Monday, December 3, 2012

Peniaga Pasar Tani, Pasar Malam Selangor Akan Serang Kerajaan Negeri


Pendedahan Datuk Ramli Norani, pembahas dari Selangor dalam Perhimpunan UMNO tempohari, mengenai keputusan kerajaan negeri untuk mengambil alih pasar tani dan pasar malam boleh dianggap sebagai kemuncak kepada usaha berterusan dan bersungguh-sungguh untuk menindas Melayu di negeri ini.   

Bukan kita tidak tahu yang pasar malam dan pasar tani adalah antara satu-satunya tempat utama bagi kaum Melayu berniaga.  Semakin hari, semakin ramai yang menyedari dan mengiktiraf produk-produk segar yang dijual oleh peniaga Melayu di sini. Mungkin kerana produk-produk ini mula mendapat sambutan dan dilihat sebagai mampu menyaingi pasar-pasar segar milik Cina maka ia mula menjadi sasaran kerajaan Pakatan Rakyat.  

Justeru, mereka pun membuat keputusan untuk mengambil alih perniagaan ini sebagai satu tindakan terancang menyekat pendapatan serta potensi peniaga Melayu dari terus maju.  Ini dilihat sebagai satu lagi keputusan biadap sama seperti percubaan mereka untuk mengambil alih tanah milik Yayasan Basmi Kemiskinan baru-baru ini.  Alhamdulillah, percubaan tersebut telah tidak berjaya.  

Jika sebelum ini hanya Pulau Pinang yang menjadi rujukan dalam memperkatakan agenda DAP untuk menindas Melayu tetapi kini, agenda busuk hati DAP semakin hari semakin jelas di Selangor.  

Di beberapa kawasan, seperti Selayang dan Kepong, usaha menindas peniaga Melayu begitu ketara.  Ada antara kawasan peniaga kecil Melayu diasingkan dan dikenakan bayaran letak kereta manakala kawasan komersial yang dikuasai peniaga Cina tidak pula dikenakan bayaran letak kereta.  

Semenjak PR mengambil-alih Selangor, pembangunan projek perumahan dan komersial begitu giat berjalan.   Tindakan sesetengah kaum Melayu yang begitu mudah melepaskan pegangan tanah untuk sedikit keuntungan menambahkan lagi kebimbangan kita.   Selalunya, pemaju akan membeli sebidang tanah Melayu di kawasan pinggir bandar untuk dibina sekitar jumlah 20 buah rumah teres dengan perjanjian separuh daripadanya kekal dimiliki oleh pemilik tanah.  Ini mengecilkan keluasan tanah yang menjadi milik Melayu kepada separuh.  Dalam jangkamasa beberapa tahun lagi, maka kawasan Melayu tersebut akan ditembusi dan dikuasai kaum Cina.  

Ini hanyalah beberapa tindakan terbuka yang dapat dikesan secara langsung.  Entah apa lagi cadangan atau perancangan masa depan yang melibatkan pengambilan tanah milik Melayu serta menekan peniaga Melayu yang bakal terdedah.

Justeru, tidak seharusnya ada lagi di kalangan Melayu sendiri yang meragui bahawa agenda meminggirkan Melayu yang dijalankan oleh kerajaan Selangor adalah benar dan serius. Pendedahan yang dibuat oleh Datuk Ramli mengesahkan bahawa semua ini adalah benar belaka dan bukannya sekadar propaganda politik UMNO. Untuk itu, Tan Sri Badruddin Amiruldin, Pengerusi Tetap Perhimpunan Agong UMNO yang kebetulannya adalah juga Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang bertanggungjawab menguruskan pasar tani di seluruh negara telah berikrar  untuk mengepung pejabat kerajaan negeri Selangor jika mereka meneruskan cadangan tersebut.  

Hakikatnya adalah terang lagi bersuluh dan Melayu hanya perlu membuka mata hati untuk melihat bahawa hanya UMNOlah yang ikhlas membela bangsa kita dan bahawa bangsa kita ini tidak akan selamat di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat.

No comments: