Seperti ada sesuatu yang tidak kena, apabila banyak GLC (Syarikat
Milik Kerajaan / Goverment Link Company) mengambil pendirian untuk tidak
meletakkan iklan mereka dalam akhbar-akhbar arus perdana seperti Utusan
Malaysia, Berita Harian dan New Straits Times.
Malah Perdana Menteri sebelum ini juga pernah memberikan teguran
kepada semua agensi kerajaan, syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat
swasta terutama milik bumiputera agar mengiklankan lebih banyak dengan
akhbar-akhbar di bawah Kumpulan Utusan dan arus perdana berbahasa Melayu.
Menurut statistik yang diperoleh dianggarkan hanya 3.7 peratus
sahaja nilai iklan yang diberikan oleh 35 syarikat GLC utama kepada
akhbar-akhbar berbahasa Melayu. Sedangkan akhbar-akhbar berbahasa Melayu
khususnya Utusan Malaysia dan Berita Harian banyak membantu kerajaan dalam
memperjuangkan agenda bumiputera.
Berdasarkan kajian terbaharu AmResearch, perbelanjaan pengiklanan
(adex) untuk akhbar berbahasa Melayu merosot 1.8 peratus sehingga September
lalu, walaupun adex industri mencatat pertumbuhan sebanyak 3.7 peratus. Menurut
RHB Research pula, bagi September sahaja, adex akhbar berbahasa Melayu jatuh 26
peratus kepada RM116 juta berbanding RM154 juta untuk tempoh sama tahun lalu.
Ini berbeza dengan akhbar Cina dan Inggeris yang masing-masing
meningkat 8.9 peratus dan 7.2 peratus.
Maka amatlah wajar untuk syarikat-syarikat GLC menyokong
akhbar-akhbar tersebut bagi meneruskan perjuangan untuk menjayakan lagi Dasar
Pemerkasaan Ekonomi khususnya untuk orang Melayu dan Bumiputera. Malah
sekiranya kita rujuk petunjuk prestasi utama (KPI) kepimpinan GLC adalah untuk
memastikan pencapaian ekonomi bumiputera meningkat sejajar dengan hasrat
kerajaan untuk melahirkan sekurang-kurangnya 5,000 usahawan baharu pada setiap
tahun.
Adalah agak malang jika GLC tidak membantu memartabatkan
pengiklanan dalam akhbar Melayu, sedangkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib
Tun Razak sering melaungkan usaha untuk memperkasa ekonomi bumiputera
namun ia seolah-olah langsung tidak difahami dan ditaati oleh syarikat GLC.
Ramai peneraju GLC seperti sudah hilang jati diri dan lupa hakikat
kewujudan GLC itu sendiri. Mereka menyerahkan penentuan iklan misalnya kepada
pihak industri terutama agensi yang banyak dikawal oleh ekspatriat, golongan
rasis dan liberal yang tidak bertunjangkan perlembagaan.
Alasan yang selalu diberi oleh pihak industri adalah atas
pertimbangan komersial semata-mata, yang sebenarnya terdedah kepada manipulasi.
Persoalannya, bagaimana kita mahu menyandarkan masa depan kedaulatan Bahasa
Kebangsaan kepada ekspatriat dan golongan tersebut?
Dalam satu sesi perbincangan, Persatuan Pengguna Islam Malaysia
(PPIM) turut mempersoalkan beberapa bank dan syarikat telekomunikasi di bawah
GLC yang kurang mengiklankan produk mereka dalam akhbar Bahasa Kebangsaan.
Antara nama yang disentuh adalah Celcom, CIMB dan Petronas. CIMB
misalnya, walaupun majoriti pengguna adalah Melayu tetapi lebih ghairah mengiklan
untuk akhbar Inggeris dari bahasa ibunda.
Sedangkan sekiranya difikirkan secara rasional, pengiklanan adalah
merupakan kaedah serampang dua mata dan merupakan tanggungjawab mereka sebagai
warga negara kerana Perlembagaan negara meletakkan bahasa Malaysia sebagai
bahasa kebangsaan untuk semua rakyat. Malah dari segi logiknya bahasa
kebangsaan adalah bahasa yang digunakan sebagai bahasa penyatuan untuk semua
kaum di negara ini.
Sebelum ini, beberapa NGO, golongan akademik dan orang perorangan
pernah mencadangkan kepada kerajaan agar mewujudkan Dasar Pengiklanan Negara
(DPN) yang bermatlamat untuk mengawal industri iklan, menangani lambakan iklan
asing dan mendaulatkan bahasa kebangsaan.
Selain itu satu garis panduan khusus juga perlu ditetapkan melalui
DPN agar mewajibkan 60 peratus iklan semua syarikat GLC diberikan kepada akhbar
berbahasa Melayu khususnya Utusan Melayu.
Ini kerana, sekiranya akhbar-akhbar berbahasa Melayu terkubur,
tiadalah lagi pihak yang berani mempertahan Perlembagaan dan memperjuangkan
hak-hak orang Melayu dan Bumiputera. Sekaligus menyebabkan semakin ramai
anak-anak muda hilang jati dirinya.
No comments:
Post a Comment