Sambutan Hari Polis ke-206 yang diadakan baru-baru ini telah disambut dengan semangat patriotik yang disulam dalam suasana yang penuh kesayuan. Menitis air mata mereka yang hadir pagi itu apabila melihat wajah sayu balu dan waris keluarga yang terkorban hadir menerima kenaikan pangkat bagi mengenang jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan.
Suasana bertambah sayu apabila mendengar pendeklamasi membacakan bait-bait puisi bagi mengambarkan pengorbanan para perwira negara yang mempertahankan kedaulatan negara. Malah perasaan itu turut dikongsi oleh Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak yang jelas terpancar kesedihan di wajahnya tatkala bertemu dengan waris anggota yang terkorban dalam krisis pencerobohan itu.
Di dalam perutusan blog 1Malaysia, Datuk Sri Najib turut melahirkan kagum dengan semangat warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama ini. Malah menurut Perdana Menteri, membesar di rumah bersama ayahandanya Allahyarham Tun Abdul Razak, sentiasa membuatkan dirinya sedar dalam menghargai perjuangan pasukan polis sejak zaman darurat sehinggalah kepada insiden 13 Mei.
“… mereka sentiasa menjadi benteng keselamatan kepada kita semua” katanya.
Perdana Menteri turut melahirkan rasa bangga apabila melihat semangat juang mereka yang bertugas semasa Ops Daulat.
“Kita juga kagum dengan keberanian lapan anggota serta pegawai PDRM yang sanggup menggadaikan nyawa mereka demi mempertahankan kedaulatan negara” katanya lagi.
Mereka yang terkorban dalam pertempuran dengan pengganas militan di Kampung Tanduo pada 1 Mac ialah ASP Zulkifli Mamat, 29; dan Sjn Sabarudin Daud, 46; manakala anggota yang gugur di Semporna pada 2 Mac ialah ACP Ibrahim Lebar, 52; Kpl Mohd Azrul Tukiran, 27; DSP Michael Padel, 36; Sjn Mejar Baharin Hamid, 49; Sjn Mejar Abdul Aziz Sakirun, 48; dan Sjn Salam Togiran, 42.
Perbarisan pada sambutan itu turut disertai oleh 93 anggota yang terlibat secara langsung dalam Operasi Daulat yang diterbangkan khas dari Sabah untuk sambutan Hari Polis itu. Kumpulan yang terdiri daripada 50 anggota dan 13 pegawai Komando VAT69 dan Jabatan Siasatan Jenayah itu mengenakan pakaian seragam lengkap semasa operasi di Lahad Datu dan Semporna, Sabah.
Bagi meneruskan perjuangan mereka di Sabah, Datuk Sri Najib telah mengumumkan penubuhan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) supaya kestabilan dan keselamatan di Sabah terus dipelihara. Yang mana menerusi inisiatif itu, kerajaan akan dapat memastikan proses pilihan raya yang adil dan bersih tidak digugat di kawasan terbabit.
Walaupun kadar jenayah telah menurun 27 peratus sejak tiga tahun kebelakangan ini, namun Perdana Menteri berpendapat masih banyak lagi yang perlu dilakukan bagi memastikan kadar jenayah itu terus menurun.
Turut menarik perhatian, ialah usaha yang dilakukan oleh pasukan PDRM yang telah melakukan pelbagai transformasi termasuk memperkenalkan perkhidmatan komuniti polis dengan tahap profesionalisme dan integriti yang tinggi.
"Sudah pasti pelbagai transformasi yang diperkenalkan itu tidak boleh membawa perubahan dalam sekelip mata, ia memerlukan masa serta fokus untuk melakukan penambahbaikan terhadap pasukan polis," katanya lagi dalam entri bertajuk 'Pasukan Polis Moden Yang Membanggakan Kita'.
No comments:
Post a Comment