoh, diperbodohkan dan memperbodohkan diri.


~Utusan

Sunday, October 27, 2013

Dilema Cina (Bisik-bisik Awang Selamat@Utusan)

Seorang sahabat menarik perhatian Awang kepada buku The Chinese Dilemma (East West Publishing, Australia 2003) tulisan Ye Lin-Shing yang diperkatakan kembali termasuk menerusi blog dan laman sosial. Ye Lin yang berasal dari China adalah seorang ahli perniagaan di Malaysia, Singapura, Thailand, Hong Kong, Australia, Britain dan Amerika Syarikat. Pengamatan yang dizahirkan dalam buku itu adalah berdasarkan pengalamannya melibatkan orang Cina di negara-negara berkenaan. Beliau kritis ke atas banyak pihak termasuk masyarakat Cina di Malaysia.

Rumusan yang boleh dibuat: orang Cina di negara ini lebih beruntung berbanding di negara lain tetapi masih tidak bersyukur. Beliau menekankan bagaimana sikap pemurah orang Melayu dalam kontrak sosial sebelum merdeka membolehkan kaum Cina mendapat kerakyatan. Masyarakat Cina Malaysia perlu menghayati nasib yang dialami Cina di Vietnam yang menjadi orang hanyut yang dipaksa meninggalkan negara itu, atau Cina di Kemboja yang ramai daripada mereka dibunuh atau dihalau, atau Cina di Indonesia yang identiti mereka dihapuskan, begitu juga di Filipina, yang kaum Cina dinafikan kerakyatan mereka, '' katanya.

Dalam perkembangan semasa, Ye Lin menyifatkan kedudukan Cina di Malaysia lebih baik berbanding kaum Cina kebanyakan negara lain. Jika boleh berfikir begitu, pasti kamu akan berasa bersyukur ( tinggal di Malaysia)," kata beliau. Dalam konteks hari ini, buku tersebut menjadi sangat relevan untuk dibaca terutama pasca Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang menyaksikan tsunami kaum Cina menolak kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Melayu.

Di sebalik menguasai ekonomi negara, pengembangan sekolah Cina (hanya satu sistem pendidikan diamalkan di negara bukan Cina lain), dasar-dasar kerajaan yang membolehkan ramai orang Cina terus kaya raya dan betapa kerajaan banyak memenuhi tuntutan bersifat perkauman, kaum Cina tetap mahu menjatuhkan kuasa politik Melayu. Tuntutan untuk hak sama rata dijadikan alasan bagi masyarakat Cina mengikat diri taksub menyokong parti ekstrem DAP. Biarpun selepas DAP menang lebih banyak kerusi, orang Cina dalam banyak cara melahirkan tidak puas hati dan membantah kejayaan BN dalam PRU-13.

Apabila akhbar Utusan Malaysia menyiarkan di muka surat depan, ulasan berita bertajuk Apa Lagi Cina Mahu? dua hari selepas keputusan PRU-13, sebahagian pemimpin DAP dan NGO Cina marah walaupun kandungan laporan itu disifatkan oleh banyak pihak sebagai realistik dan suatu pertanyaan yang rasional. Mesejnya, masyarakat Cina tidak suka ditegur dan diperingatkan dengan hakikat bahawa pendekatan politik kaum itu sudah melampau dan berbahaya. Maka apa yang dituliskan oleh Yee Lin perlu direnung sedalam-dalamnya.

Beliau tidak malu untuk mengakui bahawa orang Cina Malaysia bersikap tidak adil terhadap orang Melayu. Persoalan-persoalan dalam buku itu, menurut beliau, bukan bertujuan untuk memihak tetapi untuk menyemai persefahaman antara rakyat Malaysia. Kini Chinese Dilemma menjadi perhatian sebahagian orang Melayu terutama menerusi laman sosial.

Blog AIDC turut memaparkan terjemahan petikan-petikan menarik Yee Lin, yang antara lain menggambarkan sikap angkuh dan suka menghina Cina Malaysia terhadap orang Melayu. Orang Melayu sebenarnya sedang dijajah kaum Cina. Tetapi itulah keistimewaan orang Melayu, mereka adalah bangsa yang bersopan santun dan penyabar. Sepatutnya orang Cina perlu berbakti kepada orang Melayu." Katanya lagi : Saya selaku orang yang berasal dari China berasa malu dengan sikap bangsa saya yang tinggal di Malaysia. Tidak ada perkataan yang dapat saya berikan kerana dasar orang Cina terlalu keras, ekstrem serta perkauman, '' tegas Ye Lin. Awang kasihan kepada orang Melayu. Walaupun banyak beralah kepada kaum Cina sejak dahulu lagi tetapi terus dilukai dan dikhianati.

Budi yang dihulur, racun yang diberi. Pun begitu, ramai Melayu yang masih tidak sedar diri.

Thursday, October 24, 2013

Faktor BN Mahukan Sungai Limau

Di atas kertas, ramai yang meramalkan Barisan Nasional (BN) tidak akan berpeluang untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Sungai Limau yang berada dalam genggaman Pas.

Kerusi DUN itu dianggap kubu kedua terkuat Pas di Kedah selepas DUN Tokai yang berada dalam Parlimen Pendang. DUN Sungai Limau atau dahulunya dikenali DUN Sala seolah-olah begitu kebal untuk ditembusi oleh BN apatah lagi ia dikuasai oleh Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Allahyarham dianggap tokoh yang memungkinkan Sungai Limau berada di tahap itu dan Allahyarham jugalah yang memungkinkan melalui kepimpinan di dalam Pas bukan kata Sungai Limau berada dalam genggaman Pas malah dalam pilihan raya umum 2008, parti itu berjaya menawan Kedah.

Bagaimanapun Azizan tetap menjadi idola penduduk-penduduk Sungai Limau, ketabahan Allahyarham menghadapi asakan demi asakan dalam parti sendiri telah memungkinkan Allahyarham terus berjaya mempertahankan kerusi DUN Sungai Limau, biar pun Pas kehilangan tampuk pemerintahan kerajaan negeri Kedah.

Namun pada 26 September lalu, Allahyarham kembali menemui Ilahi sehingga memungkinkan kerusi DUN Sungai Limau kosong bagi membolehkan satu pilihan raya kecil diadakan.

Allahyarham Azizan bukan seperti pemimpin Pas lain, Allahyarham tidak pernah melihat pemimpin-pemimpin atau penyokong BN sebagai musuh, Allahyarham bersahabat dengan sesiapa sahaja, faktor inilah yang membolehkan Allahyarham terus menjadi pemimpin Pas yang dihormati oleh kawan dan lawan.

''Peluang BN untuk menang tetap ada kerana Pas menghadapi masalah untuk mencari pengganti seperti Azizan, dia kawan dengan semua orang tak kira parti,'' kata seorang penduduk Sungai Limau kepada penulis.

Kini Pas tidak boleh lagi bergantung kepada Allahyarham untuk mempertahankan DUN Sungai Limau. Tanpa mahu memperkecilkan kewibawaan calon Pas, Mohd. Azam Abdul Samat dalam pilihan raya kecil kawasan itu 4 November ini, BN perlu diperingatkan supaya tidak terlalu gentar dengan cabaran Pas.

Kita menghormati latar belakang pendidikan Mohd. Azam seorang yang bertaraf ustaz dan ia dilihat sesuai oleh Pas kerana masyarakat Sungai Limau dianggap kelompok Islamik. Tetapi UMNO tidak ada kurangnya biar pun calon mereka, Dr. Ahmad Sohaimi Lazim adalah bekas pensyarah kanan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).

Biar pun tidak berlatar belakang agama tetapi Dr.Ahmad Suhaimi mempunyai akhlak yang baik dan mampu melaksanakan tanggungjawab yang berkesan sebagai wakil rakyat jika dipilih.

Sememangnya kita mengakui, seorang ustaz amat diperlukan dalam masyarakat tetapi dalam masa sama, sebagai orang Islam kita juga diseru untuk mencari kebahagiaan di dunia dan akhirat. Dan sudah pastilah dalam soal ini, kita perlu mencari pemimpin daripada golongan yang boleh memimpin kita mencari kebahagiaan akhirat tanpa meninggalkan kebahagiaan dunia.

Pas mungkin boleh mendabik dada dengan calon mereka tetapi fikirkan apakah Pas mampu membawa kesejahteraan kepada penduduk-penduduk Sungai Limau melalui pembangunan? Walaupun tidak berlatar belakang agama tetapi Dr. Ahmad Suhaimi boleh dibantu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang kini sudah menjadi Ahli Parlimen Jerai dan Ketua UMNO Bahagian Jerai.

Dr. Ahmad Suhaimi boleh menumpukan program-program bagi meningkatkan taraf hidup rakyat bersama Jamil Khir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga boleh mengatur pelbagai program-program berunsur keagamaan.

Gabungan kedua-dua pemimpin ini akan diperkukuhkan pula dengan kerjasama padu yang akan diberikan oleh Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir yang sudah pastinya mempunyai perancangan tersendiri dengan sokongan kerajaan pusat bagaimana hendak memajukan kehidupan penduduk Sungai Limau bagi membolehkan mereka mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Pengundi-pengundi Sungai Limau tidak harus lagi terus terpegun dengan laungan perjuangan Islam oleh Pas atau pelbagai slogan yang pastinya akan berkumandang lagi sepanjang kempen dalam pilihan raya kecil tersebut.

Sebaliknya, mereka perlu memberi ruang dan peluang kepada BN untuk menduduki semula kerusi Sungai Limau - dulu BN pernah menguasai kawasan ini dan biarlah sejarah tersebut berulang.

Memang benar, apa pun keputusan ia tidak akan mengubah kedudukan kerajaan negeri atau kedudukan Pas dalam Dewan Undangan Negeri, tetapi BN bertanding bukan semata-mata kerana mahu merebut kerusi Sungai Limau tetapi parti itu ikhlas mahu menawarkan khidmat bakti kepada penduduk Sungai Limau.

Kalau BN memikirkan soal kerusi semata-mata sudah pasti parti itu tidak akan bertanding dalam pilihan raya kecil tersebut kerana ia tidak mengubah apa-apa tetapi ini soal tanggungjawab kepada rakyat.
BN mahu DUN Sungai Limau membangun seperti kawasan-kawasan lain yang berada di bawah penguasaannya. Justeru penduduk Sungai Limau tidak harus terus bernostalgia dengan politik Pas.

Berilah peluang kepada BN untuk membuktikan keupayaannya dan kita yakin sebagai kawasan kubu kuat parti lawan yang berjaya diranapkan dalam pilihan raya kecil kali ini, kerajaan negeri Kedah di bawah kepimpinan Mukhriz pasti akan benar-benar menghargai kepercayaan yang diberikan.

Oleh itu, fikirkanlah dengan semasak-masaknya tawaran yang dibuat oleh BN dalam pilihan raya kecil kali ini, bak kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal, teruslah menjadi ahli Pas tetapi undilah BN untuk kesejahteraan hidup mereka.

Mungkin seruan ini nampak ganjil tetapi faktanya kita menyokong sesebuah parti itu adalah untuk memastikan kehidupan kita terbela tetapi Pas sudah terbukti tidak mampu berbuat demikian, oleh itu kalau mahu terus mengekalkan semangat Pas kerana masih berpegang kepada perjuangan Islam parti itu, teruskanlah, tetapi mengundilah BN kerana parti itu berupaya menjadikan sebuah perjuangan itu bukan sekadar slogan tetapi realiti dalam usaha kita mencari kebahagiaan di dunia dan akhirat.


~Utusan

Kebolehan Pemimpin-Pemimpin UMNO Jadi Sandaran

KHEMAH yang menempatkan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) di majlis penamaan calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau di Dewan Datuk Madi, Yan, Kedah semalam menjadi tumpuan.

Ini memandangkan ia menjadi lokasi pertama bagi sebahagian besar pemimpin-pemimpin UMNO yang bertanding dalam pemilihan Sabtu lalu berkumpul. Sudah pastilah tumpuan diberikan kepada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir yang bersaing sengit dalam pemilihan tersebut.

Namun, bukanlah soal kemesraan antara kedua-dua anak kepada dua bekas Perdana Menteri ini yang mahu diperkatakan tetapi bagaimana semangat ahli-ahli Majlis Tertinggi yang baru dilantik turun ke Sungai Limau. Lebih menarik ada antara mereka yang tewas seperti Menteri Besar Perlis, Azlan Man dan Datuk Azman Shah Omar Shah.

Sama ada kalah atau menang dalam pemilihan lalu ia tidak lagi menjadi perhitungan, apa yang pasti ketika berbual-bual dengan mereka, kesemuanya bertekad untuk turun habis-habisan bagi memastikan kemenangan BN di kubu kuat Pas tersebut.

Masing-masing mempunyai kemampuan dan kebolehan tersendiri serta sudah pasti masing-masing ada kumpulan pengundi yang harus diberikan tumpuan. Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri, Mas Ermieyati Samsuddin sudah bersedia untuk ke gelanggang. Tetapi seperti mana kata ketiga-tiga mereka, kempen akan dijalankan secara berhemah dan tertib, tidak boleh redah sahaja memandangkan Sungai Limau adalah kawasan luar bandar.

Sementara itu, Hishammuddin sudah pun memulakan langkah dengan bertemu veteran UMNO di DUN tersebut dan dijangka turun lagi pada saat-saat akhir kempen, seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal turut mengatur langkah bertemu pengundi kerana kementerian beliau banyak berjasa di Sungai Limau. Kebolehan dalam bidang agama termasuk menghafal ayat-ayat al-Quran dan hadis akan membolehkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjadi sandaran untuk mematahkan hujah-hujah Pas yang pastinya akan menggunakan ayat-ayat al-Quran dan hadis bagi meraih sokongan.

Sebenarnya, UMNO mempunyai pasukan pemimpin yang lengkap sama ada dalam soal dunia mahupun akhirat. Tetapi acap kali kelebihan ini tidak diketengahkan dalam kempen-kempen semasa pilihan raya kecil.

Oleh itu Sungai Limau adalah lokasi terbaik untuk barisan MT dan sayap-sayap UMNO berpadu tenaga bagi meranapkan kubu Pas di DUN tersebut. Berbanding UMNO, Pas hanya bergantung kepada golongan agama untuk meraih undi tetapi UMNO mempunyai semua golongan malah terdiri daripada pentadbir yang baik dalam membangunkan negara.

Justeru, kita mengharapkan semangat yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO ini akan berterusan sehingga hari pengundian 4 November. Percayalah, dengan kekuatan dan kebolehan yang ada dan atas niat ingin berbakti demi kesejahteraan, insya-Allah, misi menawan DUN Sungai Limau bukan satu misi mustahil.

Apa yang penting ialah keazaman dan membuktikan kepada rakyat bahawa UMNO adalah pasukan politik paling lengkap, berwibawa dan jauh berkemampuan berbanding Pas yang hanya bijak berceramah, menabur janji dan mengukir ilusi.


Wednesday, October 23, 2013

Berakhirkah Era 'Warlords'?


PEMILIHAN peringkat bahagian 19 Oktober lalu yang menyaksikan 57 daripada 191 bahagian mendapat ketua baharu menunjukkan kesungguhan akar umbi untuk menukar kepimpinan bahagian masing-masing.

Sebilangan penyandang ketua bahagian memang telah mengorak langkah sendiri memutuskan untuk berundur. Tetapi sebahagiannya ditolak oleh bahagian sendiri.

Dengan perubahan kepimpinan bahagian - yang hampir mencecah satu pertiga - menunjukkan langkah pembaharuan segera yang dilakukan akar umbi sebagai respons kepada transformasi politik Presiden parti. Ini sekali gus menunjukkan keberanian akar umbi akibat kesan lebih banyak perwakilan yang seramai 146,500 orang mahukan perubahan.

Nampaknya kumpulan warlords atau 'demang politik' gagal mempengaruhi proses pemilihan bahagian kali ini.
Orang UMNO sebenarnya sudah muak dengan perlakuan segelintir warlords ini. Pada masa-masa lalu termasuk semasa pemilihan 2009 sehinggalah dalam penggal 'mereka' ini berkuasa, mereka dikesan membolot wang dan kuasa serta bertelagah sesama sendiri.

Malah, lebih mengecewakan lagi, 'mereka' ini membolot peruntukan yang disediakan jentera parti untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 setelah tidak dipilih menjadi calon. Wang itu dikatakan 'disimpan' pula untuk kegunaan bertanding dalam pemilihan parti.

Di beberapa negeri, akibat permainan 'warlords ini' natijahnya amat besar, sehinggakan Barisan Nasional tersungkur. Malah, lebih teruk lagi imej buruk BN itu dipalitkan kepada UMNO - 'terjelupuk' sehinggakan kaum Cina pula 'cuak'.

Sabtu lalu di Selangor menyaksikan separuh daripada 22 ketua bahagian bertukar. Langkah menampilkan barisan muka baru ini adalah dalam usaha untuk menambat hati rakyat Lembah Klang yang kecewa dengan kepimpinan lama.

Kalau UMNO Selangor nak mendekati rakyat, inilah masanya dalam tempoh empat tahun ini untuk berbuat demikian setelah persepsi tidak efektif ditunjukkan hingga mengakibatkan BN di Selangor kini 'terkapai-kapai'.

Ketua-ketua bahagian di Selangor, kena ambil iktibar. Buangkanlah masalah karektor. Semasa penulis mengetuai jentera pilihan raya akhbar ini di Selangor Mei lalu, perlakuan-perlakuan sebeginilah terpaksa dihadapi penulis dan rakan-rakan.

Tindakan jentera parti negeri 'menyembunyikan' data, fakta dan statistik hanya untuk 'tatapan' orang atas, tidak mahu berkongsi idea dengan media arus perdana yang bersedia membantu serta lagak 'angkuh' dengan ketua-ketua bahagian sehinggakan media tidak dijemput langsung ke war room di bangunan parti, harus dibuang.

Di Pulau Pinang, penulis dimaklumkan juga insiden sama berlaku. Lebih teruk lagi semasa sedang sibuk jentera parti menyusun strategi pilihan raya, ada ketua bahagian 'tidak turunkan' peruntukan.

Apa pun, warlords yang tewas peringkat bahagian, tidak kiralah anda di Selangor atau di Seberang Perai, Pulau Pinang atau di mana-mana sahaja, haruslah reda dengan hati terbuka menerima keputusan perwakilan. Tunjukkan keikhlasan.

Di Selangor, tentunya harapan tinggi disandarkan kepada barisan ketua bahagian yang baharu untuk merungkai masalah serta mencari segera formula merampas kembali Selangor, yang sudah pun dua kali jatuh.
Hakikatnya, seluruh 191 ketua bahagian UMNO adalah enjin, nadi dan jantung UMNO. Peranan mereka sebenarnya jauh lebih besar daripada kepimpinan atasan.

Mereka inilah yang paling hampir dengan masyarakat setempat dan tahu luar dalam masalah rakyat.
Tanggungjawab ketua bahagian berat dan besar dalam membantu Majlis Tertinggi, Naib Presiden, Timbalan dan Presiden parti. Kalau jentera bawah lemah, atas juga lemah. Jentera peringkat bahagian ini perlu benar-benar mantap supaya dapat bergerak dengan efisien tanpa gangguan dalam bahagian, khususnya daripada warlords.

Di sinilah ujian dan cabaran peringkat bawah atau akar umbi untuk menterjemahkan ikrar Presiden dalam memastikan tidak ada lompang dan cacat cela seperti pada masa lalu. Antaranya, salah guna kuasa dan kronisme.

Amalan transformasi perlu dijiwai dengan sikap yang bersih.
Integriti dan kewibawaan itu perlu dilonjakkan seiring sejalan dengan kerja keras Presiden dan timbalannya.
Mana-mana pencabar ketua-ketua bahagian yang kalah perlu akur dan reda.
Diharapkan, biduk lalu kiambang bertaut.


~Utusan

Pertelagahan DAP Melaka-Pusat Suatu Kenyataan

Peletakan jawatan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Goh Leong San pada 8 Okt lepas mengesahkan desas-desus pertelagahan kepimpinan DAP negeri dan pusat yang bertiup sejak sebelum pilihan raya umum ke-13 Mei lepas.

Keretakan hubungan mereka dilihat apabila timbul perselisihan faham dalam memilih calon parti itu untuk kerusi Dewan Undangan Negeri Kota Laksamana yang dikosongkan Betty Chew, isteri Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Pimpinan DAP pusat cenderung memilih Lai Keun Ban, calon yang dilihat penyokong setia Guan Eng, hingga menimbulkan rasa kurang senang antaranya anggota Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him yang mengambil keputusan bertanding sebagai calon bebas di Kota Laksamana.

Beliau dalam masa yang sama mempertahankan kerusi Parlimen Kota Melaka atas tiket DAP.

Tong Him akhirnya tunduk atas desakan Guan Eng untuk menarik diri sebagai calon Bebas, namun menarik perhatian Leong San pada masa itu yang dikatakan menyokong Tong Him dan turut kurang senang dengan pencalonan Keun Ban, yang akhirnya memenangi kerusi itu.

Desas-desus itu terbukti benar apabila Leong San kini mengisytihar perang terhadap Keun Ban dan Khoo Poay Tiong dari Ayer Keroh yang juga penyokong setia Guan Eng.

Isu yang menjadi pencetus perbalahan itu ialah pujian Leong San kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron yang mendapat kritikan hebat Poay Tiong dan Keun Ban, serta turut menimbulkan perasaan kurang senang Guan Eng.

Ekoran itu Leong San meletak jawatan atas alasan "terlalu banyak campur tangan DAP pusat". Bukan sekadar meletak jawatan, Leong San terus berperang dengan Poay Tiong dan Keun Ban antaranya dengan ugutan untuk membongkar salah laku dua ADUN itu, namun dibalas Poay Tiong yang langsung tidak gentar dengan ugutan, malah mencabar Leong San membuktikan kebenaran dakwaannya itu.

Agak sukar untuk mendalami secara terperinci isu yang dibangkitkan dalam pertelagahan tiga ADUN DAP itu kerana mereka hanya membenarkan media berbahasa Cina menghadiri sidang media di Melaka yang diadakan bagi menyerang antara satu sama lain. Itulah kebebasan media yang diamalkan mereka.

Pertelagahan DAP Melaka dan pusat itu turut menyebabkan ADUN Melaka dari DAP berpecah dua, iaitu yang menyokong Leong San terdiri daripada Timbalan Pengerusi DAP Melaka, Lim Jak Wong (Bachang), Tey Kok Kiew (Banda Hilir) dan Chin Choong Seong (Kesidang), manakala yang menyokong Guan Eng ialah Poay Tiong dan Keun Ban.

Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang begitu memahami perangai pemimpin DAP Melaka setelah 10 tahun menerajui negeri, menterjemahkan pertelagahan itu sebagai, tidak lain tidak bukan hanya kerana mahu mengubah kepimpinan DAP Melaka, supaya lebih cenderung kepada Guan Eng.

"Pada pendapat saya, ada usaha daripada DAP pusat terutama Guan Eng untuk menjadikan Khoo sebagai pengerusi DAP Melaka supaya DAP Melaka tunduk kepada Guan Eng. Sifat kuku besi dinasti Guan Eng itu nampak dalam isu ini," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Mohd. Ali mendakwa Guan Eng dan Betty Chew sememangnya kurang disenangi DAP Melaka yang diterajui Leong San, bukti paling jelas ialah kekalahan pada pemilihan kepimpinan DAP negeri dahulu dan tindakan Guan Eng memilih Pulau Pinang untuk meneruskan kesinambungan kerjaya politiknya walaupun pernah menjadi anggota Parlimen Kota Melaka selama tiga penggal.

Idris pula berpendapat selain mengubah kepimpinan, perbezaan antara sifat Leong San yang dilihat 'gentleman' ketika berbahas isu rakyat di DUN Melaka dan sifat kepimpinan DAP pusat yang lebih gemar bermain politik merupakan antara punca pertelagahan mereka.

Beliau menyifatkan Leong San sebagai ketua pembangkang yang rasional, tidak emosi dan berbahas berdasarkan fakta, berbeza dengan pemimpin DAP lain seperti Guan Eng.

Pengerusi MIC Melaka, Datuk M. S Mahadevan pula berpendapat DAP, baik di Melaka ataupun pusat, tidak akan mampu berkhidmat dengan baik untuk rakyat sekiranya krisis politik mereka tidak dapat diselesaikan dengan sempurna.

Beliau turut mempersoal tindakan DAP pusat dinaungi dinasti Guan Eng yang hanya mahu bermain politik dengan membangkang atas sebab politik tanpa mempedulikan masalah rakyat.

"Pembangkang yang berkesan ialah apabila mereka membangkang kerana isu itu perlu diperbetulkan dan memuji apabila usaha dilakukan itu betul, bukan membangkang hanya kerana mainan politik," kata Mahadevan.

Pengerusi PPP Melaka, Datuk Chiw Tiang Chai pula berpendapat selagi berada dalam DAP, impian Leong San untuk berkhidmat kepada rakyat tanpa bermain politik, akan berkubur.

"Lebih baik Leong San keluar dari DAP dan berjuang sebagai wakil rakyat bebas, pada saya ini lebih baik daripada terus tertekan dan dipaksa bermain politik dalam parti yang tidak sehaluan dengan dia," katanya.

Tiang Chai berkata, sebagai ADUN Bebas, Leong San boleh menyuarakan kepentingan rakyat tanpa terikat dengan ketentuan sempit DAP pusat dan memperjuangkan kepentingan rakyat yang telah mengundinya, bukan berjuang untuk kepentingan parti serta pemimpin yang mahu memeranginya.

Dengan pertelagahan yang berterusan ini, persoalannya sekarang mampukah Guan Eng mempertahankan corak pemerintahannya mengawal DAP negeri-negeri seperti yang dilihat sekarang bukan hanya DAP Melaka, malah DAP Sabah juga, didahului dengan tindakan ADUN Luyang, Hiew King Cheu keluar parti.


DAP Kedah pula nampak tidak sehaluan dengan pusat apabila akar umbi di negeri itu menyokong bekas pengerusi negeri Lee Guan Aik yang dipecat DAP pusat dan akar umbi DAP Perak, mula mempersoal kepimpinan Datuk Ngeh Koo Ham.

~Utusan

Friday, October 18, 2013

Mengapa Pemilihan Esok Penting Untuk UMNO?

SESIAPA sahaja yang menduduki platform 191 ketua bahagian, 25 ahli Majlis Tertinggi dan tiga Naib Presiden, yang kalau tidak ada aral boleh diketahui malam esok - ingatlah satu perkara ini.

"Hindarilah gaya politik stereotaip yang tidak bermaya".

Bekerja keraslah untuk membantu Presiden dan Timbalan Presiden parti yang mana kedua-dua pemimpin ini sedar bahawa jika kaedah dan gaya lama tidak diubah, penguasaan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum mendatang tidak akan bertahan lama.

Politik adalah penggerak kerajaan. Ia dasar awam dan bermakna juga hal-ehwal negara - satu seni untuk memperoleh dan mewujudkan kuasa serta pengaruh dalam memutuskan apa yang terbaik untuk rakyat. Kerajaan tanpa kuasa politik yang kuat ibarat kapal berlayar tanpa angin.

Ekoran 46 peratus pengundi terkini pilihan raya negara dalam lingkungan 21-45 tahun membuktikan mereka kurang menerima gaya politik patriotik yang stereotaip. Salah satunya adalah kerajaan lebih tahu apa yang baik dan semua perkara datang dari atasan sahaja. Ini berlawanan dari golongan dewasa berumur antara 50-70 tahun ke atas.

Ingatlah! golongan muda di Malaysia, sebahagian besarnya tidak lagi berfikiran konvensional dalam pendekatan dan kefahaman hidup. Sebilangannya kurang mempedulikan nilai merdeka atau apa itu Rukun Negara atau 'politik pak turut' boleh lakukan untuk mereka.

Golongan generasi muda ini - kalau tingkatan 5 sekarang sudah boleh mengundi lima tahun lagi - berada dalam dunia mereka sendiri yang penuh dengan teknologi siber. Mereka yakin dengan pendidikan yang diterima dari universiti-universiti dan kolej-kolej tempatan dan di luar negara.

Realitinya, kini dengan cara hidup siber, Malaysia terlalu kecil untuk mereka. Mereka menuntut hak-hak asasi dan manusia sejagat. Mereka mula mempersoalkan perkara-perkara yang dulunya bapa-bapa mereka mengambil sambil lewa. Mereka tidak lagi menulis surat. Mereka berkomunikasi menggunakan SMS, Facebook dan Twitters. Mereka kini telah merasai kebebasan yang baru. Satu kehidupan baru.

Kerana itu, mereka yang menduduki platform kepemimpinan UMNO esok harus menemukan pandangan dan formula baru.

Ini telah disedari Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah mendekati golongan muda melalui norma-norma kebiasaan mereka. Presiden perlu dibantu oleh platform kepimpinan penggal 2013-2016 ini.

Politik adalah jentera penggerak kerajaan. Ia adalah dasar awam. Ia juga bermakna hal-ehwal negara - satu seni untuk memperoleh dan mewujudkan kuasa serta pengaruh dalam memutuskan apa yang terbaik untuk rakyat.

Dengan sentimen pembangkang di negara ini yang sering mempamerkan amalan-amalan negatif, menghasilkan kritikan pedas berbaur provokasi, maka keputusan atas pertimbangan politik menjadi percaturan cukup penting.

Tanpa semangat nasionalisme yang pada dasarnya satu fenomena politik, entiti kerajaan akan gagal.
Esok cukup penting.

Para perwakilan UMNO, yang mendahului sistem pemilihan demokrasi transformasi politik daripada mana-mana parti politik di negara akan membuat pilihan.

Pilihan yang diharapkan tepat.

~Utusan

Wednesday, October 16, 2013

Calon Perlu Bijak Mengurus Kekalahan


FIKIRKAN senario ini - wakil kepada seorang calon Naib Ketua Pemuda UMNO membuat sidang akhbar mendakwa calon mereka memenangi jawatan itu.

Mereka menolak, keputusan Jawatankuasa Pemilihan UMNO bahawa dua calon yang bertanding terikat kerana menurut laporan war room mereka, calon pilihan mereka menang.

Dalam satu lagi senario - seorang pemimpin Wanita UMNO 'mengamuk' melalui WhatsApp kepada rakan-rakan mempertikaikan kekalahannya dalam perebutan jawatan Exco Wanita.

Dan seorang lagi pemimpin Wanita UMNO turut 'menyerbu' satu sidang akhbar untuk menyatakan bantahannya kerana tewas dalam perebutan di peringkat bahagian.

Mungkin kesemua mereka ini mempunyai alasan tersendiri kenapa bertindak demikian tetapi apa yang pasti mereka seolah-olah begitu takut untuk menerima kekalahan.

Sepatutnya, jika ada perkara berbangkit ia diketengahkan melalui saluran yang betul dan bukannya melakukan tindakan yang boleh menyebabkan imej UMNO terjejas.

Kenapa perlu membuat pelbagai andaian termasuklah merasakan maklumat war room mereka lebih tepat daripada keputusan yang diperolehi oleh UMNO Pusat?

Bukankah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, banyak war room memberikan maklumat tidak tepat sehingga UMNO ketika itu seolah-olah berada dalam situasi 'syok sendiri'?

Kenapa pula ada calon sanggup menuduh 'ada mainan' di sebalik kekalahannya? Apakah dia tidak percaya kepada kebijaksanaan perwakilan membuat keputusan sama ada di peringkat Pusat mahupun bahagian?

Oleh itu, tidak payahlah mana-mana juga pemimpin atau calon yang kalah, hampir kalah atau mungkin akan kalah melakukan tindakan yang dilihat mampu merosakkan imej parti.

Ini pemilihan dalam keluarga dan ia sepatutnya dilaksanakan secara berhemah. Tidak salah untuk melakukan bantahan, tidak salah untuk menyatakan perasaan tidak puas hati dan tidak salah untuk membangkitkan kemusykilan.

Tetapi biarlah ia dilakukan melalui saluran yang betul dengan matlamat untuk memastikan imej UMNO tidak tercemar.

Mereka yang masih lagi tidak faham untuk belajar menerima kekalahan dalam pemilihan UMNO kali ini, perlu memahami bahawa 'musuh-musuh politik' parti itu sedang menanti. Tersilap langkah, apa yang berlaku dalam UMNO akan dijadikan modal untuk pilihan raya.

Justeru adalah lebih baik belajarlah menguruskan kekalahan dan bukannya hanya bijak mencari kesalahan!

~Utusan


Wednesday, October 9, 2013

Melayu Tak Masuk DAP Kerana Utusan - Apa Punya Gila?

Blog Lim Kit Siang, baru-baru ini menyiarkan tulisan Liew Chin Tong, Ahli Parlimen DAP Kluang yang bertajuk ‘What Utusan Doesn’t Know About DAP’ (Apa yang Utusan Tidak Tahu Mengenai DAP). 

Liew sebagai calon yang mendapat undi tertinggi menganggap bahawa serangan Utusan terhadap Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP kerana gagal mendapat undi tertinggi dalam pemilihan semula CEC sebagai melucukan.  Hujah Liew lagi, sistem pemilihan CEC DAP dilakukan secara lebih demokratik dengan membandingkannya dengan sejarah pemilihan UMNO.  Sedangkan hakikatnya, UMNO telah menyaksikan pertukaran Presiden dan Naib Presiden beberapa kali tetapi DAP masih dipegang oleh orang yang sama sejak dahulu lagi. 

Oleh itu, pertama sekali, kita ingin bertanya Liew bahawa benarkah serangan Utusan terhadap Lim Guan Eng itu lucu?  Kita percaya, jika ia lucu, maka Liew tidak akan membuang masa menulis artikel ini untuk membela DAP dan menjaga air muka Lim Guan Eng. 

Keduanya, Liew nampaknya telah tidak faham isu yang ditulis oleh Utusan Malaysia mengenai CEC DAP - mungkin kerana masalah pemahaman bahasa? 

Untuk pengetahuan Liew, isu di sini bukan tentang sistem pemilihan siapa yang lebih demokratik antara DAP dan UMNO, tetapi tentang kenapa 753 perwakilan DAP telah tidak menerima notis mesyuarat bagi pemilihan CEC Disember lalu?  Dan kenapa DAP menyatakan bahawa mereka menghantar surat memberitahu tidak akan hadir sedangkan mereka menafikannya?  Dan ia juga berkenaan kenapa 851 perwakilan telah tidak hadir dalam pemilihan semula yang diadakan pada 29 September lalu dan juga kenapa terlalu ramai calon yang menarik diri di saat akhir? 

Kenapa Liew tidak menjawab isu ini?  Kenapa perlu dituding jari kepada Utusan, ROS, UMNO dan serata arah?  Bukankah semua soalan ini mudah sahaja? 

Justeru, rakyat semakin yakin bahawa semua yang berlaku ini tentunya ada kena mengena dengan jumlah undi Lim Guan Eng walau berapa pun undinya. 

Liew juga membangkitkan soal UMNO yang bersifat perkauman dan membandingkan dengan DAP yang menerima Zairil Khir Johari, kononnya seorang Melayu, untuk memegang jawatan dalam CEC.   Nampaknya, Liew bukan sahaja tidak faham bahasa tetapi tidak habis membaca .  Jika Liew membaca, beliau tentu tahu bahawa pendedahan telah dibuat secara besar-besaran oleh semua pihak bahawa Zairil bukan Melayu dan semua orang-orang Melayu sudah tahu akan hakikat ini. 

Nama Zairil ialah Christopher dan bapanya ialah Howard Lim.  Apa Liew ingat orang Melayu UMNO sama bodoh dengan Melayu DAP untuk ditipu mengenai bangsa Zairil? 

UMNO adalah parti Melayu, kerana itu ia bekerjasama dengan MIC dan MCA bagi memastikan kaum lain tidak terpinggir.  Dengan cara itu, kaum India dan Cina turut mempunyai platform yang sama kuat dengan UMNO untuk bersuara dalam politik negara. 

Berbeza dengan DAP, yang walaupun mendabik dada sebagai parti berbagai kaum tetapi DAP tidak memberi peluang untuk Melayu dan India bersuara.  Malah, kemelut yang melanda CEC juga adalah berpunca dari majoriti perwakilan dari kaum India telah dinafikan hak mengundi .   

Untuk kaum Melayu pula, DAP terus menipu dengan meletakkan Christopher Lim sebagai wakil Melayu!   Walhal, ada beberapa lagi Melayu lain yang telah berdekad-dekat membodohkan diri kepada DAP tidak pula dilantik sebagai wakil Melayu.  Mungkin DAP tahu, bahawa mereka bodoh sebab itu tidak dilantik kerana kalau tidak bodoh mana mungkin mereka terus setia bersama DAP sebegitu lama biarpun dipijak-pijak dan disepak-sepak selalu. 

Sungguh melucukan (ini baru betul-betul lucu) apabila Liew menyalahkan Utusan Malaysia sebagai punca tidak ramai Melayu menyertai DAP.  Kononnya, berita-berita yang dilaporkan oleh Utusan dan juga TV3 serta media-media UMNO lain sering menggambarkan DAP sebagai begitu buruk sehingga orang Melayu takut untuk menyertai DAP. 

Hakikatnya, DAP berbuat yang sama terhadap UMNO dengan menggambarkan UMNO begitu rasis agar orang-orang Cina menjauhkan BN.  Tetapi, apa yang DAP tuduh terhadap UMNO tidak benar dan mudah dipatahkan kerana seluruh dunia tahu betapa bertuahnya kaum Cina di Malaysia yang diperintah oleh BN dan diterajui oleh UMNO! 

Sebaliknya, keburukan DAP yang disampaikan oleh Utusan Malaysia adalah benar belaka dan ia disahkan sendiri oleh DAP melalui apa yang terjadi dalam pemilihan CEC.  Kesimpulannya Melayu tak masuk DAP bukan kerana Utusan Malaysia, tetapi kerana Melayu tidak mahu diperintah oleh kiasu penipu, rasis, chauvinis dan komunis. 

Justeru, berbalik kepada artikel Liew yang bertanya ‘apa yang Utusan tidak tahu tentang DAP’, maka jawapannya mudah iaitu Utusan tidak tahu kenapa 753 perwakilan DAP tidak mendapat notis mesyuarat CEC Disember lalu dan ke mana perginya 851 perwakilan DAP dalam pemilihan semula September lepas. 

Bolehkah Liew tolong jawabkan?