Tanda-Tanda Seseorang Terkena Sihir
1. Terhalang untuk mengingati Allah dan untuk beribadat
Disebut dalam Surah Al-Maaidah ayat 91 yang maksudnya:
[91] Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?
2. Dadanya terasa sesak dan hatinya terasa keras
Allah berfirman dalam Surah Al-An'aam, ayat 43 yang maksudnya:
[43] Maka alangkah eloknya kalau mereka berdoa kepada Kami dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat) ketika mereka ditimpa azab Kami? Tetapi yang sebenarnya hati mereka keras (tidak mahu menerima kebenaran), dan Syaitan pula memperelokkan pada (pandangan) mereka apa yang mereka telah lakukan.
3. Membenci dan memusuhi orang di sekelilingnya.
Di dalam Surah Al-Maaidah ayat 91, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
[91] Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?
4. Sering lupa
Syaitan sentiasa berusaha untuk menjadikan kita lupa terhadap sesuatu kebaikan. Di dalam Surah Yusuf ayat 42, Allah SWT berfirman yang maksudnya:
[42] Dan berkatalah Yusuf kepada orang yang ia percaya akan terselamat di antara mereka berdua: "Sebutkanlah perihalku kepada tuanmu". (Setelah orang itu dibebaskan dari penjara) maka ia dilupakan oleh syaitan untuk menyebutkan (hal Yusuf) kepada tuannya. Dengan sebab itu tinggalah Yusuf dalam penjara beberapa tahun.
5. Selesa menyendiri
Syaitan selalu menyenangi perpecahan. Umar bin Al-Khathab RA mengatakan, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya;
"Barangsiapa di antara kalian yang ingin mendapatkan wangi syurga, maka hendaklah ia selalu bersama jemaah, kerana sesungguhnya syaitan senang bersama orang yang sendirian dan ia akan lebih menjauh dari dua orang." (Hadith Riwayat Ahmad dan At-Tirmidzi)
6. Merasa tertekan atau wujud gangguan jiwa.
Syaitan juga membuat seseorang yang telah dirasukinya merasa tertekan. Hatinya selalu merasakan keraguan di dalam ibadatnya, kepercayaannya terhadap Allah, hilang keyakinan diri, kecewa dengan kehidupannya dan lain-lain lagi. Dalam Surah Al-An'am ayat 71, Allah SAW berfirman maksudnya:
[71] Katakanlah: "Patutkah kita menyeru serta menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak dapat memberi manfaat kepada kita dan tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kita; dan (patutkah) kita dikembalikan undur ke belakang (menjadi kafir musyrik) setelah kita diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan ugama Islam), seperti orang yang telah disesatkan oleh Syaitan-syaitan di bumi (di tempat yang lengang) dalam keadaan bingung, sedang ia pula mempunyai sahabat-sahabat yang mengajaknya ke jalan yang lurus (dengan berkata kepadanya): "Marilah bersama-sama kami. "Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah sebenar-benar petunjuk, dan kita diperintahkan supaya berserah diri kepada Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam".
7. Rasa takut yang luar biasa
Orang yang telah terpengaruh dengan syaitan selalu mempunyai rasa takut yang luar biasa. Mereka mudah merasakan ketakutan sehinggakan kadangkala mereka tidak tahu apa yang ditakuti itu. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Imran ayat 175 yang bermaksud:
[175] Sesungguhnya (pembawa berita) yang demikian itu ialah syaitan yang (bertujuan) menakut-nakutkan (kamu terhadap) pengikut-pengikutnya (kaum kafir musyrik). Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepadaKu (jangan cuaikan perintahKu), jika betul kamu orang-orang yang beriman.
Terdapat juga tanda-tanda kerasukan syaitan iaitu di waktu tidur. Antaranya ialah:
1. Gelisah ketika tidur di waktu malam
Syaitan bertebaran dan aktif di waktu malam. Orang yang dirasuki itu ingin berehat (tidur), sedangkan syaitan di dalam dirinya tidak mengingininya. Mereka yang dirasuki syaitan biasanya mudah terganggu dalam tidurnya, walaupun hanya kerana bunyi detikan jarum jam. Mereka sering terjaga daripada tidurnya di tengah malam hanya sekadar ingin minum atau membuang air kecil.
2. Mimpi buruk
Pada umumnya, orang yang telah dirasuki akan melihat di dalam mimpinya seokor anjing, ular, kalajengking, kucing dan lain-lain yang biasanya berwarna hitam, atau seakan-akan berjalan di perkuburan, tempat yang menakutkan, berada di tempat yang tinggi seperti akan terjatuh. Manakala mereka yang telah dirasuki jin yang mencintainya, akan selalu bermimpi seorang wanita yang tidak dikenali (bagi seorang lelaki, manakala ternampak seorang lelaki bagi mangsa yang seorang wanita).
Abu Qatadah RA mengatakan, maksudnya "Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda, "Mimpi yang baik adalah dari Allah. Sedangkan mimpi yang menakutkan berasa dari syaitan. Jika seseorang di antara kamu mendapat mimpi yang menakutkan, hendaklah ia meludah ke sebelah kirinya dan berlindunglah kepada Allah dari keburukannya, maka mimpi itu tidak akan membahayakannya"". (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
3. Mengeluh dalam tidur
Disebut juga di dalam kursus perubatan Islam, mereka yang telah dirasuki syaitan, kelihatan ketika tidurnya seperti sedang mengeluh keletihan.
Apa yang disebut adalah tanda-tanda umum bagi rasukan syaitan ke dalam hati manusia, manakala jika rasukan syaitan kerana sihir, tandanya adalah lebih banyak sesuai dengan jenis sihir itu. InsyaAllah ia akan disebut dalam artikel lain kemudian.
Apabila seseorang merasakan tanda-tanda ini, hendaklah beliau kembali mengingati Allah, cuba mencari semula titik keikhlasan dalam beribadat kepada-Nya dan sentiasa membentengi diri daripada kejahatan syaitan seperti yang telah disebut dalam artikel sebelum ini. Walau bagaimana pun, mungkin juga tanda-tanda yang disebutkan itu bukanlah kerana syaitan di dalam dirinya, tetapi adalah kerana suatu penyakit fizikal yang boleh dirawat oleh perubatan hospital dan psikologi.
Semoga kita sentiasa terlindung daripada kejahatan syaitan dan semoga Allah sentiasa memelihara hati kita daripada lalai mengingati-Nya.
KESAN GANGGUAN
Kesan gangguan jin dan sihir adalah banyak dan berbeza di antara pesakit-pesakit dan jenis-jenis gangguan. Kebanyakan sintom yang di beritahu oleh pesakit-pesakit kepada penulis adalah seperti:
1. Sakit anggota badan:
a. Sakit pada anggota badan tertentu seperti di tengkok, kepala, bahu, pinggang, tulang belakang. tulang belikat, sendi-sendi, tangan, kaki, rahim, dada, perut, tapak kaki dan sebagainya. Sakitnya seperti dicucuk jarum atau bisa atau pun lengoh, atau panas pijar seperti terkena lada. Kadang kala kepala terasa dicengkam dan leher terasa dicekik.
b. Sakit menyeluroh daripada dua hujung kaki hingga ke kepala, kadang-kadang sakit itu berpindah atau berjalan dari setempat ke setempat, contohnya hari ini sakit di bahagian kaki dan esoknya sakit di bahagian bahu dan lengan.
c. Sakit di bahagian kepala - bisa dan pening. Ada pesakit merasa macam keadaan mabuk dan tak stabil. Berdiri dengan keadaan tidak stabil seolah-olah mabuk laut.
d. Perut kembung tanpa sebab dan diikuti dengan sesak nafas. Sedawa yang berpanjangan tanpa sebab.
2. Gangguan emosi iaitu rasa resah dan gelisah yang berpanjangan, tidak senang duduk atau berdiri, semua yang dilakukan tidak menjadi, rasa malas dan letih badan. Dada rasa sebak, berdebar-debar, dan rasa sedih atau rasa marah saling berganti tanpa rasa sebab yang jelas. Dalam istilah perubatan "mood swing". Hati rasa tak tenang dan kadang kala berdebar tanpa sebab.
3. Gangguan pemikiran. Fikiran bercelaru dan berserabut dan tidak fokus atau tidak dapat menumpukan perhatian. Rasa hilang kawalan diri (lost self confidence) pada waktu-waktu tertentu seperti ketika mesyuarat, atau berada di hadapan orang ramai. Kadang-kadang pesakit akan merasa mengantuk yang berpanjangan walaupun sudah cukup tidur semalaman. Keadaan mengantuk ini akan menggangu pesakit terutama apabila pesakit hendak melakukan ibadah seperti solat, mangaji Al-Quran atau berzikir.
4. Perasaan cepat marah tanpa sebab yang jelas. Melihat orang lain dengan pandangan yang tidak menyenangkan, seolah-olah dunia ini di rasakan begitu sempit. Pesakit akan merasa semua orang memandangnya dengan pandangan buruk.
5. Pesakit rasa putus asa untuk hidup. Timbul rasa gelisah dan sedih berpanjangan. Tekanan jiwa yang berpanjangan mengakibatkan pesakit itu berada dalam "depression". Ada ketika timbul dorongan untuk membunuh diri.
6. Perasaan takut atau fobia (phobia) seperti tidak boleh berada di khalayak ramai, tidak boleh menaiki kenderaan seperti kapal terbang atau kereta, atau tidak boleh menaiki lif di banggunan tinggi, tidak boleh bersendirian di dalam rumah atau bilik, takut untuk bersemuka dengan sahabat atau sesiapa sahaja.
7. Gangguan tidur - tidur tak lena, mimpi-mimpi yang menakutkan dan cemas, terjaga tidur ditengah malam. Suatu ketika dahulu penulis pernah bertemu dengan seorang pesakit yang tidur pada siang hari dan hanya berjaga dari jam 12 malam hingga 6 pagi.
8. Gangguan ketika beribadah iaitu ketika solat, membaca Al-Quran atau berzikir. Pesakit-pesakit kadang kala langsung tidak dapat mengingati doa-doa atau ayat Al-Quran yang dihafal. Kadang-kala pesakit tidak boleh mendengar azan atau bacaan ayat-ayat Al-Quran, dan apabila mendengar ayat-ayat Al-Quran, badan pesakit merasa menggeletar dan timbul perasaan rasa pilu dan sedih.
9. Suka mengelamun dan mengurung diri dalam bilik, tidak peduli makan dan minum, pakaian dan kebersihan diri. Pesakit selalu bercakap besendirian atau kelihatan bercakap dengan seseorang. Pada masa tertentu pesakit akan menjadi agresif dan berkelakuan ganas. Tabiat asalnya berubah. Apabila ditanya sesuatu terutamanya berkenaan dirinya, ia kelihatan terperanjat, seolah-olah baru bangun dari tidur, atau pun baru sedar dari mengelamun. Ketika ini pesakit mungkin kelihatan kembali normal, tetapi kembali kepada keadaan asal tidal lama selepas itu atau selepas ditinggalkan bersendirian.
10. Terdengar suara memanggil nama atau memberi salam. Ternampak bayangan atau imbasan bentuk lembaga seketika sahaja.
11. Berlaku kejadian-kejadian ganjil seperti bunyi suis lampu dinyalakan, paip air dibuka, bunyi tingkap atau pintu rumah dibuka atau ditutup, bunyi orang berlari atau berjalan didalam rumah siang hari atau waktu malam, bunyi orang naik tangga rumah dan sebagainya. Penulis pernah diberitahu situasi dimana lampu bilek menyala dengan sendiri, pair mengeluarkan air dan tutup dengan sendiri, alat komputer dinyalakan dengan sendiri dan sebagainya. Penulis pernah pergi ke satu pejabat dimana lampu dan alat-alat mesin dan instrument di pejabat itu dinyalakan dengan sendiri dari bilek kawalan yang kosong.
12. Terhidu bau yang tidak tahu dari mana punca seperti bau sampah, bangkai, darah, bau kemenyan atau bau wangi. Bau ini hanya dapat dihidu oleh pesakit atau orang-orang tertentu sahaja.
13. Pesakit dirasuk. Di sini jin atau syaitan/iblis akan menguasai pemikiran dan diri pesakit atau jin itu akan meresap kedalam diri pesakit. Bila dirasuk, pesakit mengeluarkan suara yang lain daripada yang asal, dan berbicara dengan bahasa yang tidak diketahui oleh tuan punya badan. Pesakit akan jadi agresif dan melawan sesiapa yang ada didepannya. Apabila sedar, pesakit tidak tahu apa yang telah berlaku keatas dirinya. Pernah penulis berhadapan dengan seorang pesakit perempuan tua berumur tujuh puluhan apabila dirasuk, pesakit berbicara dengan bahasa Thai (Siam) dan kemudian bersilat ala Thai (tomoi).
14. Reaksi atau tindak balas anggota badan pesakit apabila terkena gangguan jin atau sihir atau apabila dirasuk. Di antara reaksinya ialah perjalanan darah menjadi lebih kencang atau menjadi tidak normal atau tekanan darah naik tanpa sebab, menggeletar kedua-dua belah tangan atau jari-jari, memejamkan mata bersangatan, menjerit atau menjadi marah, menangis, sayu, ketawa atau mengilai, mengadu sakit, menguap berulang kali, sendawa, atau mengeluarkan angin dari mulut seperti hendak muntah, terasa sesuatu yang berjalan didalam tubuh dan sakit bahagian perut atau rahim.
15. Gangguan jin dan sihir juga boleh melemahkan atau memerangsangkan gelora nafsu dan tenaga batin seseorang. Ramai dikalangan suami isteri yang dikenakan sihir atas tujuan meruntuhkan rumah tangga mereka. Kadang kala apabila gelora nafsu di rangsang oleh makhluk halus ini, menyebabkan seseorang itu terdorong melakukan kejahatan di luar ikhtiar diri, seperti berzina dan sebagainya.
16. Bayi kecil yang mengalami sawan tangis. Sakit sawan tangis ini berpunca dari gangguan makhluk halus yang menyebabkan sakit di bahagian perut bayi. Kebiasaannya bayi akan mengalami kembung perut (colic pain) dan sakit yang teramat sangat. Kebiasaannya selepas dirawati dengan mengeluarkan makhluk halus dari badan bayi tersebut, perut kembung akan pulih seperti sediakala.
17. Penderitaan dan halangan. Selain dari penderitaan fizikal tubuh badan seperti yang telah dijelaskan, gangguan jin dan sihir boleh menyebabkan pelbagai masalah di luar jangkaan, seperti perkerjaan atau perniagan yang tidak menjadi. Kedai makanan yang tidak dimasuki pelanggan, rasa benci atau tidak suka pergi ke tempat kerja, anak-anak yang rajin belajar tiba-tiba menjadi malas dan tak berminat untuk pergi bersekolah dan seterusnya berhenti bersekolah. Semua usaha mencari rezeki terhalang. Ketika hendak berkerja, ada sahaja yang menghalang. Fikiran rasa sempit dan binggung dan tidak tahu menjalankan tugas. Tidak disenangi oleh kawan-kawan di tempat kerja manakala pegawai atasannya sering mencari-cari kesalahan. Sihir juga boleh menyebabkan hidup terpulau, dibenci oleh keluarga, ipar duai, mertua, adik beradik dan suami isteri.
Larangan dan Suruhan bagi Memelihara Diri Daripada Kejahatan Syaitan
1. Mengambil berat tentang solat berjemaah
Mengambil berat tentang solat berjemaah akan menjadikan seseorang muslim bebas serta aman dari gangguan syaitan. Bersikap sambil lewa terhadap solat berjemaah menyebabkan syaitan akan mengambil peluang untuk mendampingi mereka. Apabila selalu berdampingan, lama-kelamaan ia akan berjaya merasuk, menyihir atau melakukan kejahatan lain.
Mengikut riwayat Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda, ertinya:
"Mana-mana kampung mahupun kawasan-kawasan hulu yang tidak mendirikan solat berjemaah meskipun penduduknya cuma tiga orang, nescaya akan didampingi oleh syaitan. Oleh itu hendaklah dirikan solat berjemaah. Sesungguhnya serigala akan memakan kambing-kambing yang menyendiri dari puaknya." (Riwayat Abu Dawud dengan sanad yang baik).
2. Menyebut nama Allah apabila masuk ke rumah dan apabila makan
Imam Muslim meriwayatkan di dalam Sahihnya, sebuah hadith dari Jabir bin Abdullah RA, beliau pernah mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda, maksudnya:
"Apabila seorang lelaki memasuki rumahnya, lalu dia menyebut nama Allah ketika masuk dan ketika makan, syaitan akan berkata kepada teman-temannya, 'Tidak ada tempat penginapan dan makan malam untuk kalian.' Jika dia memasuki rumahnya tanpa menyebut nama Allah, syaitan akan berkata (kepada saudara-saudaranya), 'Kalian boleh ikut menginap di dalamnya malam ini.' Dan ketika makan, dia tidak menyebut nama Allah, syaitan berkata, 'Kalian boleh ikut menyantap makan malam.'"
3. Membaca doa perlindungan apabila masuk ke tandas
Terdapat hadith daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata, apabila Nabi Muhammad SAW memasuki tandas, baginda mengucapkan:
"Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari jin kafir (syaitan) betina dan syaitan jantan." (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
4. Berwuduk sebelum tidur
Disebutkan sebuah hadith, bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada Bara` bin Azib RA, maksudnya:
"Apabila kamu hendak mendatangi tempat tidurmu, berwuduklah sebagaimana kamu berwuduk untuk melakukan solat." (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
5. Membaca Ayat Kursi sebelum tidur
Dalam satu hadith yang panjang, diringkaskan di sini, bahawa Abu Hurairah RA menceritakan beliau telah didatangi seorang pencuri yang mencuri hasil kutipan zakat yang dijaganya sebanyak tiga kali, sedangkan telah dua kali diberi amaran dan dia telah berjanji tidak akan datang mencuri hasil kutipan zakat itu lagi.
Untuk kali ke tiganya, dia berkata "Lepaskanlah saya, saya akan mengajarkan beberapa kalimat semoga Allah memberikan manfaat untukmu dengan kalimat ini." Beliau pun bertanya tentang doa itu. Dia berkata, "Jika kamu berbaring di perbaringan, bacalah ayat kursi, kerana dengan begitu, Allah akan sentiasa menjagamu dan syaitan tidak akan mendekatimu hingga pagi harinya."
Maka beliau pun melepaskannya sekali lagi. Pagi esoknya, Rasulullah SAW bertanyakan akan hal tahanannya lagi, lalu Abu Hurairah RA menceritakannya. Lalu baginda bersabda, "Mahkluk itu telah berkata benar kepadamu, sedangkan ia adalah si pendusta. Wahai Abu Hurairah, tahukah kamu siapa yang kamu ajak bicara sejak tiga hari yang lalu itu?" Beliau menjawab, "Tidak". Baginda bersabda, "Ia adalah syaitan." (Hadith Riwayat Bukhari dengan ta'liq)
6. Membaca Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas kemudian sapu seluruh badan sebelum tidur
Satu hadith daripada Aishah RA, mengatakan,
"Gabungkanlah kedua telapak tangan anda dan bacalah surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas padanya. Kemudian, tiuplah keduanya lalu sentuh anggota badan seluruhnya, sejauh yang dapat dicapai dimulai dari kepala." (Hadith sahih Bukhari, riwayat Aishah RA)
7. Tutup mulut apabila menguap
Dalam satu hadith, Abu Said Al-Khudri RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
"Apabila salah seorang di antara kamu menguap, hendaklah dia menutup mulutnya dengan tangan, kerana syaitan akan masuk." (Hadith Riwayat Imam Muslim dan Ad-Damiri)
8. Bersihkan hidung jika terjaga tengah malam
Abu Hurairah RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
"Apabila salah seorang di antara kamu terbangun dari mimpinya, hendaklah dia melakukan istintsar tiga kali, kerana syaitan bermalam pada hidungnya." (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
Istintsar ialah perbuatan menyedut air ke dalam hidung, kemudian menghembusnya keluar, seperti ketika berwuduk. Hikmah lain istintsar ialah ia merupakan satu penawar bagi penyakit resdung. Amalkanlah selalu, contohnya selepas keluar ke kawasan kotor berdebu seperti di jalan raya.
9. Mendirikan Solat Tahajjud
Apabila seseorang tidur, lalu bangun di pagi harinya tanpa sedikit pun qiyamullail, syaitan akan semakin dekat menguasainya. Dari Abdullah bin Masud RA, dia berkata,
"Pernah disebutkan kepada Rasulullah SAW seorang lelaki yang tidur semalam penuh hingga bangun di pagi harinya, maka beliau bersabda: 'Itu adalah orang yang kedua telinganya (atau satu telinganya) telah dikencingi syaitan.'" (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
10. Tutup rumah dan tahan anak-anak menjelang Maghrib
Dalam satu hadith marfu' yang meriwayatkan dari Jabir bin Abdullah RA, katanya;
"Janganlah kalian biarkan unta, lembu, kambing dan yang sejenisnya, serta anak-anak kalian masih berkeliaran di luar rumah ketika matahari terbenam hingga kabut malam (waktu Isya') menghilang; kerana syaitan-syaitan bertebaran ketika matahari terbenam, hingga kabut malam menghilang." (Hadith Riwayat Muslim)
11. Jangan kencing pada lubang-lubang
Imam Nasa'i meriwayatkan dari Qatadah, dari Abdullah bin Sirjis, katanya Nabi Muhammad SAW bersabda, maksudnya;
"Janganlah salah seorang di antara kaluan kencing pada lubang-lubang." Mereka bertanya kepada Qatadah, "Mengapa kita dimakhruhkan untuk kencing pada lubang-lubang?" Dia menjawab, "Kerana lubang-lubang merupakan tempat tinggal jin." (Hadith Riwayat Abu Dawud, An-Nasa'i dan Imam Ahmad)
12. Mengingat Allah setiap waktu dan keadaan
Zikir memiliki gelombang tetap dan apabila diamalkan secara berterusan, gelombang zikir akan menguasai ruang kosong pada tubuh manusia dan menjadikannya pejal, menyebabkan tiada lagi ruang untuk dimasuki gelombang asing seperti syaitan atau jin.
Dalam satu hadith, Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya;
"Dan aku memerintahkan kalian untuk mengingat Allah kerana perumpamaan mengenai hal itu seperti seorang lelaki yang dikejar oleh musuh-musuhnya hingga ia sampai di sebuah benteng kukuh yang melindungi dirinya dari mereka. Sama halnya dengan seorang hamba tidak akan dapat menjaga dirinya dari syaitan kecuali dengan mengingat Allah (berdzikir kepada Allah)." (Hadith Riwayat At-Tirmidzi)
13. Mengingat Allah ketika bangun tidur
Dari Abu Hurairah RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya;
"Jika seseorang dari kalian tidur, maka syaitan membuat tiga ikatan pada lehernya yang dilakukan padamu sepanjang malam tidurmu. Maka tidurlah, dan jika kamu terbangun, sebutlah/ingatlah Allah, maka satu ikatan akan terlepas. Kemudian jika kamu berwuduk, maka akan terlepas satu ikatan, dan kemudian jika kamu melaksanakan solat, maka akan terlepas satu ikatan lagi hingga ia memulakan paginya dengan semangat dan jiwa yang bersih. Jika tidak, maka jiwanya akan kotor dan dalam keadaan malas."(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
14. Mengingat Allah ketika keluar rumah
Dari Anas bin Malik RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya;
"Barangsiapa yang ketika akan keluar rumah mengucapkan; bismillahi tawakkaltu alalloh la haula wa la quwwata illa billah (dengan nama Allah, aku berserah diri kepada Allah, tidak ada daya dan kekuatan kecuali kekuatan Allah), maka kepadanya akan dikatakan cukuplah bagimu, kamu telah dijaga dan syaitan telah menjauh darimu." (Haith Riwayat At-Tirmidzi)
15. Mengingat Allah ketika masuk masjid
Diriwayatkan dari Abdullah bin Amru bin Al-Ash RA, dari Nabi Muhammad SAW bahawa ketika akan masuk masjid, baginda mengucapkan, "A'udzu billahil-azhim wa bi wajhihil-karim wa sultonihil-qodimminassyait honirrojim (Aku berlindung kepada Allah yang Maha Agung, dengan wajah-Na yang mulia dan dengan kekuasaan-Nya yang qodim dari syaitan yang terkutuk." Beliau berkata, "Itu saja?" Baginda berkata, "Ya, jika seseorang mengucapkan ini, maka syaitan akan berkata 'Ia telah dijaga dariku sepanjang hari'. " (Hadith Riwayat Abu Dawud)
16. Merapatkan saf solat berjemaah
Ibnu Umar berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya;
"Luruskan barisan dan rapatkan bahu-bahu di antara kamu, dan lembutkan badan kamu untuk saudara yang di sebelah kamu. Jangan tinggalkan ruang kosong untuk syaitan mengambil tempat. Sesiapa yang merapatkan saf, maka Allah akan bersama dengannya dan siapa yang memutuskan saf, maka Allah akan putuskan hubungan dengannya." (Hadith Riwayat Abu Dawud)
17. Mengingat Allah ketika menanggalkan pakaian
Dari Anas RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya;
"Penghalang antara pandangan syaitan dan aurat anak cucu Adam adalah, apabila ia menanggalkan pakaiannya, mereka mengucapkan bismillah." (Hadith Riwayat At-Thabarani)
Adalah penting membaca doa menanggalkan pakaian kerana banyak kes terjadi di mana jin telah tergoda dengan manusia dan menaruh cintanya kepada manusia itu hingga membawa mudarat kepadanya. Doa menanggalkan pakaian:
Ertinya: Dengan nama Allah yang tiada tuhan selain dari Dia.
18. Mengingat Allah ketika akan berhubungan suami isteri
Dari Abdullah bin Abbas RA, ia mengatakan, bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya;
"Jika salah seorang dari kalian ingin menggauli isterinya, hendaklah ia mengucapkan 'Allahumma janibnassyaiton wa jannibissyaiton ma rozaqtana' (Ya Allah ya Tuhan kami, jauhkanlah kami dari syaitan dan jauhkanlah syaitan dari apa yang telah Engkau berkan kepada kami). Jika Allah menakdirkan kepada keduanya seorang anak (dari hubungan itu), maka anak tersebut akan terhindar dari syaitan selamanya." (Hadith Riwayat Bukhari)
19. Makan Tamar 'Ajwah dan Tamar Madinah
Buah Tamar atau Kurma mempunyai pelbagai khasiat. Bagi Tamar 'Ajwah dan Tamar Madinah, Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya;
"Barangsiapa yang memakan tujuh biji kurma Madinah setiap paginya, maka pada hari itu ia tidak akan dibahayakan oleh racun mahupun sihir." (Hadith Riwayat Bukhari)
20. Mengelakkan pintu-pintu kemasukan jin dan syaitan
Daripada penceritaan para pengamal perubatan Islam, terdapat empat pintu utama yang ditunggu-tunggu oleh jin dan syaitan untuk merasuki manusia. Empat pintu itu ialah:
- Terlalu marah
- Terlalu gembira/ seronok/ leka
- Terlalu dukacita
- Terlalu syahwat
Selain itu, syaitan mudah menghasut manusia apabila ia dalam keadaan kenyang, terlalu sayangkan harta dunia, melakukan sesuatu dalam keadaan tergesa-gesa, terdetik di dalam hati perasaan hasad dengki dan lain-lain lagi.
Sebenarnya banyak lagi pintu masuknya syaitan jika dikaji secara terperinci. Untuk itu, adalah lebih baik untuk sentiasa membentengi diri dengan dzikrullah (mengingati Allah) setiap masa dan jauhilah sifat-sifat tercela.
Semoga segala info ini mendapat menafaat untuk semua..Wallahua’lam bissawab
No comments:
Post a Comment