Friday, April 8, 2011

Cara Anwar Main Pusing Tolak Suruhanjaya Siasatan Melucukan

Oleh : Azlina Rosdy



KUALA LUMPUR, 8 April – Gesaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan kerajaan menubuhkan dahulu Suruhanjaya Di Raja bagi menyiasat kes kematian wanita Mongolia, Altantunya Sharibu dan terbaru kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed berbanding kes rakaman video seks yang dikatakan membabitkan dirinya sesuatu yang cukup melucukan.
Sambil menyifatkan gesaan itu sebagai tindakan mengalihkan isu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berpendapat Anwar seperti cuba lari dari mendapatkan kebenaran.
“Apa yang dia (Anwar) susah sangat, berpusing-pusing keluar tajuk.  Sepatutnya dia lihat penubuhan suruhanjaya ini peluang besar untuk dia bersihkan dirinya dari tuduhan.
“Ini kerana, sekiranya hasil siasatan kelak berjaya membuktikan bukan dia yang terlibat, sudah pasti namanya bersih. Patutnya dia bersungguh-sungguh minta percepatkan penubuhan suruhanjaya ini tapi pelik dia main pusing-pusing berdolak dalih”, katanya kepada UMNO-Online di sini.
Anwar juga kata beliau lagi perlu faham kes Altantunya telah pun dibicarakan dan selesai.
“Apa motif dia nak ungkit balik kes ini kalau tidak bertujuan untuk alihkan isu video seks”, ujarnya yang juga merupakan Ketua Bahagian UMNO Bukit Mertajam.
Jelas beliau, Anwar perlu bersikap berani sekiranya dia benar-benar tidak bersalah kerana penubuhan Suruhanjaya Di Raja akan menyelesaikan isu ini dengan segera.
“Kita tak tuduhpun individu dalam video terbabit adalah Anwar Ibrahim malah dia sendiri telah sekeras-kerasnya menafikan. Jadi, biarlah suruhanjaya diraja yang menyiasat siapa sebenarnya individu dalam video terbabit.
”Rakyat nak tahu malah semua orang nak tahu benar atau tidak individu tersebut Anwar atau tidak,” katanya. -MediaUMNO

No comments: