Showing posts with label berung biru. Show all posts
Showing posts with label berung biru. Show all posts

Wednesday, May 8, 2013

MB Selangor : PAS Ugut Keluar PR Jika Wakilnya Tidak Dilantik!


Siapa yang akan mengambil alih jawatan Menteri Besar Selangor sehingga kini terus menjadi tanda tanya lebih-lebih lagi selepas Pengerusi PR Selangor, Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan keputusan muktamad mengenai perkara itu hanya akan diketahui dalam tempoh seminggu.

Kenyataan bekas MB Selangor itu memberi satu makna jelas mengenai ketidaksepakatan yang sedang dihadapi PR tika ini dalam menentukan calon yang sesuai untuk jawatan MB selain mengesahkan berlakunya perebutan jawatan itu sesama rakan sepakatan.

Tika ini perebutan jawatan itu berkisar antara PKR sesama PKR melibatkan Khalid dan Azmin Ali, di masa yang sama PAS pula menuntut hak ke atas jawatan MB berasaskan kelebihan yang mereka miliki berbanding PKR.

Dari segi kedudukan, Khalid kelihatan mempunyai peluang untuk mengekalkan jawatan tersebut sekiranya mendapat sokongan Azmin, bagaimana pun realiti yang berlaku tidak semudah itu kerana Azmin juga agak kemaruk untuk merasai keempukan kerusi MB Selangor.

Dalam PRU-13 yang baru berlalu, PR berjaya meraih kemenangan di 44 kerusi DUN dari 56 yang dipertandingkan di mana 15 dimenangi oleh PAS, diikuti DAP 15 sementara PKR pula hanya berjaya mempertahankan 14 kerusi DUN. Manakala BN pula hanya menang di 12 kerusi DUN.

Dari konteks ini jelas sekali, jawatan MB lebih layak disandang oleh pemimpin PAS. Tambahan pula PAS mempunyai kelebihan tersendiri kerana semua 15 wakilnya adalah Melayu Islam berbanding PKR yang hanya 9 orang sahaja terdiri dari pemimpin Melayu Islam.

Pun begitu, DAP selaku regu utama PKR tentu sahaja tidak akan membiarkan jawatan MB jatuh ke tangan PAS kecualilah terdapat seorang calon dari PAS yang mudah dicucuk hidungnya sama seperti bekas MB Perak, Nizar Jalamaluddin barulah mereka akan menerimanya dan memberi sokongan padu. 

Berikutan polemik yang berlaku, sudah ada ura-ura di kalangan pemimpin PAS Selangor mengugut untuk menarik diri dari PR seandainya wakilnya tidak dilantik sebagai MB. Jika itu menjadi kenyataan, maka baik Khalid mahu pun Azmin Ali akan gigit jari sendiri.

Menyedari keributan yang berlaku mungkin memudaratkan PR maka Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali segera memberi jaminan PAS tidak akan menuntut jawatan tersebut dari PKR meskipun di masa yang sama gerakan sulit untuk memastikan jawatan MB dimiliki wakil PAS terus berjalan.

Apa yang pasti, keributan yang berlaku di Selangor sekarang ini tidak hanya akan menguji sejauh mana kesepakatan PR, ia juga akan menjadi tanda aras untuk PAS Selangor dalam menonjolkan kepentingan mereka dalam menentukan percaturan politik negeri terkaya di Malaysia ini.

Negara Asing Iktiraf Kemenangan BN


Kejayaan BN mengekalkan penguasaannya di peringkat Pusat dalam PRU-13 yang baru berlangsung 5 Mei 2013 lepas ternyata mendapat pengiktirafan ramai termasuklah diperakui negara-negara luar serta jiran tetangga yang mengikuti perkembangan semasa dari dekat. 

Pemangku Timbalan Jurucakap di Jabatan Negara Amerika, Patrick Ventrell yang mewakili Amerika Syarikat misalnya selain mengucapkan tahniah di atas kejayaan BN, turut menyuarakan rasa puas hati dengan proses pengundian semasa PRU-13. 

Sementara itu, Singapura juga tidak ketinggalan mengutus ucapan tahniah melalui Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong. Beliau juga turut menyatakan kesediaan untuk meneruskan kerjasama dan memperkukuhkan lagi hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Seperti diketahui umum, Amerika Syarikat dan Singapura mempunyai hubungan cukup akrab dengan beberapa pemimpin pembangkang di negara ini, bila mana mereka mengiktiraf kejayaan BN itu tandanya mereka akhirnya akur gerakan pembangkang di ketuai Anwar Ibrahim telah gagal sama sekali.

Turut serta mengucapkan tahniah ialah Perdana Menteri United Kingdom iaitu David Cameron, Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra dan John Key dari New Zealand. Kemudian disusuli pula oleh Perdana Menteri Australia, Julia Gillard yang menghubungi Dato' Seri Najib Tun Razak melalui telefon untuk menyampaikan ucapan tahniahnya. 

Mereka juga sepakat meminta semua pihak menerima keputusan PRU-13 dan menghormati keputusan pengundi sekali gus pengiktirafan itu menolak tohmahan Ketua Umum PKR yang mempertikaikan proses pilihan raya yang didakwanya tidak telus.

Manakala dari Asia Barat, Putera Mahkota Abu Dhabi, Jen Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan mendahului negara lain di rantau itu mengutus ucapan tahniah kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak.

Semua ini menunjukkan kejayaan BN dalam PRU-13 yang baru berlalu menepati standard demokrasi dan segala dakwa-dakwi konon wujudnya penyelewengan atau ketidaktelusan hanyalah luahan kekecewaan pihak tertentu yang gagal menerima hakikat yang mereka tidak layak memerintah negara ini.

Tapi dalam pada pakatan pembangkang, PR sibuk mahu berhimpun sana sini untuk membantah keputusan PRU-13, sempat pula mereka meraikan kemenangan mereka di beberapa buah negeri sambil mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar dan Ketua Menteri seperti yang berlaku di Kelantan dan Pulau Pinang. Tak malukah?

Tuesday, March 26, 2013

THE CORRIDORS OF POWER: Kisah Sebenar Di Sebalik Insiden #LahadDatu


- Raja Petra Kamarudin

Saya menulis berkenaan perkara ini lapan tahun yang lepas pada 2005. Namun mungkin ramai antara anda masih belum lagi membaca Malaysia Today pada tahun 2005 jadi terlepas untuk membaca apa yang saya tulis.

Sesiapa yang masih mengingati apa yang saya tulis, ceritanya agak panjang namun secara asasnya berkisar tentang hubungan antara pemimpin Islam dalam Kerajaan Malaysia dan juga pemimpin Islam di Filipina serta peranan yang dimainkan Malaysia berhubung “hal ehwal dalaman” Filipina.

Kebanyakan orang Malaysia tidak dapat memahami perbezaan antara Sulu, MNLF, MILF dan Abu Sayyaf—seperti mereka yang tidak mengerti perbezaan antara PLO dan Hamas. Walaubagaimanapun, izinkan saya merumuskan bahawa mereka ini adalah serpihan ataupun seteru kumpulan orang Islam di Filipina yang menuntut kemerdekaan, sama seperti orang Palestin di Timur Tengah.

Malaysia sebagai sebuah negara Islam, bersimpati dengan orang Islam di Filipina—sama seperti orang Islam di Selatan Thailand—dan kita telah banyak membantu dalam apa cara bagi menyelesaikan isu di Filipina dan Selatan Thailand.

Sepanjang jalan, bagaimanapun, sesuatu yang buruk telah berlaku. Seperti yang telah saya tulis pada tahun 2005, ada janji yang tidak dipenuhi. Dan ini ada kaitan dengan 'isu IC' Sabah (anda tidak perlu RCI untuk saya beritahu anda). Dan yang menyebabkan krisis tebusan Sipadan dan penglibatan Libya dalam menyelesaikan krisis selepas berbulan menemui jalan buntu.

Dilaporkan sejumlah RM50 juta bertukar tangan untuk mendapatkan pembebasan tebusan, kos yang ditanggung oleh Libya. Sudah tentu, tiada siapa yang akan mengaku hakikat ini walaupun mereka sendiri tidak akan dapat untuk menjelaskan bagaimana dan mengapa tebusan tersebut akhirnya dibebaskan.

Tetapi semua itu berlaku beberapa dekad yang lalu. Kita bercakap tentang permulaan krisis pada tahun 1970, apabila ramai daripada anda masih belum dilahirkan lagi, dan krisis tebusan 30 tahun kemudian pada tahun 2000. Sejak itu segala-galanya telah menjadi sangat tenang – sehinggalah  tahun lepas apabila keseluruhan perkara ini telah dibangkitkan dalam persediaan untuk pilihanraya umum akan datang.

Ini apa yang berlaku baru-baru ini.

Pada 16 Julai 2012, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah terbang ke Jakarta untuk bertemu dengan Nur Misuari yang sangat rapat dengan Anwar sejak Anwar berada dalam kerajaan, dan komander tentera MNLF. Mesyuarat tersebut telah diadakan di Hotel Crowne Plaza Jakarta dan telah diatur oleh Ahli Parlimen Indonesia, seorang lagi kawan rapat Anwar, dibawah arahan Anwar sendiri.

Mesyuarat kedua telah diadakan di Manila pada 4 Ogos 2012 untuk memuktamadkan dan menandatangani perjanjian. Anwar terbang ke Manila dengan penerbangan MH 704, dan jika anda semak butiran penerbangan, anda dapat mengesahkan perkara ini, dan beliau juga telah ke Jakarta hanya dua minggu sebelum itu.

Dalam mesyuarat itu, Anwar memberitahu Misuari bahawa dia memerlukan bantuan untuk memenangi pilihanraya umum akan datang. Pakatan Rakyat yakin memenangi sekurang-kurangnya 82-85 daripada 165 kerusi di Semenanjung Malaysia. Beliau tidak yakin dengan 57 kerusi di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Pakatan Rakyat perlu menang sekurang-kurangnya 30 daripada 57 kerusi di Malaysia Timur untuk membentuk kerajaan persekutuan dengan majoriti yang cukup tipis tetapi selesa. (Anwar boleh meningkatkan majoriti ini kemudian dengan membawa ahli-ahli parlimen Barisan Nasional untuk beralih arah apabila mereka membentuk kerajaan). Untuk ini berlaku, Anwar memerlukan sokongan umat Islam di Malaysia Timur, khususnya di Sabah, ramai daripada mereka adalah orang Islam Filipina dengan kewarganegaraan Malaysia dan hak mengundi.

Anwar berjanji kepada Misuari bahawa sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak akan diberi autonomi, seperti yang telah mereka perjuangkan selama lebih 42 tahun sejak tahun 1970. Kedua-dua negeri di Malaysia Timur juga akan diberikan royalti minyak 20%, peningkatan sebanyak 15% daripada kadar semasa 5%. Ini akan memastikan bahawa kedua-dua negeri ini akan menjadi sangat kaya - dianggarkan RM4 bilion setahun bagi setiap negeri.

Tambahan pula, semua rakyat Filipina yang bukan warganegara Malaysia di Malaysia Timur akan diberi kewarganegaraan, atau sekurang-kurangya status pemastautin tetap yang sangat minimum, supaya mereka boleh mencari pekerjaan di Sabah. Pekerjaan untuk mereka juga akan dijamin.

Nur Misuari bersetuju dengan terma-terma tersebut dan kemudiannya melantik Haji Ibrahim Omar sebagai penyelaras MNLF atau 'duta tidak rasmi' ke Sabah untuk membantu Anwar meraih sokongan umat Islam Filipina di negeri itu.

Dan itulah sebabnya kerajaan Malaysia teragak-agak untuk mengambil tindakan drastik apabila krisis Lahad Datu mula menjelma. Pihak Kerajaan tahu ada sesuatu di sebalik insiden tersebut dan pada masa itu masih belum jelas kaitannya secara total.

Kerajaan tidak boleh membiarkan perkara tersebut berlalu begitu sahaja. Mengambil tindakan ketenteraan hanya akan memberikan kelebihan kepada pihak pengkomplot dan meyakinkan pihak orang Islam Filipina di Sabah agar bangkit menyokong Anwar bagi mendapatkan autonomi dari pihak Kerajaan Persekutuan.

Ya, kejadian di Lahad Datu adalah satu 'wayang', seperti yang dicanangkan oleh pembangkang. Tidak ramai yang akan berani untuk menyangkal perkara ini. Ramai rakyat Malaysia juga yakin bahawa terdapat 'dalang' di sebalik kejadian ini. Apa yang mereka tidak tahu ialah: Siapa dalang tersebut?  Malaysia Today telah mendedahkan cerita ini dan saya mencabar kerajaan Malaysia untuk menafikan kesahihan apa yang saya baru dedahkan.


Satu lagi perkara yang perlu dipertimbangkan ialah samada 'perang mulut' antara MNLF dan MILF juga satu “wayang”. Dengan mencanangkan konflik ini, proses damai akan hancur berkecai dan ini memberi mereka alasan untuk meneruskan konflik bersenjata. Walaubagaimanapun, hubungan antara MNLF dan serpihan kumpulan lain tidaklah bergejolak seperti apa yang ia pamerkan di sebalik tabir, jika gambar di atas dijadikan kayu ukurannya.
Kesimpulannya, memang wujud banyak plot dan sub-plot dalam perkara ini, yang mana akhirnya kita sendiri tidak mengetahui siapa yang mempermainkan siapa.


Monday, March 18, 2013

'Keanehan' dan kepincangan politik PKR


PARTI Keadilan Rakyat (PKR) sememangnya sebuah parti yang 'aneh'. Ia ditubuhkan bukan atas dasar perjuangan tetapi lahir berikutan perasaan tidak puas hati, marah dan kebencian berikutan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kerajaan dan UMNO pada tahun 1998.

Sejak tarikh berkenaan arena politik negara tidak lagi tertumpu kepada DAP atau Pas, biar pun kedua-dua parti itu jauh lebih berusia.

Percaturan politik pembangkang lebih berkisar kepada apa yang dirancang oleh PKR manakala DAP dan Pas akan bersetuju sahaja memandangkan mereka mempunyai hasrat yang sama iaitu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan meletakkan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Ketika DAP dan Pas dilihat menjalin kerjasama yang cukup aneh berikutan perbezaan ideologi antara mereka, perjalanan politik PKR pula cukup 'aneh' tetapi penuh kepincangan. Berikut penulis paparkan antara 'keanehan' dan kepincangan tersebut:

Paling berkuasa bukan Presiden

l Semua orang tahu biar pun Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail adalah Presiden namun beliau seolah-olah tidak ada apa-apa kuasa.

Segala-galanya diuruskan oleh suaminya, Anwar. Apa juga isu berkaitan PKR amat sukar sekali kita hendak mendengar Wan Azizah memberikan ulasan atau membuat kenyataan. Beliau hanya tampil jika ada isu melibatkan suaminya.

Berikutan itu, orang ramai tidak pernah melihat Wan Azizah mempunyai apa-apa kekuatan atau kelebihan. Apa yang mereka tahu, Wan Azizah hanya sekadar Presiden dalam catatan sebuah organisasi dan pernah melakukan pengorbanan terbesar dalam karier politiknya apabila meletakkan jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh bagi memberi laluan kepada suaminya bertanding.

Sikap Wan Azizah inilah yang memungkinkan muncul desakan supaya beliau mengundur diri secara terhormat.

Berjaya menanam politik kebencian

l Ini boleh dianggap kejayaan terbesar bagi PKR kerana pemimpin-pemimpin mampu memainkan peranan untuk menanam kebencian rakyat kepada kerajaan BN.

Apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan BN diperlekeh dan dipersendakan. Tidak pernah sekali pun kita mendengar PKR memuji usaha-usaha kerajaan BN. Sebaliknya, apa kita sering dengar setiap usaha itu akan diperlekehkan dan kononnya mereka boleh melakukan lebih baik lagi.

Lebih hebat mereka juga sering mendakwa apa yang dilakukan oleh BN menciplak idea mereka.

Parti pertama di Malaysia tiga beranak memegang jawatan penting dalam parti

l Ini juga satu keunikan, selain si bapa, Anwar menjadi Penasihat, si ibu, Wan Azizah menjadi Presiden, si anak pula, Nurul Izzah menjadi Naib Presiden. Jika keadaan ini berlaku dalam UMNO sudah pasti, parti itu akan diserang habis-habisan oleh pembangkang atas alasan mengamalkan nepotisme dan kronisme.

Masih kekal berpolitik, biar pun dikaitkan dengan kontroversi

l Walaupun isu melibatkan pemimpinnya mencetuskan polemik ada antara melibatkan soal moral. Namun pemimpin-pemimpin PKR bijak mempertahankan diri. Mereka begitu tegas menyatakan tidak bersalah dan apa yang berlaku ke atas mereka adalah konspirasi dan fitnah UMNO serta media arus perdana.

Berjaya mempengaruhi Pas untuk menjadi 'pak turut'

l Inilah kehebatan PKR. Biar pun Pas ditubuhkan sejak 1951 dan mempunyai rekod politik yang agak hebat namun parti yang suatu ketika memperjuangkan negara Islam itu 'tunduk' kepada pengaruh politik PKR.

Pemimpin-pemimpin PKR berjaya mempengaruhi pemimpin-pemimpin Pas termasuk dalam kalangan ulama untuk mengikut rentak politik mereka sehingga Pas dilihat sanggup mengorbankan hatta prinsip perjuangannya semata-mata termakan janji berkuasa bersama PKR dan DAP.

Malahan PKR juga berjaya memainkan peranan sehingga memungkinkan Pas yang suatu ketika dahulu menuduh UMNO kafir kerana bekerjasama dengan MCA dan MIC, bersedia berpeluk erat dengan DAP.

Walaupun pemimpin-pemimpin DAP secara tegas menolak perjuangan negara Islam dan hukum hudud, namun PKR mampu memujuk Pas untuk bertolak-ansur dalam soal itu. Akhirnya Pas mengorbankan perjuangan negara Islam dan mengubah kepada negara berkebajikan.

Paling ramai pemimpin kanan keluar

l PKR juga mencatatkan sejarah sebagai sebuah parti yang paling ramai pemimpin-pemimpin kanannya keluar parti.

Pemimpin-pemimpin bukan ahli biasa tetapi sebahagian besar adalah kelompok yang bertanggungjawab memperjuangkan Anwar dan menubuhkan PKR.

Mereka ini juga bersedia menentang habis-habisan kerajaan BN dan UMNO suatu ketika dulu semata-mata untuk mencapai matlamat politik PKR.

Namun akhirnya dari semasa ke semasa, bukan kata pemimpin malahan wakil rakyat PKR juga turut meninggalkan parti itu selepas mendapati pelbagai kepincangan dalam parti berkenaan.

Mengajar rakyat demonstrasi jalanan

l Sebelum tahun 1998, demonstrasi jalanan adalah sesuatu yang asing bagi rakyat Malaysia. Bagaimanapun bermula pada tahun tersebut, demonstrasi jalanan seolah-olah menjadi 'senjata' baru kepada pembangkang yang diketuai oleh PKR.

Dari semasa ke semasa sehinggalah ke hari ini, pembangkang menjadikan pendekatan itu untuk membuat tuntutan mereka. Apa yang anehnya, DAP dan Pas berjaya dipengaruhi oleh PKR untuk turut serta biar pun mereka mengetahui kesan buruknya.

Kerajaan negeri pertama disaman kerana tak tunai janji

l Kerajaan di bawah pimpinan PKR di Selangor menjadi kerajaan negeri pertama di negara ini yang disaman kerana tidak menunaikan janji dalam manifesto pilihan raya.

Keadaan ini berlaku kerana PKR sememangnya parti yang pandai menabur janji. Inilah yang memungkinkan mereka meraih kemenangan agak besar dalam pilihan raya umum lalu. Namun begitu apabila kejayaan sudah dicapai segala-galanya janji hanya tinggal janji.

Pandai bercakap tetapi tiada pengetahuan

l Satu 'kehebatan' pemimpin-pemimpin PKR ialah mahu mempolitikkan segala-galanya. Ia termasuklah juga dalam soal keselamatan negara. Ada pemimpinnya yang tidak ada pengetahuan mahu memberi ulasan, ia akhirnya mendedahkan betapa ceteknya pemikiran beliau dalam sesuatu perkara.

Begitu juga apabila mudah membuat tuduhan dan tohmahan tanpa disertakan dengan bukti kerana apa yang penting ialah memburukkan kerajaan BN.

Demikian beberapa catatan mengenai 'keanehan' politik penuh kepincangan PKR. Namun begitu seperti mana kata penganalisis politik, Ahmad Masrizal Muhammad, PKR tidak akan bertahan lama.

Katanya, PKR bukanlah sebuah parti yang ditubuhkan atas dasar perjuangan atau bergantung kepada 'grass root' tetapi individu.

''Mereka perlu akui, PKR bergantung kepada Anwar, kalau Anwar tumbang maka berakhirlah riwayat politik PKR.

''Berbanding tahun 2008, kedudukan Anwar kini semakin tergugat. Beliau semakin ditolak oleh rakyat berikutan pelbagai isu yang melumuri diri beliau,'' katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur.

Menurut Ahmad Masrizal, pemimpin-pemimpin pembangkang lain amat mengetahui keadaan itu sebab itulah tiada kesepakatan siapa yang bakal menjadi Perana Menteri jika pembangkang menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Apa pun keadaannya adalah jelas, PKR semakin terhakis kehebatan politik putar belitnya. Dari semasa ke semasa kepincangan parti itu semakin terdedah dan inilah akibatnya apabila sebuah parti ditubuhkan semata-mata mahu merebut kuasa

 - Utusan

Wednesday, March 13, 2013

Gaji Baru Tentera, Polis - Satu Tamparan Buat Pembangkang

Seaman manapun sesebuah negara, pasukan polis dan tentera wajib diberi keutamaan.  Ini kerana keamanan bukanlah terletak sepenuhnya ke atas bahu kepimpinan, tetapi separuh daripadanya adalah terletak pada elemen yang tidak mampu dijangka.  

Jenayah dan ancaman keganasan dari dalam dan luar negara bukan sesuatu yang boleh dianggarkan dari segi jumlah dan masa seperti menganggarkan pendapatan atau perbelanjaan negara.  Justeru, perancangan dan strategi keselamatan dan pertahanan hanya boleh dibuat dengan mengambilkira senario terburuk.  

Oleh yang demikian, pembelian senjata-senjata dan alat-alat canggih untuk pertahanan dan keselamatan tidak wajar dipersoalkan oleh mana-mana pihak.

Kita amat kesal apabila pembangkang sering menjadikan kos pembelian alatan dan senjata pertahanan serta keselamatan negara sebagai isu.  Malah, lebih dikesalkan lagi apabila mereka seolah-olah sengaja mengumpan agar kerajaan mendedahkan butir-butir terperinci maklumat pertahanan dan keselamatan.   Beberapa kenyataan mereka dilihat sebagai merbahayakan negara, terutama apabila mempersoalkan kegunaan dan membangkitkan mengenai kelemahan senjata atau alat pertahanan yang ada.

Tidak cukup dengan itu, pembangkang juga giat menghasut rakyat agar membenci pihak polis.  Setiap kes jenayah dilapor dan digembar-gemburkan manakala setiap kejayaan besar pihak polis dipandang sepi.  Dalam banyak kes, polis digambarkan sebagai jahat dan penjenayah dibela oleh pembangkang, terutama yang melibatkan ‘orang mereka’.

Sehinggakan apabila negara diceroboh dan kedaulatannya diancam, pembangkang masih terus membawa sikap memusuhi, memperlekeh dan menghina pasukan keselamatan dan pertahanan negara.  

Jika ini bukan satu pengkhianatan, maka apakah ia?  

Maka, kita tidak hairan apabila terdedahnya penglibatan pembangkang dengan pengganas yang menceroboh negara ini.

Bagaimanapun, kita wajar mengucapkan Alhamdulillah kerana ketika pembangkang mengguris dan meremukkan hati keluarga wira-wira kita yang terkorban di Lahad Datu dan Semporna, kerajaan Barisan Nasional bertindak pantas memberi pengiktirafan ke atas pengorbanan mereka.  Kenaikan pangkat diberi kepada yang pergi, bukan sahaja sebagai mengenang jasa tetapi juga bagi membolehkan balu-balu mereka menikmati imbuhan tambahan bagi menampung hidup tanpa ketua keluarga.

Lebih dari itu, kesemua pasukan tentera dan polis juga kini menikmati pelarasan gaji setara dengan penjawat awam yang lain sepertimana yang diumumkan Perdana Menteri hari ini.   Harapan kita agar keprihatinan Perdana Menteri ini membuatkan mereka tidak luntur semangat untuk terus menjaga keamanan negara demi kita semua.

Persetankan kata-kata penghinaan yang dilemparkan puak pembangkang, kerana yang hinanya adalah mereka, bukan pasukan polis dan tentera kita.  Buktinya, manusia yang paling kuat menghina polis iaitu Tian Chua, telah terpaksa ‘memakan najis sendiri’ apabila meminta bantuan polis untuk menyelamatkan diri dari dibelasah rakyat yang cintakan negara dalam satu program ceramahnya.  

Pembangkang kini menerima tamparan hebat apabila strategi jahat mereka memakan diri.  Rakyat kini melihat sendiri betapa murninya tugas mengawal keselamatan dan keamanan negara, yang mana bukan semua manusia mempunyai keberanian atau kemampuan untuk memikulnya.

Rakyat juga menggeleng-gelengkan kepala melihat betapa hinanya pembangkang Malaysia yang sanggup mengkhianati negara sendiri, memperjudikan nyawa rakyat termasuk penyokong sendiri, menyebabkan pasukan keselamatan negara terbunuh dan kemudiannya memperlekeh dan menghina kematian mereka pula…

Jika pembangkang bukan syaitan, maka apakah mereka?    

Tuesday, March 12, 2013

53 Mayat Tidak Wujud, Misuari!!?


ANWAR dan pencacainya dalam pakatan pembangkang bukan ikhlas sangat bila meminta setiap rakyat menyokong perjuangan pasukan keselamatan dalam menghadapi pencerobohan lanun-lanun Sulu di Lahad Datu, Sabah.

Maklum sajalah, ini kita cakap tentang undi pasti dari beratus ribu orang yang berkhidmat sebagai anggota tentera dan polis sekarang, hilang akal ke Anwar nak hentam anggota keselamatan secara terang-terangan?  Sebagai orang yang hanya beriman kepada undi dan jawatan Perdana Menteri, apa pun tindakan Anwar perlulah berpandukan kepada mood rakyat, kalau rakyat nampak menyokong, Anwar tak akan cukup gila untuk membangkang.

Ini sikap Anwar yang sebenarnya kalau ada orang tak tahu.

Tapi kalau disokong pulak, dilemanya rakyat akan bersatu dan mengundi BN.  Sebagai bekas pemimpin UMNO dan bekas Timbalan Perdana Menteri, ada banyak peristiwa lalu yang Anwar boleh rujuk, antaranya peristiwa 13 Mei 1969 bila mana rakyat yang bersatu selepas insiden tersebut, membawa kepada kemenangan BN antara yang terbesar dan paling selesa dalam pilihanraya umum 1974,

Ini yang paling Anwar bimbang sekali.  Sebab itu anjing-anjing Anwar macam Tian Chua, Khalid Samad dan CheguBard diarah untuk hentam pasukan keselamatan tapi dengan beralaskan kecaman terhadap kerajaan BN. 

Kononnya kerajaan BN gagal mengawal keadaan di Sabah sejak pencerobohan bermula, walaupun kita semua tahu yang mengawal situasi keselamatan di Sabah (selepas semua proses rundingan tamat) ialah pasukan keselamatan yang menjawab kepada DYMM Yang Dipertuan Agung sebagai pemerintah tertinggi, dengan kerajaan BN sebagai regulatornya sahaja.

Antara 3 nama itu, paling menjengkelkan sudah tentulah Tian Chua, tapi CheguBard juga tidak kurang sialnya.


Manakan tidak, CheguBard dalam akaun Facebooknya beberapa hari lepas, dengan sengaja telah menggunakan pembohongan dari akaun Facebook pemimpin MNLF, Nur Misuari (yang mendakwa kematian 53 orang lanun Sulu di Sabah adalah satu pembohongan oleh kerajaan), dengan niat untuk menghasut rakyat Malaysia supaya hilang keyakinan terhadap keupayaan pasukan keselamatan menghapuskan ancaman lanun-lanun tersebut. 

Tapi jelas kelihatan, cubaan halus CheguBard itu ditolak sepenuhnya oleh rakan Facebooknya sendiri yang tidak segan silu menempelak bekas guru tersebut sebagai tidak patriotik dan hanya menjatuhkan maruah bekas-bekas guru yang lain kerana keterlaluan mempolitikkan perkara sensitif yang tidak perlu dipolitikkan.  Dikala ada rakyat Malaysia di Sabah yang terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing untuk menyelamatkan diri dan keluarga, CheguBard lebih berminat bersekongkol dengan Nur Misuari dengan menyebarkan maklumat tidak berasas.

Untuk menambah perit kepada masa depan politik CheguBard, kerajaan hari ni membenarkan pihak media untuk mengambil gambar mayat 22 lanun Sulu yang ditembak mati anggota pasukan keselamatan sebelum ini.  Mayat-mayat itu hanya berjaya dibawa keluar semalam (Ahad) selepas pasukan keselamatan berjaya memasuki lokasi tempat mayat-mayat itu berada.
Ia ibarat malang berganda untuk CheguBard,  Tapi seperti biasa, najis berat seperti dia ini bukan berminat kepada kebenaran, sebaliknya bagaimana nak memutar belit keadaan supaya rakyat tidak cenderung keterlaluan menyokong kejayaan pasukan keselamatan dan seterusnya memberi potensi yang amat cerah untuk BN menang.

Rakyat perlu ingat, inilah orangnya yang bermimpi besar untuk membentuk kerajaan di peringkat persekutuan.  Rakyat perlu tolak orang seperti ini dan menunjukkan kepada mereka pintu keluar dalam pilihanraya umum akan datang.  Golongan keparat seperti ini perlu diingatkan batas-batas dalam berpolitik, jangan sampai melepasi sempadan yang ditetapkan.

Thursday, October 18, 2012

Mungkinkah Teng Chang Khim Bakal Menjatuhkan Dinasti Lim

Dinasti Lim yang menerajui DAP untuk sekian lama kini mungkin akan berhadapan dengan cabaran dalam Kongres National Parti tersebut yang dijangka diadakan di pertengahan Disember 2012.  Jika DAP gemar mengingatkan BN tenang perubahan minda rakyat, maka mereka seharusnya bersedia untuk menghadapi perkara yang sama di dalam parti sendiri.  

Justeru, mahu tidak mahu Dinasti yang telah lama berkuasa ini terpaksa menerima hakikat bahawa zaman telah berubah dan ahli-ahli DAP telah melalui proses perubahan minda. 

Hari ini, kepimpinan cara kuku besi atau mengilas tangan secara halus tidak lagi mampu menjamin kekuasaan yang berterusan. 

Antara yang dijangka mencabar Lim Guan Eng untuk jawatan Setiauasaha Agung parti ialah Teng Chang Khim iaitu speaker DUN Selangor dan juga Ahli Jawatankuasa parti. 

Bukan rahsia lagi bahawa Teng Chang Khim adalah antara individu yang berani menentang arahan ataupun mempersoalkan tindakan pemimpin tertinggi parti itu.   Beliau dikatakan membawa suara akar umbi yang semakin meragui Dinasti Lim dan pemimpin-pemimpin atasan DAP yang dilihat sebagai semakin kehilangan ‘melampau’ sejurus berjaya merampas Pulau Pinang dari BN.

Bukan sahaja sikap angkuh pemimpin atasan yang menjadi rungutan akar umbi tetapi juga ketelusan dan kecekapan mereka mula menjadi tandatanya.   Segala kelemahan mereka kini terdedah luas apabila mendapat berkuasa, sedangkan sebelum ini mereka hanya pandai mengkritik dan menghentam orang lain sahaja. 

Sumber dalaman memberitahu bahawa pengaruh Chang Khim agak hebat juga.  Tambahan pula, kebencian akar umbi terhadap Lim Guan Eng semakin meningkat sehingga mampu menggugat kesetiaan mereka kepada parti.  Kebanyaan ahli merasa gusar sekiranya Pakatan Rakyat menang, dan Dinasti Lim terus menjadi peneraju parti maka pastinya, kuasa yang lebih akan meningkatkan lagi keangkuhan mereka sekali gus menjadikan mereka semakin sukar untuk dijatuhkan.  

Perkembangan ini cukup disedari oleh Lim anak beranak dan mereka juga dikatakan giat mengatur langkah untuk menyelamatkan diri.  Namun, dari apa yang dikhabarkan, kemungkinan besar mereka tidak akan mampu melawan kebangkitan akar umbi kerana enggan menerima teguran dan sukar untuk menukar sikap angkuh yang telah sebati dalam keluarga mereka. 

Justeru, tidak mustahil Kongress DAP kali ini akan menjadi titik awal kejatuhan Dinasti Lim.  Mungkin ini kedengarannya agak mustahil, tetapi semakin mustahil ia kedengaran, semakin jelaslah bahawa segala tuduhan kuku besi dan angkuh terhadap keluarga itu adalah benar belaka. 

Dan apabila semakin jelas keburukan keluarga tersebut dapat dilihat oleh akar umbi, semakin tidak mustahil yang mereka akan berjaya dijatuhkan juga akhirnya dalam Kongres kali ini.