SHAH ALAM, 21 Feb – Penggunaan RM80,500.00 (Ringgit Malaysia Lapan Puluh Ribu dan Lima Ratus Sahaja) wang rakyat untuk membiayai penginapan perwakilan PKR ke Kongres PKR ke 7 , 2010 pada 26-28 November tahun lalu di Petaling Jaya merupakan satu jenayah penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah oleh kerajaan pakatan Selangor dibawah pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim.
Pengerusi Gagasan Anti-Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata pencurian dan rompakan harta rakyat di Selangor sekarang bukan lagi dilakukan secara tersorok di malam hari seperti skandal pasir oleh kerajaan pakatan Selangor, malahan ianya dilaksanakan secara terang-terangan di siang hari.
“Tempahan dan pembayaran 100 bilik hotel di Petaling Jaya oleh Menteri Besar Incorporated (MBI) pada 25-29 November 2010 merupakan bukti jelas sudah terang lagi bersuluh salahguna kuasa dan penyelewengan oleh Menteri Besar.
“GAPS sebagai sebuah NGO pemantau kerajaan pakatan Selangor amat kesal harta dan wang rakyat Selangor dirompak untuk membiayai penginapan perwakilan ke mesyuarat agung tahunan PKR itu,” ujarnya kepada UMNO-Online mengulas tindakan penggunaan duit rakyat dalam membiayai Kongres PKR November lalu.
Tegasnya, Khalid Ibrahim wajar membezakan peranannya sebagai seorang Menteri Besar dan pemimpin parti.
“Harta negeri merupakan harta rakyat dan bukannya harta milik parti PKR yang boleh dibelanjakan sesuka hati mengikut nafsu serakah mazmumah kepartian”, katanya.
GAPS juga kata beliau lagi mempunyai bukti yang jelas mengenai rompakan harta rakyat di siang hari ini dan bersedian membuat laporan kepada pihak yang berkuasa .
“Salahguna kuasa ini juga merupakan pelengkap kepada SKANDAL KONGRES PKR 2010 yang sebelum ini dicemari dengan pelbagai salah laku seperti korupsi kuasa, penipuan dan pemilihan paling kotor yang dipenuhi dengan adegan pergaduhan, baling kerusi, pengantungan cabang, perletakan jawatan pemimpin dan keluarnya ahli beramai-ramai dari parti itu.
“‘Tidak ada cara lain untuk kerajaan pakatan Selangor keluar dari salah guna kuasa dan penyelewengan dan rasuah ini kecuali Menteri Besar Khalid Ibrahim meletakkan jawatan atau membubarkan Dewan Undangan Negeri Selangor untuk menyerahkan mandat kepada rakyat memilih kerajaan yang lebih bersih dan bertanggungjawab,” ujarnya lagi.
No comments:
Post a Comment